Nur Jazlan dakwa wujud gerakan tubuhkan kerajaan BN-PN-GPS

Nur Jazlan dakwa wujud gerakan tubuhkan kerajaan BN-PN-GPS

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa wujud cubaan mengadakan kerjasama politik secara ‘pintu belakang’ antara pemimpin beberapa buah parti bagi menubuhkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, gerakan itu turut didalangi beberapa individu dalam UMNO dan Pas yang mahu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kumpulan ini cuba melemahkan UMNO dari dalam dengan harapan mereka dapat mempengaruhi barisan kepimpinan UMNO dan BN supaya menerima PN sebagai rakan kerjasama politik pada masa depan.

“Mereka juga sanggup terima katak-katak politik bekas UMNO daripada Bersatu dan cuba buat taktik ‘reverse takeover‘ BN. Tindakan mereka ini terutamanya dalam UMNO jelas membelakangkan parti dengan gerakan usahasama merentasi sempadan sehingga ke Borneo dipercayai dilakukan secara gelap dan demi kepentingan kuasa serta peribadi sahaja.

“Mereka juga dikatakan cuba untuk meminang GPS supaya menerima projek ‘Trans PN-BN-Borneo’ bagi menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU15,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pulai itu, GPS bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana gabungan itu sedar bahawa kerjasama politik pintu belakang tidak akan membantu menubuhkan sebuah Kerajaan Pusat yang stabil.

“GPS sedar kalau UMNO berpecah dan berbalah, maka BN tak akan wujud lagi. Pemimpin-pemimpin dalam GPS pun sudah tahu sejarah kegemilangan BN sejak lebih 60 tahun lalu. Mungkin nasib MCA dan MIC akan ke laut tanpa UMNO dalam BN.

“Bagi sesetengah individu dalam Pas dan UMNO, mereka sanggup mengkhianati perjuangan parti sendiri kerana mahu mengekalkan kedudukan, jawatan dan pangkat di Putrajaya sebab sedar sekarang ini kedudukan mereka cukup rapuh. Sebab itulah mereka sedaya upaya mahu menjodohkan PN serta BN dalam satu perkahwinan politik demi kepentingan sendiri. Mereka tahu usaha ikut pintu depan ditentang habis-habisan oleh majoriti pemimpin dan ahli akar umbi UMNO,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru individu dalam UMNO yang masih mahu bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) agar berhenti daripada melakukan kerja yang sia-sia.

“Semua pihak perlu akur dengan keputusan parti yang dah tak mahukan MN. Tak payahlah jadi utusan tak rasmi hendak berunding dengan Pas atau nak minta parti terima cadangan Pas untuk bincang tentang strategi satu lawan satu di 27 kerusi. Biarlah Pas berapa kali pun dan nak beri beribu cadangan pun, biarlah Pas dengan cara mereka dan kita orang UMNO dengan cara kita. Alangkah baiknya kamu semua kembali ke landasan perjuangan parti dan jangan jadi talam dua muka demi kepentingan peribadi,” jelasnya. Utusan

Nur Jazlan dakwa wujud gerakan tubuhkan kerajaan BN-PN-GPS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi Perkenalkan Robot Yang Mampu Sampaikan Khutbah Daripada Imam Dan Muazin

Majlis Peguam ‘kurang ajar’ – Zaid

Melur Untuk Firdaus kembali untuk musim ke-2, netizen tak setuju

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker