Aina kumpul peminat K-Pop

Sebaran :

Aina kumpul peminat K-PopAina kumpul peminat K-Pop

KUALA LUMPUR: Kemerduan suaranya tidak perlu disangkal lagi. Jika tidak, masakan kehebatan penyanyi Aina Abdul mampu memukau bukan sahaja pendengar di Malaysia, malah mengumpul peminat dari luar negara.

Pelbagai versi lagu pernah didendangkan penyanyi berusia 28 tahun itu, dari bahasa Inggeris, Korea, Tagalong, Arab dan banyak lagi, semuanya berjaya menjentik tangkai hati pendengar.

Malah, disebabkan kekerapan Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani menyanyikan lagu K-Pop hingga berjaya mempunyai peminat tegar dari Korea. Akhirnya, Aina membuat keputusan semula merakamkan single Sepi yang dilancarkan pada Februari dalam versi bahasa Korea.

Hampir sebulan dimuat naik dalam laman YouTube, single Sepi versi bahasa Korea itu berjaya mendapat sambutan menggalakkan. Malah, video muzik berjaya mencecah hampir 700,000 tontonan. Bukan itu sahaja, terdapat personaliti YouTube turut menyanyikan semula lagu Sepi dengan cara tersendiri.

“Saya tidak sangka kesukaan menyanyikan lagu K-Pop berjaya mengumpul peminat tersendiri.

“Saya nekad menterjemahkan single Sepi dalam bahasa Korea selepas melihat penerimaan positif menerusi beberapa video nyanyian yang pernah dimuat naik dalam YouTube. Siapa tahu mungkin ia peluang terbaik untuk saya melebarkan ke negara itu,” katanya kepada BH Online.

Bagi merealisasikan impian menyanyi lagu sendiri diubah dalam versi bahasa Korea, Aina mendedahkan, dia mendapat bantuan rakan sekuliah untuk menterjemahkan single Sepi.

“Saya menghubungi rakan, Alice yang kini menetap di Korea Selatan untuk menterjemahkan lirik single Sepi. Sebelum merekodkannya, saya terlebih dahulu memperdengarkan kepada Alice bagi untuk memastikan sebutan betul.

“Apabila mendengar nyanyian saya, Alice mengatakan sebutan saya okay. Sejujurnya, saya bersedia menerima teguran dan kritikan. Saya tahu cara nyanyian belum sempurna.

“Bagi saya, tiada apa yang perlu dibimbangkan, sedangkan ramai penyanyi Korea yang menyelitkan lirik dalam bahasa Inggeris dalam lagu mereka. Walaupun cara sebutan tidak sempurna, tetapi peminat masih menerima dengan baik dan tidak mempertikaikannya kerana apa yang penting, kejujuran ketika menyampaikan sesebuah lagu,” kata Aina yang memulakan langkah dalam bidang seni bukan dengan jalan yang mudah.

Terbaharu, Aina bakal muncul dalam sebuah program temubual antarabangsa, Simply K-Pop CON-TOUR siaran Arirang TV dari Korea Selatan pada Isnin depan.

Aina menyertai program realiti, Mentor Legend di bawah bimbingan Ratu Rock, Ella pada 2014. Bagaimanapun, tidak berjaya meraih perhatian peminat seperti penyanyi baharu lain.

Demi kelangsungan hidup dan minat yang begitu mendalam pada bidang nyanyian, Aina pernah mencuba nasib dengan menyanyi di kelab malam dan restoran.

Bagaimanapun, bakatnya mula menyerlah selepas tampil dengan single Sumpah pada 2019. Ia membuka lembaran baharu dalam hidup Aina hingga layak melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

Namun, anak bongsu dari lima beradik itu gagal membawa pulang sebarang trofi. Siapa sangka, 2020 barangkali dikatakan tahun bertuah untuk Aina apabila memenangi pelbagai pertandingan. Antaranya, juara The Masked Singer dan Vokal Mania.

Lebih manis Aina berjaya melakar kejayaan dengan muncul tempat kedua menerusi AJL Ke-35 menerusi lagu Semalam. BH

Aina kumpul peminat K-Pop


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


AJL35: Gaun almond London, inspirasi payung terjun – Aina Abdul


Sebaran :

Leave a Reply