Ifa dengan Roslan hentikan bergaduh – Didie Alias

Ifa dengan Roslan hentikan bergaduh – Didie Alias

BUKAN niatnya untuk mencampuri urusan antara dua belah pihak. Tetapi, harus diakui, dia sebagai orang industri, pastinya tahu tentang perbalahan yang berlaku antara pengacara dan selebriti sensasi, Ifa Raziah dan Roslan Shah.

Perseteruan antara dua belah pihak itu telah lama berlangsung. Hampir lima tahun juga ia berlarutan dan sehingga sekarang, masih belum ada tanda-tanda untuk pulih dan berbaik sebagaimana akrabnya mereka berdua dahulu.

Bagi Didie Alias, hal itu barangkali sudah terlalu rumit untuk dirungkai. Umpama diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Apatah lagi, kedua-duanya juga merupakan sahabat sendiri, bukan cuma atas dasar rakan artis semata.

Namun, bohong jika dia katakan tidak ada orang bertanya pada dirinya tentang bagaimana cara untuk memulihkan hubungan kedua-dua selebriti tersebut walaupun terbaru, kononnya ada usaha yang telah dilakukan oleh Roslan yang tampil meminta maaf menerusi temu bual dengan rakan media.

“Tentulah saya tahu mengenai sengketa antara mereka. Kalau sayalah, rasanya, lebih elok dipertemukan saja kedua-dua mereka itu. Pasal apa, mereka ini, yang seorang pandang sana cakap lain, seorang lagi pandang sana cakap lain.

Kita ini manusia, selagi tak jumpa cakap depan-depan, memang tak akan mudah nak raih kemaafan itu. Saya tahu, dua-dua mungkin ada rasa tak puas hati itu lagi, tapi kalau ada ruang kemaafan, pertimbangkanlah,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata pelakon berusia 51 tahun ini, dia juga pernah duduk berbual dengan Roslan yang kemudiannya mengaku kepadanya akan kesalahan tingkah laku yang kemudiannya menyebabkan kemarahan Ifa.

“Dia sendiri mengaku salah dia, apa yang dia cakap dan sebagainya. Saya pernah berpesan pada dia. Pergilah minta maaf. Tapi kalau Ifa tak maafkan, nak buat macam mana? Cuma sebagai seorang individu, engkau juga perlu memaafkan dia.

“Mudah. Buat apalah kita ini nak bermusuh-musuh. Lagipun di kala bulan baik, Ramadan ini, jika kemaafan itu berlaku, bagi saya, alangkah indahnya.

“Kita ini dalam kelompok yang sama. Nak bermusuh pun sampai bila? Makin lama kita semua ini semakin tua. Itu yang saya cakap tadi, elok juga kalau dapat pertemukan kedua-duanya sekali,”katanya.

Mengulas mengenai personaliti Roslan selama dia berkawan dan sering bekerjasama, kata Didie, dia tidak menolak, dalam kebaikan yang ada di hati pengacara itu, ada ketikanya sahabatnya itu gemar bergurau.

“Dalam istilah lain, kuat propa! Macam yang berlaku ketika dia didakwa jatuh pengsan semasa terlibat dalam sebuah program di kaca TV sebelum ini. Anak saya yang kecil itu yang panggil saya yang ketika itu berada di dapur.

“Dia kata nampak pakcik Lan pengsan. Peliklah saya sebab saya baru saja tengok dia tadi. Bila ramai kawan-kawan hubungi dan tanya, barulah saya tahu dia tak propa. Sekali memang betul dia pun kena angkut dengan ambulans dan ditempatkan di wad hospital Sungai Buloh.

“Mulanya saya ingat dia kena Covid-19, tapi hal lain pula yang berlaku. Tapi ketika itu, dia ada beritahu yang dia macam nak demam dan tak cukup rehat. Apa lagi, saya terus minta maaf banyak-banyak pada Roslan sebab ingat dia propa,”katanya.

Bagaimanapun, kata Didie, dia tetap akan sentiasa memainkan peranan sebagai sahabat meski sedar hubungan Roslan dan Ifa sudah lama untuk diperbaikpulih.

Bagi Didie, sebagai sahabat, dia tidak akan pernah berasa penat untuk menasihati kedua-dua belah pihak apatah lagi, masing-masing berada dan bekerja dalam dunia yang sama.

“Baik Ifa, baik Roslan. Pernah saya nasihatkan. Untuk apa bergaduh berlama-lama? Apa yang kita semua dapat? Kalau jumlah pengikut masing-masing ada 8 juta sekali pun, tak perlulah. Ingat balik masa zaman sama-sama baik dan kerjasama dulu.

“Ifa pun ada tolong Roslan, begitu juga dengan Cik Lan yang tolong Ifa contohnya masa nak anjur program di Singapore dulu. Nasihat saya, sudah-sudahlah berseteru. Kita sudah tua semuanya,”katanya.

Tiktok suka-suka

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesukaannya kini yang aktif dengan platform Tiktok, Didie menganggap ia sekadar satu aktiviti santai dan suka-suka semata.

Katanya, sejak dibelenggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ia menjadi permulaan buatnya untuk mencuba-cuba menggunakan platform media sosial tersebut yang baginya untuk mengelak rasa bosan.

“Iyalah, masa PKP tempoh hari, semua orang dibelenggu dengan rasa stres, saya pun stres. Tanam pokok, tapi pokok dah tumbuh tinggi pun tawaran job tetap tak kunjung tiba juga masa itu.

“Jadinya, saya suka-sukalah main Tiktok.Tapi, saya pun tak sangka, laju juga ya pengguna di Tiktok ini. Ramai yang jadi pengikut dan saya pun rasa seronok bila dapat hiburkan peminat di situ,”katanya.

Selain itu, ditanya sama ada dia tidak kisah dikecam kerana dianggap sudah tua untuk menari dan melakukan aksi lucu-lucu di platform tersebut, Didie bagaimanapun tidak berkecil hati.

“Dulu masa orang kutuk-kutuk itu pun, saya buat tak tahu saja. Sekarang, kalau ada yang komen pelik-pelik, saya block saja. Bukan apa, yang suka tengok dan sokong itu lebih ramai daripada yang nak kutuk-kutuk.

“Saya pun bukannya buat aksi melampau di Tiktok. Kadangkala, buat untuk rebiu produk dan sebagainya. Itu pun sumber rezeki juga. Contohnya, macam saya buat bertiktok dengan Roy Azman, rebiu lemang dan rendang sebelum ini.

“Rupanya ramai yang suka. Bukan apa, pasal kami berdua ini memang ‘masuk air’. Gila-gila! Okeylah itu bukan?” katanya. Utusan

Ifa dengan Roslan hentikan bergaduh – Didie Alias


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi Berdepan Saman Berkaitan Sapura

Menantu baru tak bangsat – Chef Wan

Chef Ammar dakwa gerainya ditutup kerana disihir

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker