Kampung Baru : Tawaran kerajaan tak selesai masalah

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Tawaran kerajaan sebanyak RM850 bagi setiap kaki persegi kepada penduduk Kampung Baru dilihat tidak akan menyelesaikan masalah penduduk di situ.

Ini kerana, Kampung Baru mempunyai banyak masalah sejak sekian lama terutamanya dalam bab pewarisan tanah, pemilik tanah yang sudah meninggal dunia serta banyak kawasan yang tidak mempunyai Surat Pemilikan Tanah.

Setiausaha Kehormat, Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi berkata, pihak kerajaan perlu melakukan kajian mendalam sebelum meneruskan rancangan besar tersebut.

“Ia bukan satu tugas yang mudah kerana sesetengah pemilik telah meninggal dunia dan perselisihan yang berlaku antara ahli keluarga masih belum berkesudahan.

“Malah, beberapa pemilik telah membelanjakan berjuta-juta untuk membina rumah tiga tingkat atau empat tingkat mereka dan kerajaan perlu membayar pampasan secukupnya,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today di sini hari ini.

Semalam, dalam sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah tersebut, kerajaan menawarkan harga pembelian tanah di Kampung Baru pada harga lebih RM6 juta setiap plot berkeluasan 8,000 kaki persegi berdasarkan kiraan harga RM850 bagi setiap kaki persegi tanah untuk pembangunan semula.

Tawaran tersebut kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, merupakan kadar maksimum yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu.

Dalam pada itu, Shamsuri berharap, pihak kerajaan melakukan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk MAS sebelum meneruskan rancangan tersebut.

Jelasnya, tindakan itu termasuk menyenaraikan setiap masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama dan sekiranya perkara itu tidak dilakukan, kerajaan akan menghadapi tugas berat dalam menyelesaikan masalah tersebut. -UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker