Penerbit gusar tiada projek RTM

Penerbit gusar tiada projek RTM

Saban tahun, RTM dianggap sebagai ‘lubuk emas’ kepada golongan penerbit yang juga ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) untuk mendapatkan sumber rezeki menerusi kepelbagaian karya penerbitan yang dihasilkan.

Berbanding stesen penyiaran swasta, RTM lebih bersikap terbuka apabila memberi peluang kepada lebih banyak syarikat produksi tempatan mencuba nasib dalam sesi saringan perolehan (pitching), setiap tahun.

Namun, nasib golongan penerbit kini bagai telur di hujung tanduk apabila hingga hari ini masih belum ada sebarang pengumuman pihak RTM mengenai sesi saringan perolehan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Situasi itu menimbulkan keresahan dalam kalangan golongan penerbit yang banyak bergantung kepada stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata golongan penerbit bergantung harapan pada RTM untuk memasarkan karya sejak dahulu lagi.

“Kebiasaannya, ada dua sesi saringan perolehan dijalankan, setiap tahun. Bagaimanapun, kini sudah memasuki April, kami masih belum mendapat kepastian mengenai pelaksanaan sesi saringan perolehan ini.

“Tahun lalu, walaupun dalam situasi pendemik, RTM tetap membuka sesi pitching pada Oktober. Sebanyak 200 rumah produksi tempatan mendapat manfaat daripadanya.

“Justeru, apabila RTM tidak membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai sesi saringan perolehan ini, sudah tentu kami risau kerana ia membabitkan periuk nasi,” luah Jurey kepada BH Online.

Tambah Jurey, jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, golongan penerbit bakat berdepan dengan dua situasi getir yang boleh mendatangkan risiko kepada perniagaan.

“Lazimnya, masa yang diperlukan untuk memproses segala dokumen selepas sesi pitching mengambil masa selama tiga bulan.

“Katalah kalau sesi dijalankan pada Mei, bermakna tiga bulan kemudian barulah kerja penerbitan boleh dijalankan. Itupun jika ada sesi pitching.

“Sebelum ini, kami dimaklumkan masalah dihadapi RTM disebabkan tiada bajet. Jika keadaan ini berterusan, banyak syarikat produksi terpaksa gulung tikar menghentikan operasi,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penggambaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila kebenaran diberikan dan baru hendak merangsang bisnes, berlaku perkara seperti ini. Saya harap RTM dapat memberi maklum balas mengenai perkara ini,” ujar Jurey.

Mengulas saranan tiga persatuan seni utama iaitu Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) agar semua pihak berkepentingan mengkaji semula kadar gaji dan upah dilaksanakan, Jurey berkata, semua yang terbabit perlu duduk semeja bagi memperbetulkan ekosistem yang menjadi punca utama, selama ini.

“PTVM tidak pernah menghalang untuk persatuan meminta kenaikan kadar gaji untuk pelakon, pengarah ataupun pekerja belakang tabir, tetapi bukan dengan cara menekan satu-satu pihak.

“Dalam situasi ini, mereka kena lihat daripada skop yang lebih luas. Penerbit tidak boleh menaikkan kadar gaji atau upah sesuka hati kerana kami sendiri berdepan masalah bayaran rendah oleh stesen penyiaran.

“Macam mana nak bayar upah tinggi jika bayaran diterima masih pada takuk lama. Itu tidak termasuk bayaran tinggi yang diberikan kepada artis gred A disebabkan mereka menjadi pilihan stesen penyiaran.

“Kalau kita ikutkan juga permintaan mereka, tidak mustahil penerbit akan gulung tikar. Kita perlu memperbaiki dari aspek akta, dasar dan kepincangan terhadap ekosistem kerana itulah yang menjadi punca masalah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jurey turut menuding jari kepada sistem pemerintahan yang juga menjadi penyebab masalah ini sukar untuk diselesaikan.

“Ini bukan masalah baru. Sejak dahulu, isu bayaran terus menjadi bahan perdebatan dan ia tidak pernah berakhir.

“Isu yang sama berkali-kali diangkat ke meja rundingan. Banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk memberikan kefahaman kepada pihak berkuasa demi penyelesaian kepada tuntutan industri.

“Namun, semua usaha ini menjadi sia-sia apabila setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan dalam kerajaan, segala akta dan dasar berkaitan akan berubah serta tuntutan diperjuangkan menemui kegagalan,” kata Jurey.

Isu kenaikan kadar gaji dan upah dalam kalangan penggiat industri kembali diperkatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini di seluruh negara. BH

Penerbit gusar tiada projek RTM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Ayam Masak Bawang Mengiurkan

Mas Idayu bakal berkahwin dengan penerbit eksekutif TV3

https://mykmu.net/2022/04/10/dilabel-jual-juadah-harga-tel-aviv-chef-ammar-tersingg

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker