Gigi tiada, badan kurus, lakonan tetap dipuji

Gigi tiada, badan kurus, lakonan tetap dipuji

Selama beberapa tahun, pelakon sensasi, Iqram Dinzly, 41, terus dihukum dengan cercaan seperti tidak siuman, gila dan sakit jiwa. Umpama terperangkap dalam ‘dimensi hidup’, namun, apa yang dicari bukannya kehidupan dunia nyata apabila berkelakuan pelik, jelik dan keterlaluan.

Pada pandangan mata kasar, Iqram seperti tersasar daripada landasan hidup menerusi perkongsian video dimuat naik dalam laman Instagram (IG).

Malah, ada melemparkan persepsi kemungkinan Iqram menuntut ajaran sesat atau mengambil bahan terlarang sehingga berkelakuan seperti manusia tidak siuman.

Bagaimanapun, itu sekadar tuduhan. Hakikatnya, Iqram sedang mencari diri sendiri. Namun, apa yang dilakukan memberi kesan buruk terhadap diri, keluarga dan kerjaya lakonan.

Iqram yang kini lebih selesa menggelarkan diri sebagai Iqram Dinzlycious kembali diperkatakan, namun bukan kelakuan gila, sebaliknya, keberkesanan watak dalam drama rantaian, Hati Yang Dikhianati.

Tidak hanya pengarah tersohor, Bade Azmi, malah, barisan pelakon seperti Shah Iskandar, Amar Baharin dan Zamarul Hisyam turut memuji komitmen dan kredibilitinya sebagai pelakon.

Mengulas langkahnya kembali aktif berlakon selepas sekian lama terumbang-ambing, hidup dalam kecaman dan dakwaan berdepan masalah mental, Iqram mengakui, dia kembali menyemarakkan dunia lakonan.

“Ya, saya sedang aktif berlakon. Allah sudah susunkan masa terbaik untuk saya kembali menyemarakkan industri seni.

“Pada masa sama, kebanyakan syarikat produksi sedang rancak melaksanakan penggambaran, jadi, mengapa tidak mahu mencubanya.

“Alhamdulillah, persahabatan terjalin antara saya dan rakan pelakon drama Hati Yang Dikhianati membantu memberi impak baik untuk saya membina keserasian bersama rakan pelakon.

“Dan, ini juga hasil pengalaman saya selama 15 tahun sebagai anak seni, apatah lagi, melalui pelbagai kontroversi,” katanya kepada BH Online.

Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly bin Muhammad Saipuddin berkata, watak Azlan dalam drama Hati Yang Dikhianati tidak ubah seperti karakter sebenarnya.

“Saya bersyukur, pengarah, Bade memberikan sentuhan magis hingga membuatkan watak Azlan benar-benar hidup.

Tidak hanya itu, syarikat produksi, Global Station Sdn Bhd menerima saya seadanya walaupun gigi sudah tiada dan badan pula kurus.

“Saya akui tidak seperti Iqram Dinzly dahulu yang metroseksual dan menjaga penampilan, tetapi, sekarang saya hanya jalan sahaja. Alhamdulillah,” katanya.

Mengulas syarikat produksi takut memberikan tawaran lakonan ekoran kontroversi dan kelakuannya dalam laman IG, Iqram menafikan tanggapan sedemikian.

“Tidak logik ada yang takut memberi tawaran lakonan kepada saya. Sebab mereka lebih takutkan saya daripada Allah.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah merasakan diri saya bagus atau hebat. Saya hanyalah pejuang berjiwa seni. Menerusi seni inilah saya jadikan platform membuktikan persepsi netizen salah sama sekali,” ujarnya.

Pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Memori Cinta Suraya itu berkata, dia berjaya menempuhnya seorang diri terhadap komen buruk yang dilontarkan netizen.

“Dari segi sudut mental, saya bukanlah hebat, tetapi saya dapat membuktikan kebenaran di sebalik kemungkaran.

“Saya bukannya mempunyai masalah mental, sebaliknya, mahu memperkotak-katikkan mental golongan netizen.

“Saya melontarkan api bagi menyemarakkan jiwa netizen yang merasakan mereka hebat dan berkuasa dalam media sosial,” katanya.

Selain drama Hati Yang Dikhianati, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia sudah mula dihujani tawaran. Bukan sahaja berlakon, malah, ada juga rezeki ke arah cabang lain.

“Namun, biarlah rahsia dahulu. Sekarang saya masih sibuk menyelesaikan penggambaran drama Hati Yang Dikhianati.

“Dalam pada masa sama, saya juga menjayakan drama Lockdown arahan Erma Fatima. Saya bergandingan bersama Elly Mazlein, Rosnah Mat Aris, Fatin Siregar Tamimi dan Nadya Syahera,” katanya.

Sebelum ini, Iqram menerima impak terlalu besar apabila laman Instagram Iqram dahulu, sebelum disekat pernah mencapai ‘impression’ dalam Instagram Business Tool sebanyak 44 juta pelayar, malah, kebanyakan ‘live video’ ditonton hampir 10,000 orang pada 2018. BH

Gigi tiada, badan kurus, lakonan tetap dipuji


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker