Wani Kayrie kecewa tak dapat pengiktirafan

Wani Kayrie kecewa tak dapat pengiktirafan

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tak dapat pengiktirafan…” -Wani Kayrie

PENYANYI berbakat besar, Wani Kayrie muncul dengan single terbaharu berjudul Jangan Terlepas Pandang yang sudah dilancarkan baru-baru ini.

Lagu hasil karya komposer MFMF dan Asyraf Nasir itu merupakan buah tangan pertams Wani atau Syazwani Abdullah sejak bernaung di bawah label pengurusan Rocketfuel Entertainment.

“Akhirnya penantian menghasilkan single bersama Rocketfuel tercapai jua. Syukur dan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sekaligus tampil dengan lagu baru,” katanya kepada URTV.

Wani yang pernah mengharumkan nama negara sewaktu bertanding di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat dengan memenangi satu pingat emas, dua pingat perak, satu pingat gangsa serta Hollywood Industry Award,sememangnya seorang penyanyi yang kental dan tidak kenal erti kalah.

“Mungkin masih ramai di luar sana yang kurang mengenali nama Wani Kayrie, namun sebagai anak seni, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.

“Jangan Terlepas Pandang adalah suara hati saya. Setelah lebih dari 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tanah air, saya lebih matang dalam berpendirian.

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” ujarnya.

Single bergenre pop dansa itu adalah gabungan idea kreatif di antara MFMF dan juga Asyraf Nasir yang mahukan kelainan buat Wani agar keluar dari zon selesanya serta tampil dengan sesuatu yang baharu.

Terang MFMF, “Apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu ini kepada pendengar adalah sebuah kenyataan bahawasanya masa Wani untuk menyinar telah tiba.

“Ia menceritakan tentang semangatnya dalam menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya, serta bagaimana dia mengatasi rintangan yang dihadapi apabila merasa tewas.

“Selain itu, mesej yang terdapat dalam lagu ini juga adalah sebagai pembakar semangat bagi setiap individu di luar sana yang ingin membuktikan diri mereka kepada semua orang bahawa mereka mampu mencapai lebih daripada apa yang disangkakan jika sentiasa bekerja keras dan tak berputus asa,” katanya.

Pemenang tempat keempat pertandingan realiti televisyen Big Stage 2018 serta Dansa Dan Sing 2020 yang mengidolakan penyanyi antarabangsa seperti Beyonce, Jessie dan Agnez Mo ini percaya bahawa sebagai penyanyi wanita seseorang perlu ada sifat kendiri dan semangat juang seperti yang ditonjolkan oleh penyanyi-penyanyi hebat ini.

“Saya kagum dengan mereka dan menjadikan mereka sebagai inspirasi saya kerana semangat ‘women’s empowerment’ yang dipamerkan setiap kali beraksi di pentas.

“Mereka bukan sahaja penyanyi bahkan penghibur serba boleh dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali membuat persembahan dengan idea di luar kotak.

“Ibu saya iaitu Mama Kay merupakan pendorong utama dalam kerjaya seni saya. Saya kagum dengan semangat mama sebagai seorang wanita yang cekal kerana terlalu banyak pengorbanan yang telah mama lakukan demi kerjaya saya.

“Saya berharap agar single Jangan Terlepas Pandang ini dapat diterima ramai. Dan buat sesiapa yang mendengarnya, percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baru dalam hidup, jangan mudah berputus asa dan jangan jadikan kritikan orang luar dalam menjatuhkan kredibiliti kita.”

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sedikit sebanyak telah memberi kesan terhadap proses rakaman lagu yang sepatutnya dijalankan di studio MFMF.

Kata MFMF, “Kami terpaksa melakukan kerja-kerja penggubahan lagu Jangan Terlepas Pandang secara ‘online’ kerana ketika itu negara masih lagi berada dalam tempoh PKP. Proses rakaman juga terpaksa dikendalikan tanpa bersemuka dengan pihak artis dan label.

“Walaupun proses rakaman secara ‘online’ ini merupakan pengalaman baru buat Wani, ini tidak menjejaskan persembahan serta mutu vokalnya.

“Kami amat bersyukur diatas pertolongan dan sokongan daripada pihak Rocketfuel dan juga sifat profesionalisme Wani dalam memastikan seluruh proses rakaman berjalan dengan lancar dalam masa yang singkat,” ungkapnya.

Jangan Terlepas Pandang boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muzik (MV) single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. Utv

Wani Kayrie kecewa tak dapat pengiktirafan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gelagat Mak Nubhan Masuk Butik Mewah Buat Ramai Terhibur (Video)

Pas nak lawan UMNO atau PH, tanya Asyraf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker