Engelbert Humperdinck jelajah dunia pada usia 85 tahun

Engelbert Humperdinck jelajah dunia pada usia 85 tahun

Bukan lagi asing di Malaysia, penyanyi legenda, Engelbert Humperdinck, 85, yang mencipta populariti lebih lima dekad lalu menerusi lagu Release Me, sekali lagi bertandang ke negara ini bagi menjayakan persembahan eksklusif di Arena Of Stars, Resort World Genting, Genting Highlands pada 13 Ogos depan.

Bintang legenda yang mendapat jolokan King Of Romance itu masih bersemangat menjelajah dunia pada usia 85 tahun, mendendangkan rangkaian lagu malar segar yang tentunya mengundang nostalgia peminat.

Arena of Stars yang pernah dianggap sinonim dengan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), suatu ketika dahulu, sebelum ini menjadi premis konsert artis antarabangsa hebat seperti Elton John, II Divo, Cliff Richard, Kitaro, Lionel Richie dan ramai lagi.



Kerjaya Humperdinck yang berasal dari British, bermula pada era 1960-an, iaitu ketika kumpulan The Beatles dan Elvis Presley, berada di kemuncak.

Humperdinck muncul penuh gaya apabila lagu Release Me dan The Last Waltz menjuarai Carta Single United Kingdom (UK), malah, albumnya terjual lebih sejuta salinan.

Lagu Release Me bertahan 56 minggu dalam carta berkenaan. Malah, single itu muncul nombor satu di 11 negara sehingga Humperdinck diangkat sebagai ‘superstar’.

Selepas kejayaan Release Me, HumperdPinck menghasilkan beberapa album lain. Lagu balada dendangannya terus memukau peminat seperti Am I That Easy To Forget, Quando Quando Quando, A Man Without Love dan When There’s No You.



Bapa kepada empat cahaya mata itu turut menerbitkan produksi muzikal dikenali sebagai The Engelbert Humperdinck Show yang disiarkan di UK dan Amerika Syarikat (AS).

Program itu menghimpunkan ramai selebriti terkemuka seperti Liberace, Shirley Bassey, Tony Bennet, Ray Charles, Dusty Springfield, Paul Anka, Tom Jones dan Dionne Warwick.

Dari pertengahan 1970 hingga 1990, Humperdinck mula mengadakan konsert jelajah sehingga pernah mengadakan 200 konsert dalam tempoh setahun.

Biarpun pada usia emas, Humperdinck tetap gigih meneruskan kerjaya nyanyiannya apabila muncul dengan album ke-80, iaitu 45 tahun selepas album pertamanya.



Apa yang istimewanya album double yang diberi judul Engelbert Calling itu turut menyaksikan rakaman duet bersama beberapa penyanyi hebat bertaraf lagenda seperti Elton John, Willie Nelson, Johnny Matthis, Cliff Richard, Kenny Rogers, Gene Simmons dan Smokey Robinson yang dilancarkan pada 2014.

Dalam tempoh 55 tahun, Humperdinck menjual 140 juta album, termasuk menerima 65 piring emas dan 35 piring platinum.

Beliau juga meraih empat pencalonan Anugerah Grammy dan satu pencalonan Anugerah Golden Globe.

Malah, namanya terpahat di Hollywood Walk of Fame, Las Vegas Walk of Fame dan Leicester Walk of Fame.

Filem terbaru terbitan Sony Pictures yang menampilkan Brad Pitt selaku bintang utama berjudul Bullet Train turut menggunakan lagunya berjudul Forever Blowing Bubbles.

Tiket menyaksikan Konsert Falling In Love With Engelbert Humperdinck mula dijual pada harga RM696 (VIP), RM456 (PS1), RM306 (PS2) dan RM196 (PS3).

Tiket boleh didapati dengan melayari www.rwgenting.com atau hubungi talian 03-27181118. BH

Engelbert Humperdinck jelajah dunia pada usia 85 tahun


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mahathir biadap! Tunjuk angkuh dengan Sultan Johor

‘Hotel terbang’ tawar percutian di udara (Video)

Kasut sekolah berharga RM15,000

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker