Wawa mabuk cinta macam orang muda

Sebaran :

Wawa mabuk cinta macam orang muda

HAMPIR 10 tahun hidup bersama lelaki bernama Aeril Zafrel, wanita berlesung pipit manis yang seorang ini, Wawa Zainal sudah menemukan damai dengan istilah gelora dan pasang surut rumah tangga. Hasilnya, sedang terbina sebuah istana yang kian mengharum dengan debunga cinta.

Sekitar awal tahun, pemilik nama lengkap Nur Hawa Zainal Abidin itu pernah mendedahkan, menyesal bersuamikan Airel pada awal perkahwinan, namun semua emosi itu berlalu pergi seperti ditiup angin selari dengan usia rumah tangga yang kian matang.

Pada usia 30 tahun, Wawa bersyukur dan pada masa sama, tidak menyesali keputusan untuk berkahwin awal dengan Aeril yang disifatkan sebagai lelaki terbaik dikurniakan Ilahi buat diri dan tiga cahaya mata.

Sekitar Disember nanti, kebahagiaan mereka bertambah seri dan amanah dengan sebutir lagi bintang hati yang berada di dalam rahimnya.

“Sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, sudah tentu ada pasang surutnya. Tapi, alhamdulillah kami jarang bergaduh hal remeh-temeh.

Kalau ada yang terkecil hati itu, kami buat macam ‘nothing’ lepas itu keadaan akan kembali normal.

“Kami kian cakna apabila perhubungan itu tiada pergaduhan, kita akan menjadi lebih aman damai, boleh hidup dengan tenang dan rezeki akan lebih murah,” ujarnya membuka bicara ketika dihubungi Pose baru-baru ini.


SIBUK dengan perniagaan Wawa Cosmetics, Wawa bersyukur situasi negara perlahan-lahan kembali menunjukkan perubahan positif selepas teruk dipukul pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu.

Berkongsi rahsia atau resepi kebahagiaan rumah tangga, Wawa yang kini sarat hamil tujuh bulan anak keempat memaklumkan, walaupun sudah hampir 10 tahun berkahwin, dia dan suami tetap ‘berperangai’ seperti pasangan muda yang mabuk dilamun cinta.

“Kami masih buat benda ‘silly’ (bukan-bukan). Maksudnya, kami masih gila-gila dalam perhubungan. Masih rasa diri muda, masih ‘dating’ dan terus saling jatuh cinta antara satu sama lain.

“Kami sentiasa cuba wujudkan momen manis dan saya rasa itu yang merapatkan hubungan serta memaniskan kehidupan rumah tangga,” katanya tertawa kecil.

Berbalik kepada persoalan sesalan yang pernah disuarakan, Wawa yang mula debut dalam dunia perfileman menerusi naskhah Sumpahan Kum Kum berkata, emosi menyesal terhadap perkahwinan sudah lama berlalu pergi.

Ikrar cintanya kepada suami juga semakin kuat.

“Ya, saya tak nafikan pernah rasa menyesal kahwin muda, rasa boleh dapat lebih bagus daripada dia (Aeril).

“Tetapi selepas lima tahun berkahwin, kami semakin kenal. Lebih serasi, memahami dan semuanya jadi tenang.

“Rasa hubungan itu ‘best’, tiada benda-benda yang kacau. Rezeki pun makin murah. Waktu itu muda, umur baru masuk 20 tahun dan saya rasa normal bagi seorang wanita yang berkahwin muda ada pemikiran begitu (menyesal berkahwin awal).

“Sekarang ini, saya rasa yang saya takkan jumpa lelaki yang lebih baik daripada Aeril. Sangat bersyukur dipertemukan jodoh dengannya dan berharap agar perkahwinan ini berpanjangan hingga ke akhir hayat,” tutur Wawa yang berkahwin pada usia awal 20-an.

Ditebak pertanyaan tentang kondisi bayi dalam kandungannya yang dijangka lahir awal bulan Disember, Wawa berkata, semuanya dalam keadaan baik.

Dijentik soalan sama ada sudah punya nama buat bayi bongsunya, dia bagaimanapun lebih selesa menjawab:

“Saya akan bersalin awal bulan Disember. Lebih kurang dua bulan sebelum saya ‘meletup’ (ketawa).

“Nama tak fikir lagi. Dekat-dekat nak bersalin nanti baru fikir. Pangkal atau awalan nama pun belum sempat fikir.”


WAWA menitipkan nasihat supaya jangan takut untuk mendirikan masjid pada usia muda kerana perkara itu akan jadi pemangkin murah rezeki kepada hidup seseorang manusia.

Alahan peti sejuk

Mengenang perubahan perangai sendiri semasa trimester pertama kehamilan, Wawa mengalami alahan terhadap peti sejuk dan bau bawang atau masakan.

Bukan mengada-ngada, getusnya, itu memang perkara biasa buat wanita hamil. Kalau turun bawah (rumah) mak sedang masak, saya muntah. Bau bawang pun muntah. Buka peti sejuk, saya kena tutup hidup.

Memang itu sahaja alahan saya sejak anak pertama sampai yang keempat.

“Saya rasa semua ibu mengandung punya alahan tertentu. Janganlah cakap kita mengada-ngada, sebab ibu mengandung memang mengalami perubahan hormon,” katanya.

Memasuki perihal si anak perempuannya, Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa Suhairil, 6, yang menunjukkan minat menjadi pelakon, Wawa tiada halangan.

Hayla boleh berlakon dengan syarat semuanya bawah pengawasan ketat dia dan suami. Dia sedar populariti boleh menjadi satu perkara yang meresahkan.

“Sebenarnya, Hayla diizinkan berlakon sebab saya rasa boleh jadi platform dia jana duit sendiri. Dia selalu cakap dengan saya dan suami nak ada ada duit sendiri.

“Kami tak manjakan anak, kalau mereka nak itu ini, nak beli sesuatu, kami tak pernah biasakan apatah lagi menjanjikan, senang-senang dapat segala-galanya. Untuk sebulan, saya hanya beri peruntukan sekitar RM100.

“Kalau rasa tak cukup, saya cakap cari duit sendiri. Hayla pun terfikir nak berlakon sebab neneknya selalu bergurau, pergilah berlakon nanti boleh bagi duit kat nenek sikit,” jelas Wawa.

Untuk masa ini projek lakonan melibatkan Hayla belum muktamad.

“Kalau bakatnya boleh diasah, mengapa tidak. Sebulan sebelum penggambaran, saya akan upah guru lakonan. Kalau dia okey, silakan. Kalau rasa tak boleh, kita tarik diri,” dedahnya panjang lebar.

Bagaimanapun, Wawa tidak menafikan perlu berhati-hati membenarkan anaknya terlibat dalam dunia glamor apatah lagi masih berstatus kanak-kanak.

“Kalau rasa tak sesuai, tak elok untuk dia, kami akan halang, insya-Allah. Bagi saya, tak salah pun dia nak terjun dalam dunia glamor tapi kena berjaga-jaga dan dididik dengan ilmu agama yang cukup,” luah Wawa.

Sebelum menggulung perbualan, anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu sempat menitipkan pesan buat pasangan muda yang terfikir mahu segera berkahwin.

Kata Wawa, jika sudah sampai waktu untuk menghalalkan hubungan, percepatkanlah nescaya tiada penyesalan.

“Lebih baik halalkan perhubungan kalau sudah tiba masa. Apabila dah halal, memang ada dugaan pada awal perkahwinan tapi saya nak ingatkan kena selalu saling bertolak-ansur.
“Jangan bergaduh benda-benda remeh. Sejujurnya, dunia perkahwinan sangat ‘best’ dan seronok. Senang cerita hidup tenanglah selepas berkahwin. Jangan takut nak kahwin muda sebab nanti bila anak dah besar, kita tak rasa tua.

“Rugi kalau tangguh kahwin atau kahwin lambat. Macam saya, anak-anak dah besar, saya baru usia 30-an. Jadi, ini keputusan yang terbaik saya buat dalam hidup,” ungkapnya menggulung perbualan.
K Online

Wawa mabuk cinta macam orang muda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual


Sebaran :

Leave a Reply