Uyaina sinar Love Elsa, terima setiap kritikan

Uyaina sinar Love Elsa, terima setiap kritikan

Namanya sering menjadi perhatian umum selepas pembabitannya sebagai pengacara dan pelakon.

Siapa sangka, wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini juga berjaya mencipta nama di Indonesia sebagai pengacara untuk beberapa program realiti TV.

Bagaimanapun, jelitawan berusia 29 tahun itu terpaksa membuat keputusan melupakan seketika kerjayanya di sana dan tidak ke Indonesia buat sementara waktu berikutan pandemik Covid-19.

Namun, kerjaya seni Uyaina di tanah air terus membuahkan hasil lumayan.

Terbaharu, Uyaina membintangi drama bersiri Love Elsa bergandingan dengan pelakon hebat, Zul Ariffin.

Bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi, watak Ammara yang dibawakan Uyaina, bagaimanapun tidak terlepas daripada dibandingkan dengan pelakon wanita lain tanah air.

Positif dalam setiap kritikan dan teguran warganet, Uyaina berkata, dia percaya setiap perbandingan yang dibuat bermaksud kehadirannya disedari oleh khalayak.

“Isu perbandingan dengan pelakon lain serta segala komen negatif sudah menjadi lumrah kepada selebriti. Saya juga tidak terlepas daripada perkara, tapi saya terima sebagai satu perkara yang positif.

“Saya percaya apabila orang cuba bandingkan bakat saya, ia bermakna mereka menyedari kehadiran saya dalam bidang ini,” katanya.

Uyaina berkata, walaupun perbandingan itu turut membabitkan cara lakonannya, namun dia enggan mengambil pusing kerana setiap permulaan tidak akan terus menjadi indah sebaliknya ada proses yang perlu dilalui.

“Permulaan karier seni saya adalah sebagai pengacara, kemudian saya mengintai peluang sebagai pelakon.

“Alhamdulillah saya menerima sambutan yang sangat baik daripada penonton. Saya juga tidak pernah berhenti belajar untuk menjadi lebih baik daripada semasa ke semasa.

“Saya cuba nak jadi pelakon yang serba boleh dan mempunyai kelainan ketika membawakan setiap watak baharu. Saya juga bersyukur apabila tiada yang kata lakonan saya dalam Love Elsa dibayangi watak Ussu Sakinah dalam drama sebelum ini.

“Walaupun ada yang kata watak saya dalam Love Elsa sedikit berlebihan, tapi itu kehendak watak Ammara. Saya sudah cuba melakukan sehabis baik,” katanya.

Siapa sangka, demi menjayakan watak Ammara, Uyaina sanggup berfesyen pelik dan bertukar-tukar sebanyak 18 pasang sarung tangan sepanjang 65 hari penggambaran.

UYAINA akur apabila tidak dapat mencipta nama di Indonesia buat sementara waktu.
UYAINA akur apabila tidak dapat mencipta nama di Indonesia buat sementara waktu.
Menurut Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, sarung tangan pelbagai warna itu disesuaikan dengan setiap penampilannya dalam drama arahan Michael Ang itu.

Lebih mengujakan, fesyen yang digayakan dalam Love Elsa turut mencuri perhatian seorang pemilik akaun Twitter yang menetap di Turki.

Kata Uyaina, dia teruja apabila menerima kredit yang positif daripada penonton luar yang sanggup menonton drama Love Elsa semata-mata kerana fesyen yang digayakannya.

“Ketika drama Love Elsa ditayangkan, saya suka tengok maklum balas penonton di Twitter. Tapi, ada satu ciapan yang membuatkan saya rasa nak tahu apa maksud sebenar perkataan Turki yang ditulis.

“Jadi, ketika saya terjemahkan dalam bahasa Melayu, pemilik akaun Twitter itu mengakui menyukai fesyen yang digayakan Ammara secara tak langsung saya rasa sangat teruja.

“Sebenarnya di luar negara fesyen yang digayakan Ammara boleh diterima ramai, cuma di Malaysia perlu ambil masa sedikit untuk penonton terima.

“Tak sangka, hanya di awal tayangan drama orang bercakap mengenai fesyen yang digayakan, kemudian penonton sudah boleh terima dan suka. Saya nak beri kredit kepada penata gaya saya yang bekerja keras untuk menyediakan gaya terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai tekanan yang dihadapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) ketika ini, Uyaina mengakui sedikit terkesan ketika membaca berita yang amat menyedihkan.

“Saya agak tertekan apabila membaca mengenai kes bunuh diri dan tekanan yang dihadapi rakyat Malaysia. Berita ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya kerana dugaan yang terpaksa mereka tempoh.

“Namun, apa yang berlaku ini membuatkan saya bersyukur apabila masih ada kerja cuma saya jadi sedikit tertekan apabila fikir masalah orang yang begitu susah nak teruskan hidup dalam keadaan getir ini.

“Saya doakan semoga mana-mana individu yang berdepan kesukaran atau tekanan supaya mereka segera pulih dan berjaya keluar daripada segala masalah. Insya-Allah pasti ada jalan terbaik untuk setiap masalah dan jangan sesekali kita melupakan Yang Maha Esa,” katanya. HM

Uyaina sinar Love Elsa, terima setiap kritikan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker