Warisan tak nafi pertumbuhan ekonomi Sabah di bawahnya amat lembab

Najib Razak berkata, Warisan tidak menafikan pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pemerintahan mereka amat lembab.

Katanya, Warisan berkata mereka hanya ada masa yang singkat, iaitu 26 bulan untuk memerintah Sabah untuk merumuskan bahawa kerajaan diterajui parti itu sudah gagal menjaga ekonomi.

“Tetapi yang peliknya ialah 8 tahun sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pertumbuhan ekonomi Sabah jauh lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara.

“Misalnya 2017, kadar Sabah adalah 8.2%, iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia,” kata Najib di Facebook hari ini.

Najib menambah, pada 2016 Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7% berbanding 4.2% untuk Malaysia.

Beliau berkata, secara amnya, ekonomi Sabah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri lain sebelum parti Warisan mengambil alih.

Terdahulu timbalan presiden Warisan, Darell Leiking menolak kritikan Najib mengenai kemampuan partinya untuk membangunkan Sabah.

Darell berkata, kerajaan yang dipimpin Warisan hanya berkuasa selama 26 bulan dan jangka masa itu terlalu pendek untuk membuat rumusan sedemikian.

Dalam pada itu, Najib berkata, pada tahun 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke paras 1.5%, iaitu paling rendah antara semua negeri di Malaysia.

Katanya, ia paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan negara 4.7%.

“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan berbanding negeri-negeri lain bermula tahun 2018.

“Jika kita perhatikan, kerajaan PH terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah.

“Hari ini kahwin, takkan esok beranak?

“Jika tak ada pelan strategik yang betul, mampu hamil ke tidak pun menjadi tanda tanya besar,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker