Che Ta setuju sebab Jee

Che Ta setuju sebab Jee

Pernah beratur untuk bergambar dengan Fauziah Latiff selepas membuat persembahan di Alor Setar, Kedah, pada era kegemilangannya, Rozita Che Wan tidak berfikir dua kali selepas diberitahu bakal digandingkan dengan penyanyi jelita itu dalam drama Tahyul.

Mengaku cukup meminati Fauziah atau mesra disapa Jee, Rozita atau Che Ta teringat kenangan membeli kaset penyanyi berkenaan yang cukup popular dengan rangkaian lagu romantis seperti Tiada Noktah Cinta, Teratai Layu Di Tasik Madu dan Dia.

“Boleh dikatakan semua kaset atau album Jee yang meruntun jiwa saya beli.

“Selepas menyertai dunia seni, saya pernah disatukan dengan Jee dan seorang lagi penyanyi ‘favourite’, Ziana Zain untuk sesi fotografi muka depan majalah fesyen dan kecantikan.

“Sekarang, tak sangka dapat berlakon dengan Jee buat kali pertama,” katanya kepada BH Online.

Rozita berkata, sebaik ditawar melakonkan watak Detektif Masni dalam drama Tahyul, dia bertanya siapa gandingannya dalam karya arahan Junaime Ramfizal Rahmat atau Che Mie itu.

“Ketika baca skrip, saya bertanya siapa yang membawa watak Puan Qaseh. Sebaik diberitahu Jee yang melakonkannya, apa lagi, tiada sebab untuk saya menolak tawaran itu,” katanya.

Rozita teruja menghidupkan watak Detektif Masni kerana karakter itu berbeza.

“Jika diikutkan, saya jarang memegang watak anggota polis, perisik atau detektif. Sebelum ini, dalam drama Gerak Khas, saya pernah jadi Deputi Superintenden (DSP) untuk beberapa episod.

“Pernah juga karakter Kiah Pekasam diperluaskan menjadi Kiah Spy. Dalam drama Family Spy yang dibintangi Alif Satar, saya juga pernah jadi ‘spy’,” katanya.

Drama Tahyul sebanyak 15 episod terbitan Zeel Production mengisi slot Samarinda TV3 dan bakal berakhir, Ahad ini.

Selain Rozita dan Jee, drama Tahyul dibintangi Aniq Suhair, Cik B, Wani Kayrie, Ahmad Adly Sofwan, Shah Khan, Tania Hudson, Aidit Noh dan ramai lagi.

Sementara itu, Rozita berkata, selepas kelonggaran diberi kepada sektor kreatif, dia mula sibuk di lokasi.

Selain drama Tahyul terbitan Zeel Production, Rozita juga melunaskan penggambaran drama Kerana Dia Suka di Perlis yang dihasilkan syarikat sama.

Dalam drama itu, Rozita membawa watak warga emas, Hajah Mariah. Turut berlakon Fendi London, Rita Nadira dan Fikry Ibrahim.

Ditanya mengenai kesanggupan melakonkan watak orang tua, Rozita berkata:

“Seperti yang selalu saya tekankan sebelum ini, pasti ada yang salah anggap dan fikir saya berlakon kena cantik sepanjang masa.

“Ada yang cakap saya seperti jadi diri sendiri ketika beraksi. Hakikatnya, saya berlakon ikut karakter. Gaya atau ‘look’, solekan dan warna baju ditentukan syarikat produksi,” katanya. BH

Che Ta setuju sebab Jee


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Suami pelakon ditahan reman, gaduh dalam keadaan mabuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker