Scha Elinnea pernah sakit jiwa kronik

Scha Elinnea pernah sakit jiwa kronik

BERGELUT dengan masalah kesihatan mental dan didiagnosis sebagai penghidap skizofrenia bukanlah satu hal yang mudah untuk dihadapi pelakon Scha Elinnea.

Satu demi satu simptom yang perlu dihadapinya sebagai pesakit.

Sebut apa sahaja, semua sudah dirasainya sehingga pernah cuba menghilang diri dari ‘radar’ sekeliling untuk satu tempoh sementara.

Sukar tetapi itu yang harus dialami oleh pelakon yang mula dikenali menerusi naskhah Perempuan Tanpa Dosa itu.

Pucuk muda yang mesra disapa sebagai Scha itu mengakui hatinya semakin terbuka berkongsi perihal penyakit yang dihidapi sejak dibangku sekolah.

Akui pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, sebenarnya dia pernah takut berkongsi masalah kejiwaan yang dialami, bimbang menjadi satu bebanan kepada orang lain.


TIDAK mahu terus bergelut seorang diri, Scha mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri bagi membantu memulihkan masalah mental yang dihidapinya.

Teruk tetapi terkawal

“Dahulu saya akui memang takut untuk bercerita tentang kemurungan dan tekanan yang dihadapi tetapi hari demi hari, saya rasakan orang lain perlu mengetahuinya memandangkan penyakit saya juga semakin teruk.

“Kemurungan saya agak teruk berbanding dahulu ditambah pula sudah bergelar selebriti dan di situ bertambah lagi dengan lebih banyak tekanan, namun ini jalan yang saya pilih, hadap sajalah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Sebagai rutin rawatan, pemilik nama penuh Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen bertemu dengan pakar psikiatri secara berkala setiap bulan.

Tambah anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, gangguan mental kronik memaksanya mendapatkan bantuan pakar sakit jiwa.

“Jika diikutkan, sudah lama saya berdepan dengan penyakit ini. Mungkin ditambah dengan situasi semasa pandemik Covid-19 membuatkan saya banyak berfikir bukan-bukan.

“Selama ini, keadaan agak terkawal, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu semakin teruk sehingga pernah dimasukkan ke hospital.

“Saya tidak boleh tidur dan takut untuk tinggal di rumah seorang diri. Semua itu membuatkan saya cepat rasa cemas dan gelisah sehingga boleh menangis seorang diri.

Mungkin orang yang alami sahaja faham situasi saya,” tuturnya lagi.

Bukan kerana takut perkara mistik, Scha menjelaskan semua simptom tersebut ‘menyerangnya’ secara tiba-tiba sehingga memerlukan seseorang untuk sentiasa ada di sisi bagi menenangkan dirinya, terutama pada waktu malam.

“Saya tidak kisah orang cakap saya mengada-ngada kerana memerlukan teman tidur kerana mereka tidak memahami apa yang saya rasakan.

“Bila ada yang datang menemani seperti kawan baik atau pengurus, rasa lega dan sekurang-kurangnya mereka boleh pantau dan bantu ketika tahap kemurungan sedang teruk,” tuturnya.

Bagi mengurangkan kegelisahan dan kemurungan yang dilaluinya, dia cuba mengelak daripada membaca komen-komen negatif netizen dalam media sosial.

Ujarnya, tindakan tersebut mengundang rasa murung sehingga membuatkan dirinya terlalu banyak berfikir perkara negatif mengenai diri sendiri.

“Sebelum ini memang akan rasa tertekan dan murung bila baca komen-komen netizen. Nampak sahaja saya begini tetapi kadang-kadang ingin tahu juga apa yang netizen tulis.

“Kini, memang saya akan elak perkara-perkara sebegitu demi menjaga kesihatan mental saya,” katanya yang kini perlu mengambil lima jenis ubat bagi membantu mengawal penyakitnya.

Mahu sebar kesedaran

Dalam pada itu, teraju utama drama SiTikTok itu juga berharap perkongsiannya mengenai isu kesihatan mental dapat membuka mata ramai pihak mengenai keseriusan masalah berkenan dalam kalangan masyarakat hari ini.

Katanya, isu kesihatan mental sering dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak terutama yang tidak pernah mengalaminya.

“Ramai lagi yang masih belum sedar tentang impak penyakit ini sebab mereka tidak mengalaminya sendiri.

“Jadi, sebagai salah seorang pesakit, ini tanggungjawab saya untuk menyebarkan kesedaran mengenai penyakit yang semakin hari semakin membiak dalam kalangan masyarakat.

“Jangan pandang remeh atau sisihkan mereka yang mengalami masalah mental, sentiasa ada dan bantulah semampu mungkin walaupun hanya meminjamkan bahu atau telinga,” ujarnya lagi.

Kahwin atau kerja

Sempat ditanya, mungkin sudah sampai waktu Scha perlu mendirikan rumah tangga agar sentiasa ada insan tersayang di sisi, pelakon 23 tahun itu mengakui belum bersedia melangkah ke fasa itu.

Biarpun memerlukan teman tidur, dia belum terfikir untuk berkahwin hanya disebabkan perkara sebegitu.

“Kahwin? Tak terfikir lagi untuk mendirikan rumah tangga. Kalau tentang teman tidur, rasanya kawan baik saya masih ada untuk temankan.

“Ketika ini saya mahu fokus kerja dan bisnes yang diusahakan,” tuturnya yang juga salah seorang pengacara dalam program Master In The House Malaysia. K Online

Scha Elinnea pernah sakit jiwa kronik


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad

Bongkah Batu Tiba-Tiba Runtuh Timpa Bot Pelancong Sebabkan 7 Terbunuh [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker