Kekentalan 6 MP Bersatu teruji

Kekentalan 6 MP Bersatu teruji

Oleh Hishamuddin Aun

Mereka diancam dan diugut tapi enam Ahli Parlimen Bersatu yang sudah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak berganjak daripada pendirian masing-masing. Percaya bahawa mereka tidak akan kehilangan kerusi parlimen masing-masing, mereka yang digelar “6 Jahanam” itu yakin kelompangan dalam perlembagaan Bersatu membenarkan tindakan mereka selagi tidak mengisytiharkan keluar parti.



Buktinya, sekalipun diberi kata dua supaya menarik balik sokongan terhadap Anwar sebelum perhimpunan agung khas parti 2 Mac ini untuk mengelak daripada dipecat, keenam-enamnya — Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) — memilih untuk memekakkan telinga.

Ahad lalu, Ketua Penerangan Razali Idris dalam mengeluarkan kata dua berkenaan, berkata peluang buat mereka yang mengisytiharkan menyokong Anwar masih terbuka. Jika umum tarik balik sokongan, keahlian dan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen selamat. Tidak sekadar itu, beliau mendakwa ada dalang cuba menghasut enam Ahli Parlimen itu kekal menyokong Anwar dengan alasan pindaan fasal 10 perlembagaan parti tidak akan memberi kesan kepada mereka.

Razali tidak pula menamakan dalang dimaksudkannya tapi sekadar menyebut ia adalah pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH). “Beliau (dalang dimaksudkannya) mendakwa pindaan fasal 10 yang akan dilakukan parti (2 Mac ini) tidak boleh mengaitkan kesalahan kepada enam Ahli Parlimen berkenaan,” katanya.

Sedari awal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman pada 8 Disember 2023 menyatakan tindakan Ahli Parlimen berkenaan menyokong perdana menteri tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3). Ini kerana semua Ahli Parlimen itu hanya menyatakan sokongan tanpa melompat atau keluar daripada parti politik masing-masing. “Akta lompat parti itu bermaksud betul-betul lompat parti (sedangkan) mereka menyatakan bahawa mereka tidak meninggalkan parti, hanya memberi sokongan,” katanya sambil menambah parti masih berhak mengambil sebarang tindakan akibat pelanggaran disiplin.



Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membawa usul akta itu tahun lepas dilaporkan turut menjelaskan bahawa tindakan menyatakan sokongan kepada kerajaan tanpa melompat parti tidak melanggar pindaan perlembagaan yang mempunyai peruntukan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai tahun sama.

Lantaran itu, Bersatu dijangka meluluskan pindaan perlembagaan mirip Umno dan DAP bagi mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan. Seperti kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Rafiq Abdullah semalam, pindaan dijangka dibentangkan pada perhimpunan agung khas di Shah Alam 2 Mac ini selari dengan Perkara 49A Perlembagaan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.

“Sekiranya mereka enggan mengosongkan kerusi, maka Bersatu akan menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat untuk mengarahkan mereka berbuat demikian. Terpulang kepada speaker untuk buat keputusan. Kalau kami tak puas hati, ia akan dibawa pula ke mahkamah,” katanya. Maknanya ada dua pandangan berlawanan terhadap bagaimana untuk mengadili enam Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar – sama ada mereka perlu mengosongkan kerusi parlimen masing-masing atau tidak perlu berbuat demikian.

Seorang lagi Ahli MPT Dr Afif Bahardin turut berpandangan kerusi Parlimen seperti Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Tanah Merah dan Tanjung Karang perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil dalam masa terdekat. Ke arah itu, katanya, Bersatu akan menggerakkan apa saja kaedah dan bertindak dalam ruang lingkup perundangan serta politik bagi memastikan beberapa kerusi Parlimen milik parti itu dikosongkan seperti termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti.



Suhaili sebelum ini bertegas bahawa hanya speaker Dewan Rakyat dan mahkamah boleh menamatkan riwayat politik enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri dan bukannya perlembagaan parti, apatah lagi mereka mengambil keputusan itu sebelum pindaan perlembagaan parti dibuat. Persoalannya apakah sebarang pindaan pada 2 Mac ini boleh dikuatkuasakan secara retrospektif atau hanya selepas pindaan diluluskan?

Suhaili turut mendakwa tindakan mereka menyokong kerajaan tidak salah dari sudut perlembagaan Bersatu. “Kami sokong kerajaan ketika Bersatu tak pinda perlembagaan lagi, kalau pinda pun dah tak terpakai untuk kami,” katanya yang turut mencabar Bersatu memecat ‘6 Jahanam’. “Kalau (pimpinan Bersatu) rasa hebat sangat, pecatlah kami yang dah isytihar sokong PMX. Nak suruh kosongkan kerusi? Ini memang saya tidak layanlah, tunggu saja PRU16,” katanya.

“Insya-Allah maka tamatlah riwayat ‘enam jahanam’, mudah-mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara,” kata Razali di Facebook Ahad lalu sambil berpandangan bahawa pindaan perlembagaan parti itu nanti akan terpakai kepada enam Ahli Parlimen itu kerana mereka mendakwa masih ahli Bersatu. Berkongsi pandangannya, Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata mereka tetap akan tertakluk kepada pindaan perlembagaan parti kerana masih ahli parti walaupun pindaan dibuat selepas sokongan terbuka dibuat. Benarkah pendapat demikian?

Menyifatkan kenyataan Razali itu tidak berasas, Suhaili berkata pindaan perlembagaan Bersatu tidak akan mengubah pendiriannya untuk kekal menyokong Anwar. “Bila PN setahun kekal jadi pembangkang dan rakyat di kawasan saya jadi mangsa, saya putuskan sokong PMX sebagai ketua kerajaan. Apakah saya akan patah balik untuk sokong PN kerana Bersatu pinda perlembagaan? Jawapan saya tidak,” katanya.



Sependapat dengannya, Azizi pula mendakwa Bersatu tidak boleh mengambil tindakan kerana perlembagaan parti akan diubah hampir empat bulan selepas beliau mengumumkan menyokong Anwar pada 7 Nov 2023. Pindaan itu, katanya, tidak akan menghalangnya daripada terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan Gua Musang.

Zulkafperi, yang mempertahankan tindakannya menyokong Anwar sebagai wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian pada 24 Jan lalu, menegaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Rakyat tidak terjejas sama sekali. “Tidak benar itu (perlu kosongkan kerusi), saya masih kekal ahli dan setia sebagai ahli Bersatu, cuma menyokong kepimpinan kerajaan semasa bagi dapat berfungsi sebagai Ahli Parlimen memandangkan rakyat terhimpit dengan sara hidup yang tinggi dan sangat terbeban dengan harga barang yang sangat mahal sekarang,” katanya.

Di sebalik Wan Ahmad Fayshal menyatakan keputusan perhimpunan agung khas nanti dijangka memudahkan Perikatan Nasional (PN) mendapat semua kerusi Parlimen yang dianggapnya mudah untuk dikosongkan, beliau bagaimanapun tidak boleh menjelaskan lebih lagi mengenai perkara itu.”Saya tidak boleh jelaskan, kita kena tunggu perhimpunan khas untuk pinda perlembagaan parti,” katanya.

Namun, di mana Ahli Parlimen Machang itu masih keliru, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pula berasa lebih pasti. “Mereka (enam Ahli Parlimen Bersatu) tidak perlu kosongkan kerusi masing-masing,” katanya ketika sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media Isnin lalu.



Menegaskan perkara penting yang Ahli Parlimen berkenaan perlu lakukan adalah menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit, Johari menyambung: “Pada saya selagi mereka kata tidak ‘lompat’, dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli Bersatu, dia sokong PM, jadi apa masalahnya?”

Itu setakat ini mungkin memadai untuk menjawab segala persoalan – baik kepada Razali, Rafiq, Afif, Wan Ahmad Fayhsal atau sesiapa saja yang sealiran pemikiran — hingga memungkinkan kekalutan ini hanya boleh diselesaikan di mahkamah. FMT

Kekentalan 6 MP Bersatu teruji

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rindu slogan ‘Najib turun, ringgit naik’ – Akmal

Emma difitnah bertukar pasangan untuk seks

Marissa tanpa mekap dilabel ‘Muka Awam’

Ali Puteh bayar duit Hidayah, jumpa Hamzah lepas 4 tahun

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker