Hubungan Zara Zya, Azlee renggang?

Sebaran :

Hubungan Zara Zya, Azlee renggang?

Dikaitkan menjalinkan hubungan istimewa, hubungan pelakon Zara Zya, 36, dan Azlee Khairi, 31, dilaporkan renggang selepas dua drama berakhir.

Mula dipertemukan dalam drama Love You Mr Arrogant, lapan tahun lalu, hubungan dilaporkan renggang selepas drama berakhir.

Selepas tujuh tahun tidak dipertemukan, Zara dan Azlee kembali berpasangan menerusi drama Seadanya Aku terbitan Country Universal Sdn Bhd, tahun lalu.

Sekali lagi keakraban dua bintang yang melonjak popular menerusi Love You Mr Arrogant pada 2013 kembali menjadi bualan, malah peminat seakan merestui hubungan mereka.

Tambahan pula, ikatan pertunangan Zara bersama pelakon Hafreez Adam berakhir.

Spekulasi hubungan kembali terjalin mula diperkatakan apabila Azlee meninggalkan komen ‘sweet’ dalam Instagram Zara.

Namun, hubungan mereka sekali lagi kelihatan renggang sebaik drama Seadanya Aku berakhir.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengakui, mereka tidak pernah berhubung selepas drama Seadanya Aku berakhir.

Namun, katanya, ia bukanlah bermakna hubungan dengan Azlee dingin, sebaliknya masing-masing sibuk dengan tuntutan kerjaya lakonan.

“Saya tidak tahu bagaimana timbul spekulasi hubungan saya dan Azlee dingin, sedangkan kami tidak pernah mempunyai masalah.

“Kami memang tidak pernah berhubung selepas penggambaran drama Seadanya Aku selesai.

“Mungkin disebabkan saya dan Azlee tidak digandingkan bersama, jadi nampak macam hubungan renggang. Sedangkan, hubungan kami masih baik, tiada masalah peribadi.

“Lagipun, saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama lain selepas drama Seadanya Aku. Begitu juga Azlee. Biasalah orang luar pantas menimbulkan spekulasi,” katanya kepada BH Online.

Membolosi pencalonan awal kategori Pelakon TV Wanita Popular dan tiga drama menerusi Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Zara menyerahkan pengundian di tangan peminat.

Graduan bidang teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berkata, menembusi pusingan awal sudah cukup ml enggembirakan hati.

Namun, katanya, andai ditakdirkan rezeki berpihak kepadanya, sudah tentu lafaz syukur mampu diungkapkan.

“Dicalonkan pun sudah satu rahmat, apatah lagi, menang. Cuma, saya tidak mahu meletakkan harapan berlebihan memandangkan calon lain juga hebat.

“Namun, saya bangga nama masih dicalonkan dalam ABPBH 34, ia sekali gus membuktikan saya masih relevan di mata peminat.

“Saya sangat terharu tiga drama, Seadanya Aku, Korban Kasih dan Alergi Mamat Romantik menerusi kategori Gandingan Serasi Drama Popular jadi pilihan. Biarpun bertanding dalam tiga drama, namun saya serahkan segala-galanya atas pilihan peminat.

“Jika menang, Alhamdulillah. Namun, kalau gagal sekali pun tidak mengapa kerana adat pertandingan,” katanya yang pernah memenangi kategori Gandingan Serasi Di Layar bersama Azlee menerusi drama Love You Mr Arrogant pada ABPBH 27.

Biarpun sibuk menguruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysia Prihatin, namun Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH 27 itu tidak sesekali meminggirkan kerjaya seninya.

Katanya, dia masih aktif berlakon, namun ramai menyangkakan sudah mula memperlahankan kerjaya seni bagi memberikan tumpuan pada NGO.

“Saya pelik ramai bertanya kenapa saya tidak berlakon lagi. Mana mungkin saya meninggalkan dunia lakonan yang menjadi minat dan kecintaan saya.

“Walaupun sibuk menguruskan Malaysia Prihatin, kerjaya seni tetap bergerak.

“Sebelum ini, kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi sepanjang tempoh ini penggambaran tidak dibenarkan.

“Jadi, saya memang tidak dapat meneruskan penggambaran, namun ramai menyangkakan saya tidak mahu berlakon.

“Sebenarnya, saya baru sahaja memasuki penggambaran drama Mr Bibik. Sebelum ini, penggambaran sudah bermula, tetapi dihentikan akibat PPN, jadi sekarang baru dapat disambung semula.

“Barangkali, ramai bertanya sebab rindukan lakonan saya. Namun, mujur stesen televisyen (TV) menyiarkan semula drama lama, jadi dapatlah mengubat kerinduan peminat terhadap saya,” katanya. BH

Hubungan Zara Zya, Azlee renggang?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pasangan 50 tahun ke atas lebih nikmat hubungan intim


Sebaran :

Leave a Reply