Pasca Moratorium dan Formula Politik Sabah

Sedar ataupun tidak, kini sudah genap enam bulan kerajaan Perikatan Nasional berkuasa di tampuk pemerintahan negara. Harus diakui bahawa pada waktu ini rakyat kelihatan agak “selesa” dengan keadaan sekarang dan tidak seperti dengan kerajaan terdahulu yang mana keadaan negara tidak tenang akibat disajikan dengan pelbagai-bagai isu politik yang melanda.

Namun, keadaan yang selesa dan tenang ini boleh menjadi kucar kacir sekiranya pihak kerajaan yang ada pada hari ini tidak lagi dapat membantu rakyat secara terus seperti apa yang telah dilakukan sebelum ini. Rakyat masih lagi boleh bergembira kerana faktor aliran tunai kini sudah tidak lagi menjadi masalah.

Aliran tunai sentiasa berada di tangan dan sentiasa berbelanja mengikut kemampuan. Jika pandai diuruskan maka wang moratorium ataupun wang dari sumber lain seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) juga boleh disimpan.

Tetapi, keselesaan dan kemewahan ini akan berakhir pada hujung bulan September nanti kerana pinjaman bank akan mula dipotong semula pada bulan Oktober nanti. Apa yang tinggal selepas melangkah pada bulan Oktober nanti ialah wang lebihan daripada gaji yang sudah dtolak bersih daripada komitmen bulanan dan wang yang boleh diambil dari skim i-lestari di KWSP, itupun ianya bukan lah boleh dinikmati oleh semua golongan tetapi hanya tertakluk pada golongan tertentu sahaja yang masih lagi mempunyai simpanan di KWSP.

Namun apa yang akan terjadi nanti selepas daripada moratorium tamat, maka pada ketika itulah kesan juga akan dirasai oleh golongan rakyat. Sehingga kini, masih tidak lagi kita mendengar apa-apa maklumat berkaitan dengan inisiatif membantu rakyat daripada pihak kerajaan selepas daripada tamatnya moratorium pada bulan September nanti.

Sungguhpun pelanjutan moratorium yang akan diberikan kepada golongan yang terkesan dan benar-benar memerlukan namun kaedah lain untuk membantu golongan rakyat didalam kumpulan B40 contohnya masih lagi tidak diketahui perancangannya.

Walapun pembentangan hasil daripada kejayaan perlaksanaan PRIHATIN dan PENJANA oleh Yang Berhormat Senator Menteru Kewangan agak memberangsangkan, namun ianya masih belum cukup untuk meyakinkan golongan rakyat yang masih lagi ternanti-nanti dengan apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan selepas ini.

 

Pilihan Raya Negeri Sabah

Tatkala kita masih lagi menanti-nantikan tentang tindakan kerajaan dalam usaha memulihkan sektor ekonomi pasca penamatan moratorium pada bulan September ini, tumpuan kita sudah tentu akan terarah kepada apakah yang akan berlaku di Sabah pula kelak.

Selepas enam bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberikan ruang untuk mentadbir negara kini ujian yang bakal dihadapi oleh kerajaan ini akan dilihat dalam Pilihanraya Negeri Sabah.

Bagi pihak Barisan Nasional, kemenangan BN yang telah dicapai di DUN Slim dalam pilihanraya kecil yang lalu tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar prestasi yang boleh dibanggakan. Bahkan, ianya juga tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa penyertaan PPBM yang baru sahaja bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional sudah menampakkan kesannya.

Walaupun penyertaan PPBM ke dalam Muafakat Nasional boleh dianggap sebagai satu permulaan kerjasama yang baik seperti yang telah disebut oleh Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun “feel good factor” ini sebenarnya pada pandangan penulis tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Ujian sebenar kepada permuafakatan ketiga-tiga parti ini akan bermula di Sabah. Pilihanraya Negeri di Sabah akan menjadi medan sebenar dan ia adalah merupakan ujian litmus pertama kepada permulaan kerjasama antara tiga parti orang Melayu di dalam Muafakat Nasional.

Namun begitu, haruslah diingatkan bahawa suasana politik di Sabah bukanlah boleh disamakan dengan suasana politik di Semenanjung. Untuk berhadapan dengan satu situasi politik yang sangat-sangat kompleks dan inklusif di Sabah, ia akan menjadi halangan terbesar kepada bentuk kerjasama yang pertama diantara UMNO, PAS dan PPBM dalam Muafakat Nasional di Sabah.

Pilihanraya negeri di Sabah juga sudah tentu akan melihat kepada apakah formula yang bakal digunakan oleh Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Atau, apakah akan ada formula lain seperti Barisan Nasional+Perikatan Nasional di Sabah?

Walau apa pun formulanya, apa sahaja keputusan daripada Pilihanraya Negeri Sabah ini sudah pastinya harus diambil perhatian dengan lebih mendalam oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Malahan, keputusan PRN Sabah itu nanti mungkin boleh juga dijadikan petunjuk kepada suasana politik baru di Sabah selain daripada boleh dijadikan indikator kepada perancangan strategi bagi kerajaan Perikatan Nasional untuk terus berada di tampuk pemerintahan negara selepas ini.

*Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker