PAS: Kita kuat bersama tapi Ku Li mahu kembali ‘ke belakang’?

Beberapa pemimpin PAS mempersoalkan pemikiran Tengku Razaleigh Hamzah susulan kritikannya berkenaan kerjasama antara Umno, PAS, dan PPBM, dengan seorang ahli jawatankuasa pusat parti Islam itu tertanya adakah beliau mahu kembali ke keadaan di mana kumpulan Melayu berpecah.

Semalam, Tengku Razaleigh dalam temubual The Malaysian Insight membayangkan pergaduhan antara Umno, PAS, dan PPBM di masa depan, lantaran berebut kawasan sama menjelang pilihan raya umum.

Beliau juga mempersoalkan apakah untungnya bagi Umno meneruskan pakatan itu, bukan sahaja kerana kerusi-kerusi “tradisi” yang kini disandang pemimpin PPBM, malah tidak banyak jawatan Kabinet diberi kepada Umno, walaupun sokongannya memastikan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mahu Tengku Razaleigh melihat bagaimana Muafakat Nasional – pakatan yang menggabungkan 2 parti Bumiputera-Islam terbesar selepas pilihan raya umum ke-14 – berjaya merapatkan hubungan orang Melayu “yang lama berpecah”.

“MN langkah terbaik membina kekuatan bersama,” katanya kepada FMT, menyeru veteran Umno itu melihat “suasana baharu” politik tanahair.

“Dominasi Barisan Nasional (BN) sudah berubah dan keputusan PRU-14 perlu diambil sebagai iktibar.”

AJK PAS Pusat, Mohamed Fadzli Hassan senada dengan pandangan itu. “Dia hendak kembali ke belakang?”

“Apa yang kita buat untuk kebaikan di masa depan. Cara dia berfikir cara zaman dahulu dan dia tidak boleh terima manfaat yang kita ada, selain daripada kerajaan yang kita ada sekarang ini,” katanya.

Pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang, akui ada kebenaran di sebalik hujah Tengku Razaleigh, menyedari sukarnya membahagikan kerusi pilihan raya antara PPBM, PAS, dan Umno memandangkan ketiga-tiga parti kini boleh menang di kebanyakan kerusi “tradisi” itu.

“Siapa yang hendak mengalah? Semua ada fakta mengatakan dia berhak dan akhirnya siapa yang akan mengalah?” katanya.

“Kalau saya pemimpin Umno, rasa boleh menang buat apa beri kerusi pada orang lain.”

Tuan Ibrahim bagaimanapun mahu mengingatkan Tengku Razaleigh akan bahaya jika mereka berpecah sekarang.

“Sebarang perpecahan akan melemahkan orang Melayu, Islam di negara ini…akibat perpecahan maka Pakatan Harapan akan mengambil kesempatan atas perpecahan parti Melayu.”

Mazlan pula percaya pertembungan antara ketiga-tiga parti hanya boleh dielak sekiranya Umno mengikut jejak PAS menyertai Perikatan Nasional, yang dipimpin presidennya, Muhyiddin. FMT

Related Articles

One Comment

  1. PPBM masuk Umno habis cerita…..PPBM tiada akar Umbi….tiada kuasa undi….berkuasa pun org lain yg beri laluan….

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker