Masih Ada Rindu: Dayang Areeda akur belum popular

Masih Ada Rindu: Dayang Areeda akur belum popular
TUJUH tahun mencanai bakat dalam lakonan, namun Dayang Areeda akur masih belum mengecap populariti sama seperti rakan artis seangkatannya.

Jika dihitung drama dan filem lakonan pemilik nama penuh Dayang Areeda Datu Abdul Razak itu, ia sudah memandai membuatkan dia tersenyum bangga melihat pencapaiannya itu.

Meskipun masih belum dikenali, Dayang Areeda tetap bersyukur kerana tawaran lakonan masih ‘lebat’ dan tidak pernah putus rezeki untuk terus aktif di hadapan lensa kamera.

“Saya selalu percaya dan yakin dengan rezeki Allah. Ada orang masuk industri seni, nama terus naik. Bagi saya, tak mengapalah kalau perlahan-lahan mula dari bawah.

“Sebab semua itu bergantung kepada rezeki. Mungkin satu hari nanti, nama saya akan menyerlah dan dikenali ramai. Cuma buat masa ini saya bersyukur masih ada lagi dapat tawaran berlakon dan terus berada dalam industri,” katanya.

Berbicara soal perkembangan karier seninya, anak kelahiran Kudat, Sabah itu kini membintangi drama Masih Ada Rindu yang sedang ditayangkan di slot Akasia TV3, pukul 7 malam.

Memegang watak sebagai Nasya seorang pesakit ‘bipolar disorder’ atau gangguan mental yang berkait rapat dengan masalah emosi yang berubah-ubah sehingga menjejaskan aktiviti harian.

Berdepan cabaran

Ujar Dayang Areeda, dia akui berdepan cabaran untuk menghidupkan watak seorang wanita yang mempunyai masalah kesihatan namun selepas mendapat bantuan pengarah Osman Ali dan melihat sendiri orang terdekatnya yang turut menghidap penyakit itu, dia akhirnya berjaya menyelami karakter Nasya.

“Saya ada kawan yang merupakan pesakit bipolar disorder. Jadi, saya melihat sendiri bagaimana karakter dirinya boleh berubah daripada pendiam dan boleh ketawa secara tiba-tiba tanpa sebab.

“Bipolar disoder ini ialah penyakit mental. Susah nak cakap sebab bukan karakter sebenar diri kita. Memang besar cabarannya nak hidupkan watak Nasya.

“Sebab itu sebelum masuk set penggambaran, saya buat sedikit kajian dan bacaan. Sedikit sebanyak membantu saya untuk bawa dalam cerita Masih Ada Rindu,” ujarnya kepada URTV.

Pertama kali bekerja dengan pengarah Osman, sudah tentu ia memberikan momen indah buat Dayang Areeda yang sememangnya gemar mencabar diri.

“Saya suka cabar diri untuk bekerja dengan orang yang saya tak pernah bekerja. Rasanya semua pelakon dalam industri menyimpan impian nak bekerja di bawah arahan Osman Ali sebab hasil ceritanya sangat berkualiti.

“Sebagai artis baharu, saya nak cabar diri untuk bekerja dengan Osman yang semua sedia maklum dia seorang pengarah yang hebat. Dia seorang yang mudah untuk bekerjasama selain ‘soft spoken’. Segala tunjuk ajar yang diberikan semuanya sangat mudah difahami.

“Jika dia tidak berpuas hati dengan babak yang dilakonkan, dia akan minta pelakon mengulangi sekali lagi. Dari situ, kita akan tahu di mana kesilapan kita yang perlu diperbaiki,” ujarnya.

Selain Dayang Areeda, drama tersebut turut dibintangi oleh Farid Kamil dan Mimi Lana. Utv


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Mimi Lana tolak tawaran fotografi Dior demi Palestin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker