Anuar Zain kembali setelah ‘tidur’ selama 2 tahun

Anuar Zain kembali setelah ‘tidur’ selama 2 tahun

ANUAR ZAIN. Satu nama yang cukup dikenali, disegani dan tidak perlu lagi diperkenalkan secara umum.

Lebih tiga dekad memegang takhta sebagai anak seni bukanlah satu tempoh singkat buat Anuar untuk terus kekal relevan dan diterima hingga ke detik ini.



Tiada Anuar Zain lain. Dialah satu-satunya Anuar yang tidak pernah lupa diri apatah lagi mendongak tinggi ke langit tanpa menoleh ke bawah.

Tidak hairanlah jika namanya masih disebut-sebut ramai dan ‘kehilangan’ sementaranya amat dirasai lebih-lebih lagi sejak dua tahun kebelakangan ini.

Bagi Anuar, dia sama saja seperti anak seni lain khususnya penyanyi yang tidak boleh lari apatah lagi mengelak daripada tempias pandemik tidak diundang, Covid-19.

Berpeluang bertentang mata bersama penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu-lagu balada ‘cekik leher’ ini, Anuar tetap dengan dirinya yang sama seperti dulu.



Ceria, senyuman yang tidak lekang di bibir walau ditutup dengan pelitup muka dek norma baharu, itulah yang membuatkan rezekinya dalam gelanggang nyanyian terus murah tanpa pernah kontang.

“Alhamdulillah masih ada yang mengingati dan rindukan saya untuk kembali aktif seperti sebelum ini.

“Jujur, lama sangat dah saya ‘tidur’. Dua tahun tidur tanpa berbuat apa-apa. Inilah hasilnya,” katanya tertawa sambil menunjukkan bentuk badannya kepada wakil media yang ada di hadapannya.

Kata Anuar, dia sangat rindu dengan kehidupan normal yang pernah dilewati sebelum datangnya ujian yang menerpa tanpa diduga.



Rindu bukan setakat untuk bernyanyi dan membuat persembahan di atas pentas sahaja, tetapi juga untuk bersama peminat, bersua dengan rakan-rakan wartawan dan kehidupan bebas seperti sedia kala.

Malam amal

Meneruskan cerita, pelantun lagu hit Sedetik Lebih itu yang ditemui pada sidang akhbar Makan Malam Anuar Zain – Karena Aku Cinta melahirkan rasa cukup teruja diberi peluang menjayakan showcase yang akan berlangsung Mac depan nanti.

Kata Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain, saat pertama kali dihubungi penganjur mengenai majlis makan malam tersebut, dia benar-benar teruja kerana sudah lama tidak membuat persembahan dalam skala besar.



“Jujurnya ketika mula-mula dapat jemputan daripada penganjur mengenai projek mega ini, saya sendiri rasa seperti terpana dan tidak percaya.

“Maklumlah sudah lama benar tidak ‘beraksi’ di atas pentas. Rasa kekok pun ada. Tapi saya sahut dan terima bukan sekadar untuk kepuasan sendiri, tetapi untuk anda semua yang lama menanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, makan malam amal yang akan diadakan pada 5 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (ICCC), Perak bertujuan menyalurkan dana kepada anggota barisan hadapan yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Bahkan, program tersebut juga bertujuan menghargai penggiat seni tempatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang membadai negara sejak dua tahun lalu.



Cerewet, kuku besi

Kalau sebut sahaja Anuar Zain, pasti ramai terutama peminat setia lelaki itu tahu dan sedar mengenai satu perangai yang ada dalam dirinya.

Tidak lain tidak bukan, sikap cerewet. Cerewet bukan bererti menjadi seseorang yang terlalu memilih dalam sesuatu hal secara sengaja atau suka-suka.

Cerewet yang dimaksudkan adik kepada penyanyi dan pelakon ‘angkat kening’, Ziana Zain itu lebih terarah terhadap kerjayanya sebagai penghibur.



“Bab cerewet dan memilih dalam kerja itu memang saya. Bukan baru atau sehari dua saya begitu, sudah lama sebenarnya.

“Saya jadi begitu ada sebab. Saya jadi cerewet dan dikatakan ala-ala perfectionist (sempurna) pun ada alasannya. Semuanya sebab kualiti dan mutu terbaik yang mahu dipersembahkan kepada semua,” katanya.

Kata Anuar, walaupun sering digelar sebagai ‘kuku besi’ dalam kalangan orang-orang industri, dia langsung tidak pernah mengambil hati apatah lagi terkilan kerana tahu apa yang dilakukannya.

“Ya, saya akui memang saya jenis kuku besi dalam setiap inci yang saya lakukan. Tak kisahlah melibatkan lagu, susunan muzik, pengarah muzik, persembahan, kolaborasi dan apa sahaja berkaitan kerjaya seni termasuklah makan malam amal ini nanti.

“Siapa yang kenal dan pernah bekerja dengan saya pasti tahu bagaimana cerewet serta selektifnya saya dalam memastikan sesebuah karya atau persembahan itu betul-betul sempurna,” ujarnya.

Belum masa

Pada pertemuan tempoh hari, rakan media sempat melayangkan pelbagai soalan berbangkit mengenai industri muzik tempatan.

Antara isu yang dilayangkan kepada Anuar adalah mengenai trend kolaborasi dan duet antara artis senior dan Budak Baru Nak Up (BBNU) seperti dilakukan kebanyakan penyanyi ketika ini.

Katanya, dia belum merancang untuk berduet dengan mana-mana penyanyi baharu dalam masa terdekat. Pada masa sama, dia tidak memandang alasan populariti yang dikecapi seseorang penyanyi itu sebagai tiket mudah untuknya menjalin kerjasama.

“Setakat ini tidak ada perancangan ke arah itu. Kalau bercakap soal lagu duet, buat masa sekarang saya nak sendiri saja dan lebih selesa begitu.

“Memang ramai yang bekerjasama, tapi masing-masing ada cita rasa dan alasan. Kalau nak berduet, saya kena kenal betul-betul terlebih dahulu dan selesa untuk bekerjasama.

“Dengan kakak sendiri, Ziana Zain pun susah nak dipadankan. Sebab itu tak boleh rakam lagu sampai sekarang. Puas cari lagu tapi susah. Sebab itu saya berasakan kalau nak berduet, kena betul-betul ikhlas dan bukannya kerana populariti orang itu,” katanya lantas menoktahkan bicara. K Online

Anuar Zain kembali setelah ‘tidur’ selama 2 tahun


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker