Mukhriz bengang Kerajaan Kedah tak minat bina litar lumba

MERBOK – Kerajaan Kedah dilihat seperti tidak berminat terhadap pembinaan litar lumba di Sungai Petani memandangkan projek terbabit masih belum dibangunkan sehingga kini.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, peruntukan terhadap projek bertaraf antarabangsa itu telah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan, bagaimanapun kerajaan negeri ketika ini masih belum meneruskan pembinaannya di Bandar Amanjaya, di sini.

“Perkara ini dibangkitkan beberapa kali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) agar mendapat perhatian memandangkan peruntukan telah diterima kerajaan negeri.

“Walaupun belum cukup (peruntukan diterima) tetapi sekurang-kurangnya duit tersebut dah masuk dalam kantung kerajaan Kedah sebanyak RM20 juta. Itu yang saya tanya ke mana pergi wang itu dan kenapa tidak dibuat sebahagian kerja (projek pembinaan litar),” katanya ketika sesi walkabout Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Bangunan Arked Tanjung Dawai, pada Jumaat.

Menurut Mukhriz, setakat ini, kerja-kerja tapak telah dilaksanakan dan bersedia untuk pembinaan fasa seterusnya, namun projek itu seolah-olah tidak diberi perhatian kerajaan Kedah.

“Ini permintaan lama anak muda dan bila dapat keputusan peringkat Persekutuan depa (mereka) seronok tetapi nampak macam kerajaan sekarang ini tidak berminat. Saya dah minta kerajaan negeri bagi penjelasan tetapi jawapan macam tak jawab (persoalan),” katanya.

Menurut Mukhriz, konsep pembinaan litar dicadangkan mengikut standard antarabangsa sejak awal dengan penglibatan Sepang International Circuit (SIC).

“Menurut khidmat nasihat daripada sebuah syarikat luar negara, litar terbabit memang layak untuk dianjurkan acara lumba bertaraf antarabangsa sekurang-kurangnya untuk negara Asean termasuk menjadi litar sokongan untuk SIC,” katanya lagi.

Beliau berkata, ia juga telah menerima sokongan dari Thailand dan Indonesia yang bersedia menyatakan keinginan beraksi apabila siap kelak.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, kos projek terbabit meningkat dari RM30 juta kepada RM70 juta.

Ia berikutan standard litar yang berkonsepkan rakyat dinaik taraf kepada standard antarabangsa selain penggunaan konsultan dari SIC telah menyebabkan kos meningkat.

Kata Muhammad Sanusi, ia masih di peringkat perbincangan beberapa pihak termasuk syarikat swasta yang berminat membangunkannya.

Mukhriz bengang Kerajaan Kedah tak minat bina litar lumba


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sanusi loklak, Puad pula ada di planet mana?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker