Omicron lebih bahaya berbanding Delta

SHAH ALAM – Masih banyak informasi belum diketahui tentang varian Omicron yang mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan baru-baru ini namun pakar kesihatan tidak menolak kemungkinan kebolehjangkitan varian tersebut lebih tinggi berbanding Delta.

Menurut Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, strain baharu Covid-19 yang juga dirujuk sebagai B.1.1.529 itu dilaporkan mempunyai lebih 30 mutasi, dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.

“Ini menyebabkan kemungkinan Omicron mudah merebak berbanding virus Delta namun virulen virus masih tidak diketahui dan setakat ini dikatakan menyebabkan gejala ringan ke sederhana di Afrika Selatan.

“Disebabkan jumlah spike protein yang banyak dalam varian Omicron (32 mutasi) menjadikan ia sukar dikesan dan mudah berjangkit,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Untuk rekod, setakat ini Omicron telah dikesan menular ke pelbagai negara antaranya Itali, Belgium, Jerman, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.



Walaupun Malaysia masih belum ‘diserang’ varian ini, rakyat tetap perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) selain menjalani pemeriksaan kesihatan terutama untuk warga berusia 40 tahun dan ke atas.

“Kita perlu menggalakkan semua yang berumur 40 tahun ke atas untuk memeriksa kesihatan diri termasuk status Covid-19 selain menjaga kesihatan sebaiknya bagi mengelakkan beban komorbiditi bertambah.

“Ini kerana banyak kematian Covid-19 di Malaysia pada ketika ini melibatkan golongan umur 40 tahun ke atas yang kebanyakannya mempunyai pelbagai masalah kesihatan lain,” kata Dr Sharifa Ezat.

Beliau turut menyarankan pengambilan suntikan vaksin penggalak kepada mereka yang layak seperti warga emas, individu dengan komorbiditi dan individu yang menerima suntikan vaksin Sinovac bagi meningkat sistem pertahanan badan melawan virus.



Tambahnya, walaupun belum pasti namun kemungkinan Omicron dikhuatiri akan mengakibatkan penurunan keberkesanan vaksin sedia ada tetap ada.

Hal ini menyebabkan ada syarikat farmaseutikal sudah mula bersedia mengeluarkan vaksin khas bagi melawan varian membimbangkan ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar turut setuju melindungi diri dengan pengambilan vaksin adalah langkah terbaik buat masa ini.

“Masih belum ada maklumat cukup tentang Omicron, sama ada ia lebih bahaya daripada Delta tetapi perlindungan menerusi pengambilan suntikan vaksin dan juga suntikan vaksin penggalak adalah yang terbaik buat masa ini,” katanya.



Malaysia memandang serius ancaman Omicron apabila kerajaan memutuskan menangguh seketika usaha bergerak ke Fasa “Peralihan ke Endemik’ sehingga lebih banyak informasi lanjut diketahui tentang varian tersebut.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 26 November telah mengenakan sekatan perjalanan terhadap tujuh buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe bagi mengekang penularan varian baharu Omicron.

Terkini, Malawi turut termasuk dalam senarai sekatan perjalanan tersebut, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah lapan negara.

Omicron lebih bahaya berbanding Delta




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wajah Kate Middleton ‘lebam’, penuh luka timbulkan kemarahan warganet



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker