Syamel, Ernie jual kafe elak bergaduh



Syamel, Ernie jual kafe elak bergaduh

Hanya sempat lima bulan beroperasi, pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri terpaksa menghentikan operasi perniagaan, Kafe Setable yang diusahakan.

Lebih menyedihkan, Kafe Setable diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya. Bagaimanapun, timbul tanda tanya, bagaimana bisnes yang mendapat sambutan itu berakhir begitu sahaja.

Adakah pandemik COVID-19 memberi kesan teruk hingga perniagaan tidak mampu bertahan atau timbul isu lain yang membuatkan mereka terpaksa berputih mata?

Enggan terus berteka-teki, penyanyi yang popular menerusi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna itu menjelaskan, ia bukanlah keputusan mudah.




“Saya dan isteri, Ernie Zakri sangat sedih. Kami terpaksa membuat keputusan menghentikan operasi dan menjualnya kepada orang lain, selepas lima bulan beroperasi. Namun, ia dilihat sebagai jalan terbaik, suka atau tidak terpaksalah kami merelakannya.

“Namun, saya mahu menegaskan, tiada perkara sensasi di sebalik penutupan kafe ini. Apa yang boleh dikatakan antara kami dan beberapa rakan kongsi sudah tidak sehaluan lagi.

“Apabila ia wujud, agak sukar untuk kami membuat keputusan membabitkan perkembangan perniagaan. Justeru, saya dan Ernie memutuskan untuk menamatkan operasi kafe ini. Secara kebetulan, ada pula yang berminat untuk membeli, jadi ada baiknya kami jual sahaja,” katanya kepada BH Online.

Mengulas tidak ralat apabila terpaksa melepaskan bisnes yang sudah diketahui peminat, Syamel berkata, seperti yang dikatakan, memang sukarnya mahu membuat keputusan ini, tetapi apakan daya?

“Sebelum situasi menjadi lebih rumit, lebih baik kami melepaskan sahaja. Tidak dinafikan, ada yang bertanya mengenai status bisnes keropok lekor yang diusahakan, Lekos Crispy selepas penutupan kafe ini.




“Kami masih berniaga keropok lekor dan itulah perniagaan utama saya dan isteri buat masa ini. Cuma, apa yang dirisaukan apabila masih ada yang menyangka kami masih menguruskan kafe berkenaan.

“Di sini, saya ingin memaklumkan kepada peminat, kami sudah tiada kaitan dengan kafe berkenaan. Ia di bawah pengurusan baru. Kami juga tidak bertanggungjawab atas apa sahaja yang berlaku membabitkan kafe ini,” katanya.

Akuinya, ujian yang dihadapi tidak pernah sesekali mematahkan semangat untuknya menceburi bidang perniagaan pada masa akan datang.

“Sebaliknya, saya dan isteri anggap ia sebagai satu pengalaman berharga dan panduan jika kami mahu kembali menjalankan bisnes.

“Jika berniaga lagi, kami lebih selesa menguruskan sendiri tanpa perlu ada rakan kongsi untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali. Mengikut perancangan awal, saya dan isteri bercadang membuka cawangan Lekos Crispy di Johor Bahru.




“Namun, hasrat terpaksa ditangguhkan seketika disebabkan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan,” katanya.

Sebagai penyanyi, Syamel berkata, fasa satu PPM memberi kesan kepadanya dan isteri.

“Tidak dinafikan, memang terasa. Tetapi, pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dan kedua mengajar kami untuk lebih bersedia. Dengan duit simpanan dan menjalankan beberapa perniagaan, bolehlah menampung kehidupan.

“Selain itu, ada juga ‘job’ buat ulasan produk. Cuma, saya tengok juga produk yang hendak diulas. Kalau peniaga kecil-kecilan, saya tidak kenakan bayaran.

“Saya pun faham, ramai berdepan dengan detik sukar pada ketika ini. Memang ramai yang susah. Tetapi, jika produk premium dan urus niaga dibuat secara profesional membabitkan syarat tertentu seperti berapa banyak hantaran dan ulasan dibuat, barulah saya kenakan bayaran,” katanya. BH




Syamel, Ernie jual kafe elak bergaduh


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis awasi lokasi tumpuan pesta durian



Leave a Reply

Your email address will not be published.