Puteri Balqis geledah sampah, realiti kehidupan yang sebenar

Puteri Balqis geledah sampah, realiti kehidupan yang sebenar

BERTEMU empat mata dengan si gadis berusia 15 tahun bernama Puteri Balqis ini menjentik sebuah rasa yang menikam ke jiwa. Di sebalik solekan ‘gothic’, sedikit garang sentuhan jurusolek El Manda Zuhairi, santun senyuman bersulam lentur bahasanya tetap terpuji. Jarang benar, gadis usia belasan begitu memiliki karakter sedemikian.

Benar gadis yang mesra disapa Aqish itu seorang pelakon, namun merenung jauh ke dalam dirinya, lirik matanya sahaja sudah mempamerkan satu kejujuran. Polos, barangkali istilah nyaman menterjemahkan keperibadian Aqish, gadis yang barangkali mengelirukan ramai. Apa sebenarnya dilalui si dara sunti itu?

Sekitar 10 tahun lalu, Aqish pernah mencipta fenomena dek persembahan lakonannya yang menyentuh rasa. Bayangkan pada usia mentah, baru berusia empat tahun, kejujuran lakonannya mampu merobekkan dada setiap penonton.

Esak tangisnya seperti bukan dipaksa-paksa, air matanya bagai tersedia untuk ditumpahkan mencairkan sebak di dada kita, ceria tawanya juga mudah menggoda untuk sama-sama bercanda gurau. Itulah Aqish, si cilik yang satu ketika dahulu pernah memberikan hiburan buat kita semua.


PERNAH menggenggam jiwa setiap khayalak dengan bakat dan pesonanya selaku pelakon cilik, kini kemilau bintang kehidupan Puteri Balqis tidak seterang dahulu.

Tidak hairanlah pemilik nama pentas Puteri Balqis itu pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2014 dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia 2014.

Sayangnya, ketika meniti zaman gemilang, namanya bagaikan kabur dari radar. Hampir dua tahun menghilang, Aqish kemudiannya dikhabarkan sedang berjuang melawan penyakit.

Sejak itu, satu per satu kisah keperitan hidup Aqish bersama ibunya yang ketika itu sudah pun bergelar ibu tunggal diberitakan.

Bertahun-tahun mengisi kehidupan terpencil di tengah ibu kota, sepanjang tempoh tersebut Aqish sebenarnya menjalani satu kehidupan yang samar-samar.

Dia terpaksa menebalkan muka, membuang jauh-jauh status seorang bintang dengan mencari rezeki di jalanan menjaja buku puisi nukilan sendiri kepada orang ramai.

“Pernah dalam sehari dua, kami terpaksa mengikat perut. Tapi kami bersyukur kerana masih dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sukar.

“Dengan wang hasil menjual buku puisi itulah digunakan untuk saya dan ibu menjana pendapatan sepanjang dua tahun tidak berlakon,” katanya dengan nada bergetar.

Paling tidak disangka, pusat pembuangan sampah juga menjadi periuk nasi mereka untuk melestarikan apa itu yang dinamakan kehidupan.

Geledah ‘sampah’

Bahkan tanpa berselindung, Aqish yang memulakan kerjaya lakonan seawal usia empat tahun mengakui masih menggeledah tempat pembuangan sampah berhampiran kediamannya untuk mencari barangan terpakai atau apa sahaja yang boleh dibaiki dan dijual semula.

Sesekali, ibunya akan ke tempat pembuangan sampah berdekatan rumah untuk mencari barangan terpakai seperti perabot yang dibuang untuk dibawa pulang dan dibaiki sebelum dijual semula.


TIDAK seperti remaja lain, Aqish enggan menjadi hamba media sosial untuk menayangkan kehidupan palsunya buat tontonan orang ramai.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain menjual buku puisi, ibu juga bekerja di pasar pagi. Sesekali, ibu akan ke tempat pembuangan sampah untuk mengutip perkakas rumah seperti perabot yang masih elok untuk dibaiki dan dijual semula.

“Tempat pembuangan sampah itu terletak di kawasan orang kaya. Jadi memang banyak perabot yang masih elok dibuang.

“Saya akan membantu ibu mengecat semula perabot yang dibaiki itu sebelum menjualnya semula,” katanya.

Biarpun sudah kembali aktif berlakon, Aqish bersama ibunya masih ‘melawat’ tempat pembuangan sampah bagi mencari ‘sisa rezeki’ untuk menambah pendapatan mereka.

“Kami buat bukan sekadar untuk menambah pendapatan, tapi sebab kami gembira melakukannya.

“Saya tidak malu kutip sampah sebab itulah realiti kehidupan saya sekarang. Saya mahu orang ramai lihat apa yang kami lakukan untuk meneruskan kehidupan,” getusnya perlahan-lahan.

Sepanjang perbualan, emosi Aqish turun naik. Saat suaranya bergumam, si ibu di sisi menjadi penguat semangat sebelum dia kembali menyambung bicara. Bukan untuk simpati, namun itulah yang Aqish mahu sampaikan.

Dia terpisah jauh daripada imaginasi kehidupan seorang selebriti iaitu kemewahan dan kebendaan yang sering kita lihat dalam media sosial.

‘Kekayaan’

Aqish memperlihatkan sisi lain seorang selebriti. Pelakon drama Akulah Balqis itu sebelum ini cukup popular, namun hidupnya sekarang tak ubah seperti anak senja (anak jalanan).

Mereka tiada kenderaan dan hanya ke mana-mana dengan berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam. Itu realiti kehidupan Aqish yang sebenar.


REMAJA berusia 15 tahun ini tidak mahu kembali menjadi Aqish seperti sebelum ini yang dianggap gagal dek termakan pujian.
“Jika saya tunjuk kehidupan mewah, sentiasa gembira, itu bermakna saya sedang berselindung daripada realiti kehidupan yang sebenar.

“Saya mahu orang melihat perjalanan kehidupan yang sebenar. Tidaklah mewah seperti yang disangka ramai,” katanya penuh makna.

Bermasalah

Pun begitu, Aqish tidak menyesal terjun dalam dunia glamor walaupun terpaksa melalui hari-hari yang sukar.

Dia bersyukur, kerjaya lakonanlah yang menemukan dirinya dengan individu ikhlas untuk kekal bersamanya.

“Selepas masuk dalam industri, barulah saya tahu yang mana kawan, mana lawan. Saya sendiri sebenarnya lebih selesa bersama orang awam berbanding sentiasa berdampingan dengan rakan artis,” luahnya.

Jika bukan kerana statusnya sebagai pelakon, masyarakat mungkin tidak ambil tahu tentang kepahitan yang dilaluinya.

Bahkan jika bukan kerana status itulah, mana mungkin juga namanya tiba-tiba sahaja panas dengan kontroversi apabila dilabel netizen sebagai remaja bermasalah, terpesong dan memberontak.


BIAR apa pun yang terjadi, Aqish enggan berpisah dengan ibunya yang banyak berkorban mengerah kudrat ketika dia berjuang untuk hidup melawan penyakitnya suatu ketika dahulu.

Lebih kejam, segala tuduhan yang dilemparkan turut mengaitkan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz, 40, yang dikecam gagal mendidik seorang anak.

Bagi Aqish, biarlah netizen bersama mulut mereka. Mengata apa sahaja tentang apa yang mereka rasakan.

“Hakikatnya, saya dan ibu sama-sama gembira dan menjalani kehidupan normal semasa berada di rumah.

“Mereka (netizen) menghakimi saya hanya dengan melihat penampilan (pakaian) dan tatu yang ada di lengan ibu.

“Saya kelihatan seperti sedang memberontak. Namun saya juga manusia yang punya hati dan perasaan.

“Saya dididik oleh ibu untuk bercakap dengan kata-kata yang indah. Orang ramai juga tidak nampak ibu saya siang dan malam berdoa untuk seluruh alam. Berhentilah menilai kami,” kata pemilik nama lengkap Puteri Balqis Aziz itu.

Besar harapan Aqish, setiap orang di luar sana perlu berusaha menghidupkan dan menerangi hati sendiri terlebih dahulu sebelum menilai kehidupan orang lain secara luaran. K Online

Puteri Balqis geledah sampah, realiti kehidupan yang sebenar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Puteri Balqis geledah sampah, realiti kehidupan yang sebenar

SEARCH Tua bangka, tapi tamak haloba – Awie

Suami isteri ditangkap basah?

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Melati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker