Hijau : Masih segar walau dah 30 tahun




Tahniah Hijau, sudah tiga dekad usiamu!

Datuk Zainal Abidin hanya berusia 30 tahun ketika beliau merakamkan lagu Hijau di studio rakaman Scat milik pemuzik Michael Veerapan pada 1990.

Setahun selepas itu, Hijau yang diterbitkan oleh Roslan Aziz yang pada era itu merupakan seorang karyawan disegani peminat muzik tempatan dipasarkan.

Memori ketika dalam studio merakam lagu ciptaan komposer Mukhlis Nor itu masih jelas melekat di kotak fikiran Zainal.

Hijau juga terhasil dengan kolaborasi idea pemain drum terkenal tanah air, Zahid Ahmad yang turut terlibat sama dalam penerbitan album berkenaan.




Seperti mana disebut Zahid dalam wawancara dengan portal Musicaddicts, album Hijau mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan kerana falsafah penerbitannya adalah untuk memberikan selera muzik yang merentas batas usia, latar sosial masyarakat dan bangsa.

Justeru, tidak hairanlah apabila Hijau berjaya menghimpunkan peminat dan pembeli yang merangkumi rakyat Malaysia baik dari bandar dan luar bandar, orang kaya dan sederhana serta pendengar bukan Melayu.

Lalu, apabila mengenang semula kemasyhuran Hijau, Zainal yang kini berusia 61 tahun menyatakan rasa bertuah kerana meramkan karya hebat yang telah merentasi tiga dekad kembara seni.

Selamat ulang tahun ke-30 Hijau

Hijau adalah mengenai hasrat dan keinginan Roslan Aziz, Zahid dan Zainal membawa revolusi baharu dalam muzik tempatan.




Melodi dan susunan muzik Hijau disifatkan Zainal sangat segar dan bukanlah mengikut selera peminat pada era berkenaan.

Apa lagi, melodinya dihasilkan oleh Mukhlis yang ketika itu menyambung pengajian di Amerika Syarikat yang terdedah pada jalur muzik yang lebih luas.

Hijau, kata Zainal, dikategorikan dalam genre world music yang masih baharu dalam direktori muzik Melayu.

Bukan sahaja pada genre yang terlalu asing, bahkan Hijau juga melawan arus selera peminat muzik apabila memilih tema alam sekitar dalam liriknya.

“Siapa pernah fikir buat lagu liriknya pasal alam sekitar? Sebab itu, Hijau merupakan antara ídea gila’ Roslan. Datang pula Mukhlis yang bagi idea fresh menjadikan lagu itu sesuatu yang sangat berbeza. Zahid juga banyak memberi input pada lagu dan album ini.




“Disebabkan kelainan itu barangkali menyebabkan peminat ambil masa untuk hadam dan menerimanya,” Zainal bercerita mengenai nilai seni di sebalik karya Hijau ciptaan Mukhlis kepada Astro AWANI.

Kerana meletakkan sepenuhnya kecintaan pada kerja-kerja penerbitan Hijau, maka rakaman album itu, kata Zainal, sangat straight forward.

Ini kerana, beliau bersama Roslan dan Zahid melakukan banyak latihan nyanyian serta eksperimen terhadap lirik lagu Hijau sebelum secara konsesus mencapai keputusan untuk merakamkannya dalam versi yang sudah berusia 30 tahun itu.

Sebetulnya, pemilihan alam sekitar sebagai tema lirik Hijau tercetus selepas Zainal kecewa melihat pembangunan pesat di bandaraya Kuala Lumpur yang boleh memusnahkan kelestarian persekitaran.

Sebagai anak jati Johor yang pernah membesar dalam persekitaran hijau dan mendamaikan, Zainal sangat tertekan melihat kota yang penuh dengan hutan batu.




“Saya cerita pada Roslan dan Mukhlis mengenai pentingnya mesej terhadap kemusnahan alam sekitar dipanjangkan menerusi muzik. Persetujuan dicapai yang akhirnya melahirkan Hijau.

“Ketika itu, saya terkejut melihat Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang kotor membuatkan saya terfikir apa akan jadi pada generasi akan datang sekiranya alam sekitar tidak dijaga, bagaimana dapat kita hirup udara yang segar, apa akan jadi pada kehijauan? Kebimbangan itu yang mencetus idea Hijau,” jelas Zainal lagi.

Selepas tiga dekad usia Hijau, Zainal tidak pernah terfikir lagu dan album berkenaan terus relevan dalam konteks kehidupan hari ini selain menjadi rujukan dalam direktori muzik sebagai karya malar segar.

Ini kerana, ujarnya, naskhah berkenaan harus melalui ujian dan cabaran yang besar sebelum berada di kedudukan mega.

Bahkan, tegas vokalis utama kumpulan Headwind itu, nasib lagu Hijau waktu itu saling tidak ubah seperti melukut di tepi gantang kerana terpaksa bersaing dengan genre rock ballad serta pop Melayu yang lebih banyak menguasai pasaran muzik ketika itu.

Tegas Zainal, semasa Hijau dipasarkan, fenomena Search dengan lagu berhantu mereka, Isabella menawan seluruh peminat muzik tanah air dan Indonesia.

Demikian juga dengan kemasyhuran Ramlah Ram menerusi lagu siri lagu ‘berhantu’ ciptaan komposer hebat, Datuk Ahmad Nawab seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi pula menjadi pilihan majoriti pendengar lagu-lagu Melayu.

Itu belum diambil kira kehadiran banyak kumpulan rock yang juga menempa populariti hebat seiring dengan perjalanan karier Zainal dan Datuk Sheila Majid yang ketika itu menaungi rumah syarikat pengurusan, Roslan Aziz Production (RAP).

“Tidak ramai yang sedar bukan mudah untuk Hijau mendapat tempat dan menawan hati peminat. Selepas lapan bulan album Hijau diedarkan, barulah momentum lagu itu melonjak. Sebelum itu, tidak ramai yang menyedari kehadiran Hijau,” cerita Zainal lagi.

Selepas lapan bulan, rezeki benar-benar berpihak pada lagu Hijau dan Zainal pula dihujani undangan nyanyian yang tidak menang tangan.
Hijau, tidak dinafi oleh Zainal, kejayaannya juga adalah bertitik tolak pada pakej keseluruhan yang direncana oleh Roslan merangkumi kerja keras seluruh pemuzik, komposer dan penulis lirik selain karakter beliau sendiri.

“Pakej ini yang sentiasa diberi penekanan oleh Roslan dan RAP ketika itu. Pembaharuan dan kesegaran adalah elemen yang sangat penting dalam penghasilan sesebuah karya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong Hijau selama 30 tahun. Semoga karya ini terus segar dan akan kekal 30 tahun lagi,” ujar Zainal. Awani


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Euro2020: Selepas Ronaldo, Pogba pula alih botol Heineken



Leave a Reply

Your email address will not be published.