Sophia enggan jadi bahan gosip sensasi

Sophia enggan jadi bahan gosip sensasi

Barangkali, berbeza bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan Sophia Albarakbah, 29, dengan pelakon seangkatan dengannya.

Ketika rakan seangkatannya sudah berlari jauh, namun, pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina itu dilihat masih bertatih untuk membina nama.

Namun, prinsipnya biarlah bertatih, merangkak dan kemudiannya, berlari dari bawah dahulu demi mencari pengalaman. Tidak sesekali menjual cerita sensasi mahu kontroversi demi menempa populariti.

Enggan memandang serong terhadap orang lain, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Miimaland dan Pasal Kau! itu mengakui, dia menghormati mereka yang menggunakan kontroversi sebagai jalan pintas menjadi popular, namun, itu bukan caranya.

“Saya tidak kisah bermula dari bawah atau lambat dikenali, asalkan tidak melakukan perkara merepek demi viral.

“Apa yang diharapkan, orang mengenali Sophia Albarakbah berdasarkan bakat, bukannya cerita sensasi yang sengaja direka-reka.

“Walaupun ada yang beranggapan zaman ini artis memerlukan cerita panas untuk tular, tetapi saya bersyukur setakat ini, belum ada sesiapa yang menyarankan saya berbuat sedemikian.

“Jika ada yang menyarankan pun, saya takkan akan buat,” tegas Sophia ketika ditemubual BH Online, baru-baru ini.

Memulakan langkah dalam bidang lakonan pada usia 28 tahun, tidak dinafikan sedikit-sebanyak menerbitkan rasa rendah diri kepada pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sophia berkata, perasaan itu wujud apabila berdepan dengan pelakon lain yang lebih muda dan dirasakan lebih hebat daripadanya.

“Pada usia 28 tahun menceburi bidang lakonan boleh dikatakan agak lambat. Ada ketika, wujud rasa rendah diri dan lakonan tak cukup bagus jika mahu dibandingkan dengan pelakon lain lebih muda serta berbakat.

“Malah, pernah juga terdetik dalam diri berhenti menjadi pelakon. Ini berlaku apabila saya tertekan kerana sukar untuk membawakan sesuatu watak yang memerlukan permainan emosi.

“Paling mencabar, membawakan watak marah. Walaupun pada saya babak marah sudah sehabis baik dilakukan, tetapi masih tidak cukup hingga membuatkan saya putus asa.

“Cabaran lain, apabila watak memerlukan saya menangis. Saya boleh buat, tetapi ada hari-hari tertentu ia tidak menjadi,” dedahnya.

Melihat penampilan fizikal Sophia, ternyata sifat malu-malu masih menebal dalam diri walaupun dilahirkan dan dibesarkan di ibu kota.

Tutur bicaranya tersusun rapi dan apabila diusik dengan soalan panas, hanya senyuman manis diukir sebagai perisai untuk melindungi perasaan malu.

Namun, di sebalik keayuan dan kelembutan dipamerkan, jangan ada sesekali jejaka hidung belang cuba mendekati untuk mempermainkan perasaannya.

Diusik pertanyaan apakah dirinya pernah didekati mana-mana pelakon lelaki yang cuba menarik perhatiannya, pelakon drama bersiri, Hadiah Dari Tuhan dan Tercipta Satu Ikatan itu mengakui, dia tidak berminat menjalinkan hubungan serius, ketika ini.

“Setakat ini, tiada pula yang pernah cuba ambil kesempatan. Seperti ditegaskan sebelum ini, saya tak mahu terjebak dengan kontroversi.

“Kalau boleh saya nak kekalkan imej bersih sampai bila-bila. Berani kalau ada yang nak kacau, saya akan ‘tinju’ mereka,” ujar Sophia spontan sambil tertawa.

Sebelum terbabit dalam dunia lakonan, Sophia terlebih dahulu membina nama sebagai pelakon iklan. Sophia bakal muncul dengan drama rantaian, Suamiku Lelaki Pendosa bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz yang akan ditayangkan di slot Akasia, TV3. BH

Sophia enggan jadi bahan gosip sensasi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Rumah mewah atas bukit di Shah Alam untuk dijual RM17j (Video)

Ustaz Abu Syafiq mengaku tak vaksin dan bawa orang tak vaksin ke Saudi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker