Foto, video lucah jejas emosi – artis

Sebaran :

Foto, video lucah jejas emosi – artis

Kes gangguan seksual dalam industri kreatif menarik perhatian ramai apatah lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kelmarin, mengingatkan pekerja seni segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika berdepan situasi menjengkelkan itu.

Annuar dilaporkan berkata, isu gangguan seksual dalam industri seni tempatan tidak harus dijadikan polemik, sebaliknya, perlu difokuskan tindakan lanjut berikutan kes seumpama itu salah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, gangguan seksual bukan isu remeh selain boleh menyebabkan seseorang itu terkesan akibat trauma dan gangguan kesihatan mental.



Sehubungan itu, Annuar sudah memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan susulan sekiranya ada kes gangguan seksual membabitkan mangsa pekerja seni.

“Saya minta polis ambil tindakan susulan kalau betul ada aduan (gangguan seksual) dalam industri, contoh ketika dalam penggambaran.

“Saya minta polis buat siasatan secara proaktif dan ambil tindakan. Tidak perlu polemik kerana kita ada undang-undang,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Bertanya penggiat seni mengenai dakwaan wujudnya kes gangguan seksual di lapangan kreatif, pelakon, Rafidah Ibrahim menasihatkan pekerja seni terutama wanita agar tidak menjadi mangsa.



Rafidah, 35, yang mendakwa pernah mengalami gangguan seksual ketika bekerja, memberitahu, wanita yang berdepan situasi itu usah malu dan takut bersuara.

“Apabila ramai yang sudah terlalu berani melakukan gangguan seksual, saya nasihatkan mangsa tampil bersuara.

“Kalau kita takut dan tidak mengadu di saluran betul seperti Jabatan Tenaga Kerja, PDRM atau sebagainya, mereka tidak akan tahu kita berdepan masalah.

“Apabila kita membuat aduan, pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya kepada HIP.



Namun, Rafidah mendakwa dalam pemerhatiannya, kebanyakan mangsa gangguan seksual tidak berani tampil ke depan.

“Iyalah kita tahu kadang-kadang pihak ‘mengganggu’ (pelaku) ada pengaruh dan kuasa. Jadi, aduan boleh membuatkan mereka hilang pekerjaan dan sebagainya.

“Disebabkan perkara itu, ramai mangsa lebih rela mendiamkan diri,” katanya.

Rafidah menjelaskan, dia lantang bersuara mengenai kes gangguan seksual di laman sosial demi menyampaikan mesej kepada mangsa bahawa mereka tidak bersendirian.

“Sebenarnya, ramai yang tak tahu apa itu gangguan seksual. Ada yang anggap gangguan seksual hanyalah sentuhan fizikal, tapi sebenarnya lebih daripada itu.

“Sekiranya ada individu memberikan syarat, kata-kata yang membuatkan kita kurang selesa, itu adalah gangguan seksual,” katanya.


Hafreez mendedahkan pernah berhadapan gangguan seksual di lokasi penggambaran apabila mendakwa diraba kru wanita berperwatakan ‘pengkid’.

Rafidah berkata, keadaan tambah mudarat apabila individu yang mengganggu tidak kisah siapa insan yang dikacau, sama ada isteri orang atau sebagainya.

“Gangguan seperti ini boleh berlaku di tempat kerja atau di institusi akademik. Keadaan ini boleh membuatkan kita tertekan dan sukar hendak fokus.

“Disebabkan itulah, saya memperjuangkan perkara ini. Bagi saya, sampai bila kita mahu duduk dalam penindasan begini?

“Apabila ada pendedahan, barulah pemangsa takut selepas tahu kesannya apabila dia membuat gangguan. Pada masa sama, lebih ramai mangsa berani bersuara,” katanya.

Sebelum ini, melalui entri Instagram (IG), Rafidah mendedahkan pernah mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Pelakon filem Kongsi itu mengaku sering tertanya-tanya nasib wanita yang bakal menempuhi alam pekerjaan apabila berdepan risiko menjadi mangsa gangguan seksual.

Rafidah menambah, selain tempat kerja, dia juga mendakwa menerima gangguan seksual di laman sosial.

“Ada individu buka akaun IG. Pada akaun itu, dia meletakkan foto wajah saya yang dipadankan dengan tubuh orang lain.

Malah, ada juga yang menghantar foto dan video lucah melalui Direct Message (DM),” katanya.

Sementara itu, pelakon, Hafreez atau nama sebenar, Hafreez Adam Aizat Zahalan mengambil serius soal gangguan seksual dalam kalangan pekerja seni.

Bagi Hafreez, lelaki atau perempuan, kedua-duanya boleh didakwa melakukan gangguan seksual jika perbuatan mereka mendatangkan rasa tidak selesa kepada individu lain.

“Untuk tangani perkara ini, tindakan tegas perlu diambil. Contohnya, ambil tindakan gantung kerja atau sebagainya. Supaya pelaku rasa takut untuk membuat sedemikian.

“Pihak atasan perlu memainkan peranan penting. Kes gangguan seksual dilihat semakin bahaya sekarang apabila sudah menjadi seakan-akan normal.

“Jujur saya katakan, keadaan sudah teruk kerana bagai sudah menjadi kebiasaan,” katanya.


Nam Ron percaya gangguan seksual boleh dielak ibaratnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Hafreez berkata, mangsa cenderung berdiam diri kerana apabila berdepan gangguan seksual, insan di sekeliling sekadar ketawa dan menganggap insiden itu sebagai jenaka.

Sehubungan itu, pelakon drama Derita Untuk Bahagia ini mahu mangsa yang berdepan gangguan seksual bersuara.

“Jangan takut dan sila ke depan… Buat aduan. Jangan fikir apa orang nak cakap, sebab mangsa tetap mangsa.

“Tak perlu malu. Orang yang buat gangguan itu sepatutnya malu. Ini termasuk mereka yang menggalakkan (berlakunya insiden gangguan seksual).

“Bagi saya, pihak yang menasihatkan mangsa diam juga sepatutnya malu.

“Mangsa bukanlah orang yang patut dipersalahkan. Ini adalah perkara serius yang patut diberikan perhatian. Gangguan seksual boleh mengganggu emosi mangsa,” katanya.

Sebelum ini, Hafreez mendedahkan pernah berhadapan gangguan seksual di lokasi penggambaran.

Melalui hantaran IG, Hafreez mendakwa diraba kru wanita berperwatakan ‘pengkid’ ketika menjayakan penggambaran drama, kira-kira dua tahun lalu.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu berharap orang ramai tidak mengambil mudah mengenai isu gangguan seksual.

Sementara itu, pelakon berkaliber, Nam Ron berkata, tindakan segelintir pihak yang menganggap masalah gangguan seksual sebagai kes terpencil dan tidak perlu diperbesar-besarkan adalah tidak wajar.

Bagi Nam Ron, biarkan kes seumpama itu boleh dielak, impaknya besar kepada mangsa terutama dalam sudut psikologi.

“Perkara ini sudah lama berlaku, bukan dalam industri kreatif sahaja. Sebaliknya, mereka yang bukan dalam industri seni berdepan masalah itu di tempat kerja.

“Bagi saya, tidak wajar untuk kita menganggap kes gangguan seksual insiden terpencil sedangkan ia memberi kesan besar kepada psikologi mangsa.

“Apabila berkait dengan psikologi, ia boleh mendatangkan trauma dan kekecewaan kepada mangsa. Seterusnya, apabila berkait dengan isu maruah, perlakuan ini mendatangkan kesan besar mangsa jika ia menjadi sensasi.

“Jadi, mungkin sebab itu, ada (mangsa) yang memilih untuk tidak melaporkan kejadian. Tetapi jika sudah sampai ke tahap teruk, wajarlah laporan polis dibuat,” katanya.

Nam Ron percaya gangguan seksual boleh dielak ibarat bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

“Ada pelakon baharu mengadu kepada saya mereka berdepan gangguan pihak tertentu. Saya nasihatkan mereka agar elakkan diri daripada terjebak.

“Mangsa kebanyakan pelakon baharu. Ini kerana pihak terbabit akan ‘memancing’ orang baharu dengan tawaran ‘job’ lakonan.

“Namun, setakat ini, mereka yang saya kenali tidak terjebak atau hanyut dengan pujukan itu. Sebab itu saya kata, perkara seperti ini boleh dielak,” katanya. BH

Foto, video lucah jejas emosi – artis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kebarangkalian komet pemusnah langgar Bumi meningkat- NASA

Wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji


Sebaran :

Leave a Reply