Kekasih suruh Scha padam foto seksi?

Kekasih suruh Scha padam foto seksi?

Tindakan pelakon seksi, Scha Elinnea, 22, memadam foto mencolok mata dalam laman Instagram (IG) mencetuskan spekulasi, dirinya sedang dilamun cinta dan bakal mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu menafikannya, sebaliknya ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

Sungguhpun begitu, Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen tidak menafikan sedang mengenali hati budi seseorang. Malah, jejaka istimewa itu menegur mengenai penampilan seksinya itu.

“Saya mahu berubah bukan disebabkan sudah ada kekasih. Saya akui, sedang berkawan dengan seseorang, namun bukanlah faktor ini menyebabkan hati saya mahu berubah.

“Sebelum ini, saya banyak menerima teguran pengikut dalam laman sosial. Tentulah sedikit sebanyak menjentik tangkai hati apabila ramai menegur.

“Saya tak dinafikan menerima pelbagai komen, ada menegur secara baik, tidak kurang pula menggunakan kata-kata kesat.

Hati saya pula jadi lebih lembut apabila menerima teguran secara baik. Saya anggap teguran ikhlas sebagai nasihat.

“Namun, saya akan padam dan sekat pengikut yang meninggalkan komen keterlaluan serta kasar. Jujurnya, teguran peminat membuatkan saya sering berfikir sampai bila nak jadi begini,” katanya kepada BH Online.

Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia sedar perlu berubah menjadi insan lebih baik, umurnya juga bukan semakin muda.

“Apabila terkurung di rumah seorang diri sepanjang Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) membuatkan saya lebih banyak bermuhasabah diri.

“Sudah masanya saya berubah untuk kebaikan diri. Sebagai manusia biasa, saya tidak lepas melakukan kesilapan apabila melangkah ke dunia lakonan, sejak tiga tahun lalu.

“Soal imej seksi saya akui terlalu mengikut darah muda sehingga lalai seketika. Namun, saya percaya setiap manusia perlu diberikan peluang untuk berubah.

“Saya mohon peminat mendoakan yang baik-baik buat saya,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Mr Grey itu menegaskan, keputusannya berubah bukan disebabkan mahu berkahwin. Dia masih lagi mengejar impian dalam dunia lakonan.

“Tidak, saya berubah bukan sebab seseorang atau merancang mahu mendirikan rumah tangga. Saya berubah atas kesedaran dan kemahuan diri,” katanya.

Scha membuat pengakuan jujur ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu, SiTik Tok secara virtual, baru-baru ini.

Drama Sitik Tok arahan Joon Goh disiarkan menerusi slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 sejak Khamis lalu.

Selain Scha selaku teraju utama, drama terbitan Wildsnapper TV itu turut dibintangi Niezam Zaidi, Nadia Aqilah, Nelissa Nizam, Zamaera, Kahoe Hon, Acong Sweetchild, Hafizul Kamal, Tria Aziz, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Mengulas kerjaya seninya, Scha berkata, dia gembira apabila dua drama lakonannya, SiTik Tok dan Hatimu Sedingin Salju ditayangkan serentak di kaca televisyen (TV).

Katanya, dia sepatutnya membintangi beberapa drama, namun penggambaran tidak dapat diteruskan disebabkan Fasa 1 PPN yang masih berlanjutan sehingga hari ini.

Bercerita watak Siti dalam drama SiTik Tok, Scha berkata, dia dan Siti berjiwa sama, ‘happy go lucky.’

“Siti, gadis naif datang dari kampung demi mengejar populariti. Siti, seorang yang ceria dan sering berkongsi video menarik di setiap pelusuk kampung menerusi aplikasi Tik Tok.

“Bagaimanapun, keluarga tunangnya tidak berkenaan dengan sikap Siti dan bertindak memutuskan pertunangan.

“Kemudiannya, Siti berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar populariti dan tinggal bersama sepupunya, Jaja lakonan Nelissa,” katanya yang menjalani penggambaran drama SiTik Tok pada Disember, tahun lalu.

Sepanjang penggambaran, Scha berkata, syarikat produksi amat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Namun, katanya, dia akur dengan SOP ditetapkan demi keselamatan satu pasukan drama.

“Kami diwajibkan menjalani ujian calitan sebelum memulakan penggambaran. Kami juga perlu membuat imbasan MySejahtera setiap kali masuk ke lokasi, selain melakukan pemeriksaan suhu badan.

“Penggambaran juga tidak dibenarkan habis terlalu lewat. Saya tiada masalah berdepan dalam norma baharu dunia lakonan. Bagi saya, syarikat produksi perlu bertindak tegas dan ikut SOP ketat demi menjamin keselamatan,” katanya. BH

Kekasih suruh Scha padam foto seksi?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Awal Ashaari diberi notis 2 minggu tinggalkan Melodi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker