Adriana Adnan sasar Indonesia, Korea Selatan



Adriana Adnan sasar Indonesia, Korea Selatan

ENAM tahun mengukuhkan tapak sebagai pelakon, wanita ini terlebih dulu sinonim mengendalikan program HLive itu menyimpan hajat meneroka industri hiburan luar negara.

Mungkin sesetengah individu tidak sanggup meninggalkan tanah kelahiran untuk mengejar cita-cita, namun bagi Adriana Adnan jarak bukanlah penghalang.

Niat yang satu itu tidak dicanang tanpa persiapan teliti. Ibarat mahu pergi berperang, setiap inci persediaan dihitung sehabis baik demi sebuah perjuangan.

Indonesia, Korea Selatan




Antara destinasi yang memancing perhatian wanita berusia 27 tahun itu adalah Indonesia yang disifatkan sebagai gelanggang seni kreatif paling dekat dengan Kuala Lumpur, selain Korea Selatan selaku hab hiburan Asia.

Bukan hanya kelas lakonan, penataan personaliti dan latihan fizikal bawah kendalian jurulatih profesional, dia juga sanggup memperuntukkan masa mempelajari bahasa Korea bersama guru bertauliah.

Katanya, impian yang disulam sejak berjinak-jinak dalam arena seni ingin digapai dengan penuh kesungguhan menerusi persiapan rapi sama ada dari segi mental dan fizikal.

“Semua individu mempunyai sasaran dalam hidup dan kerjaya tidak terkecuali saya sendiri yang mempunyai rencana dalam meletakkan matlamat ke satu tahap.

“Sejujurnya impian saya adalah menembusi industri hiburan di luar yang saya akui sangat kompetitif, namun pada masa sama, mencabar diri supaya terus maju walau berdepan rintangan.




“Tapi untuk ke hadapan kita perlu berani melangkah walaupun saya pasti bukan senang mempertaruhkan bakat di tengah kebanjiran ramai bintang sedia ada dan pendatang yang mahu mencuba nasib.

“Apa pun kita kena yakin terhadap diri sendiri dan berusaha ke arah itu. Oleh kerana itu saya mulakan dengan memasuki kelas, termasuk belajar bahasa Korea bermula dalam YouTube dan kemudian belajar dengan cikgu bahasa.

“Dari segi lakonan pula, saya turut belajar seni mempertahankan diri seperti mua Thai yang juga secara dalaman menyuntik semangat,” katanya yang mengakui terdedah dengan budaya kerja produksi luar negara ketika menjalani tugasan sebagai wartawan penyiaran.

Restu suami

Adriana mengakui bertuah kerana mendapat sokongan padu keluarga tercinta terutama suami, Harez Hazim Hazrin yang menggalakkannya terus ‘terbang tinggi’ mengejar cita-cita.




Akui anak kepada pembaca berita dan pengacara RTM, Zamzarina Zambri itu lagi, lingkungan ahli keluarga yang punya minat sama melancarkan perjalanan kariernya.

Apatah lagi restu teman hidup yang dinikahi tiga tahun lalu menjadi pencetus semangat untuk sentiasa berusaha dalam kedua-dua lapangan kerjaya.

“Selain ibu bapa, suami juga sangat memahami dan sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Malah, kami berdua juga sibuk membina kerjaya ke tahap terbaik tanpa mengabaikan tanggungjawab hakiki.

“Dia pasangan yang sangat sedia bertolak ansur. Impian saya untuk ke luar negara juga mendapat lampu hijau kerana dia tahu sasaran yang ingin saya laksanakan.

“Status sebagai isteri bukan satu halangan selagi saya tahu di mana keutamaan. Jika ke Indonesia pun bukan jauh, saya masih boleh berulang alik,” katanya lagi.




Kekal pengacara

Dalam kesibukan mengatur jadual penggambaran dan mengejar misi, Adriana menegaskan tidak sesekali terdetik meninggalkan bidang pengacaraan.

Baginya, cinta pertama yang tercetus sebaik melangkah ke arena hiburan enggan dipinggirkan malah andai punya rezeki, kebolehan tersebut akan disandarkan ketika berhijrah ke tempat orang.

Biarpun kedua-dua bidang mempunyai cabaran tersendiri, dia melihat setiap cabang seni mempunyai keistimewaan.

“Beberapa tahun dulu saya pernah memperlahankan rentak lakonan berikutan komitmen penerbitan, namun kini saya hanya dipertanggungjawabkan mengendalikan program, jadi saya boleh bagi fokus terhadap lakonan.

“Selepas yakin dengan susunan jadual yang tak bertindih, saya terus mesej mereka yang pernah hubungi saya sebelum ini maklumkan jika ada peluang bekerja dengan produksi berkenaan.

“Bagi saya tak perlu malu untuk beritahu kesediaan kita sebab sebelum ini bukan saja-saja kita tolak tawaran. Pihak produksi pun faham situasi yang dihadapi.

“Tambahan pula pengacaraan cinta pertama saya. Diam tak diam sudah tujuh tahun saya bersama HLive, selain aktif sebagai pengacara majlis untuk pelbagai acara.

“Ketika ini pun jadual rakaman sebagai hos program tersebut hanya lapan kali sebulan. Jadi waktu lain saya fokus di lokasi penggambaran atau tugasan mengendalikan majlis,” kongsinya lagi.

Rajin uji bakat

Tidak hairan sejak kebelakangan ini kelibatnya semakin kerap menghiasi kaca televisyen malah menyerlah sebagai watak utama dalam drama di saluran penstriman Viu berjudul Seribu Nina.

Katanya, bukan disebabkan sudah punya nama sebagai pengacara menjadi bonus mudah meraih watak, sebaliknya dia rajin menyertai uji bakat sebagai tanda kesungguhan dalam bidang tersebut.

Pernah menyerlah menerusi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot itu, Adriana beranggapan sesi uji bakat penting buat seseorang pelakon menunjukkan bakat.

“Saya tak pernah malu atau malas ke uji bakat kerana dari situ kita dapat lihat persaingan dan banyak belajar perkara yang mungkin kurang disedari sebelum ini.

“Namun saya faham kalau ada sesetengah pelakon yang sudah ada nama tidak mahu uji bakat. Bukan sebab mereka berlagak, tetapi mungkin risau tak diterima hingga boleh buat hilang semangat.

“Apa pun bagi saya, sesi berkenaan menjadi medan untuk orang nampak bakat kita. Kalau tak diterima untuk watak yang dimahukan, siapa tahu mereka tawarkan pula watak untuk projek lain,” tambahnya ceria.

Selain Seribu Nina, Adriana juga bakal tampil dengan telefilem Orang Gaji ke-19 saran TV Okey serta drama Suri Hati siaran TV3 dalam masa terdekat.

Lapan karakter

Mengenai Seribu Nina, sebuah siri terbitan Infinitus Venture, Adriana menggalas watak utama, bergandingan dengan Syafiq Kyle sebagai Amar dan Marsha Milan.

Berkongsi kisah pengembaraan fantasi tersebut, buat julung kali dia membawa lapan karakter dalam sebuah naskah, sekali gus memberi kepuasan tersendiri dalam lakonannya.

“Sebenarnya saya datang ke sesi uji bakat fasa kedua projek ini untuk bawa watak lain, namun selepas selesai pihak produksi menawarkan pula karakter Nina yang juga gadis dari dimensi lain.

“Sudah tentu ia tanggungjawab besar kerana bukan saja perlu menjadi orang yang berbeza, dari segi cara bercakap, berjalan mahu pun kostum juga memberikan cabaran sepanjang tempoh tiga bulan kami di set.

“Sampai pernah beberapa kali saya perlu bertanya kepada pengarah kostum atau mekap pada hari itu untuk watak yang mana. Memang adakalanya tampak lucu, tetapi hakikatnya menguji semangat semua orang di set.

“Apa pun selepas melihat hasilnya kami bersyukur ia berbaloi. Pada masa sama Seribu Nina juga sebagai bukti kemampuan saya membawakan pelbagai watak mencabar,” katanya.

Mahu terus relevan dalam industri, luahnya kunci utama adalah jangan malu bertanya, ramah dengan semua selain ikhlas bekerja. K Online

Adriana Adnan sasar Indonesia, Korea Selatan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Syamsul Yusof, Ira Kazar dah bertunang?

Kerajaan Pas Kelantan zalim roboh rumah penduduk – Ibrahim

Mahathir Mahu Malaysia Tuntut Balik Singapura Dan Kepulauan Riau



Leave a Reply

Your email address will not be published.