Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda

Sebaran :

Dahulu saya memang nakal – Nabila HudaDahulu saya memang nakal – Nabila Huda

SEIRING peningkatan usia, faktor status sebagai seorang ibu dan isteri sebenarnya telah banyak mengubah peribadi seorang wanita bernama Nabila Huda.

Jika dahulu, dia mengakui kehidupannya berselang-seli dengan siri kenakalan dan kontroversi yang kadangkala pernah mencetuskan api sensasi dalam dunia hiburan.



Semua itu cerita lama yang mahu disimpan rapi sebagai pedoman diri sendiri. Sekarang, pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi itu mengakui kehidupannya berkiblatkan kematangan.

Perkongsian dalam media sosial juga banyak terarah kepada perkara positif, sekali gus menjadi benteng penghalang dirinya daripada menjadi mangsa kecaman netizen.

“Dahulu saya memang nakal sikit, suka kongsi hantaran yang akan timbulkan komen pedas. Tetapi sekarang, saya banyak kongsi perkara positif.


“Kalau ada yang komen negatif, caranya saya abaikan sahaja. Sebab pada saya, setakat komen dalam media sosial tidaklah seteruk dengan kecaman yang keluar dalam surat khabar macam zaman dahulu.

“Wajah jadi muka depan akhbar, sampaikan semua orang tahu termasuk yang duduk di kampung dan pedalaman. Sekarang disebabkan faktor usia dan status, saya semakin matang mendepani kehidupan. Apabila sudah bersuami, kena jaga air muka dia dan mertua,” ujarnya.

Disebabkan itu, Nabila yang mesra disapa Abil mengakui dia mula berubah menjadi seorang yang kuat berfikir sejak memasuki usia 30-an lebih-lebih lagi sebelum berkongsi sesuatu dalam platform media sosial miliknya.

Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda
SELAIN tentang karier, keutamaan dan perkongsian dalam media sosial Nabila kini banyak berkisarkan kehidupannya bersama anaknya, Keisha Laila dan suami.

Maruah, air muka

Tumpuan pelakon berusia 36 tahun itu kini adalah untuk menyebarkan perkara positif kepada pengikut media sosialnya, selain mahu menggunakan pengaruh yang ada untuk memberi inspirasi.

“Saya pernah nakal, jadi tidak mahu perkara tersebut mempengaruhi orang lain. Sekarang, saya banyak kongsi pengalaman positif kepada pengikut.

“Saya mahu selalu pastikan untuk guna pengaruh yang ada dengan melakukan kebaikan. Saya sedar, orang dah macam tak kisah pun dengan saya. Sudah lepasi fasa itu (popular),” katanya yang gemar berkongsi video melakukan pelbagai aktiviti di rumah bersama suami dan anak, terutamanya memasak.

Apabila memasuki usia 30-an, anak kepada penyanyi legenda rock Amy Search itu menyifatkan kehidupannya berubah secara tidak langsung.

Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda
BIARPUN seronok berlakon cerita komedi, Nabila mengakui lakonan beremosi lebih memberi kepuasan dan meresap dalam jiwanya.

Apatah lagi dengan pelbagai pengalaman hitam putih kehidupan yang mengajarnya erti sebuah toleransi.

“Saya sudah lalui pelbagai fasa kehidupan, perkahwinan, perceraian, ada anak, kemudian hidup solo dalam tempoh yang lama.

“Sejak mengenali suami, dia banyak bagi nasihat yang saya boleh turuti. Saya ketepikan ego dan kedegilan sebab dia boleh beri pendapat di luar pemikiran saya.

“Karakter suami yang begitu membuatkan saya tak sanggup nak sakitkan hati dia. Kalau berlaku apa-apa isu, akan libatkan keluarga mertua juga. Satu tanggungjawab besar untuk jaga nama dan aib keluarga serta suami,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Izwan Johar pada Disember 2015.

Bertemu secara maya sempena mempromosikan drama terbaharu lakonannya berjudul Diva Popular, Nabila sungguh teruja bercerita tentang naskhah siaran Awesome TV dan MyTV setiap Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam tersebut.

Bercerita lanjut tentang drama terbitan Rumah Karya Citra, Nabila sebenarnya pertama kali menggalas watak komedi. Lebih menyeronokkan kali ini dia digandingkan dengan rakan pelakon Tiz Zaqyah. Ben Amir dan Syafiq Kyle.
Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda
AKSI komedi di samping pelakon hebat seperti Erma Fatima dalam Diva Popular beri pengalaman berbeza buat Nabila Huda

Watak komedi

Menjayakan watak Erma Erika, seorang pelakon yang kayu yang langsung tidak berbakat tetapi mempunyai ramai pengikut dalam media sosial, Nabila menyifatkan karya berkenaan memberi pengalaman cukup menarik biarpun terpaksa menjalani penggambaran selama empat bulan gara-gara pelaksanaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya dan Tiz bukan pelakon komedi, sejujurnya malu jugalah dengan Ben sebab kena terkinja-kinja depan dia. Saya buang semua saraf malu untuk drama ini. Sebab nak bagi orang gelak.

“Senang cerita, saya keluarkan semua kebodohan dan perangai kelakar.
Sejujurnya saya sendiri tak pernah terfikir untuk bawa watak sebegitu di depan kamera, sebab selama ini rakan-rakan cuma tengok perangai gila-gila saya di belakang tabir atau media sosial sahaja,” katanya yang bagaimanapun mengakui tidak begitu pandai mengemudi watak komedi berbanding watak berat yang sememangnya menjadi makanan sejak dahulu.

Dalam drama yang mewarisi kegilaan telefilem Pengantin Popular lakonan Erma Fatima dan Ogy Ahmad Daud pada 1994 berkenaan, Nabila mengakui banyak berhabis semata-mata untuk merealisasikan karakter Erma Erika.

Dia membawa sendiri pasukan yang menjaga busana serta solekan kerana demi memuaskan hati untuk sesuatu watak yang dipegangnya.

“Selepas tolak semua bayaran, untung yang saya dapat untuk drama ini cuma tinggal RM2,000 (ketawa). Kalau saya berbelanja untuk sesuatu, maknanya saya puas hati. Sebab itu saya tidak pernah hidup kaya.

“Mungkin nanti saya ambil masa sedikit untuk terima tawaran seperti ini lagi,” selorohnya.

Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda
DISEBABKAN paranoid dengan jangkitan Covid-19 tempoh hari, Nabila mengambil cuti rehat selama dua bulan daripada berlakon sebelum bersedia aktif selepas angka kes baharu virus pembunuh tersebut menunjukkan penurunan kelak.

Pasca Covid-19

Umum tahu, Nabila sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 dan terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Impak yang dilalui, dia mengalami kehilangan deria rasa dan bau yang menjejaskan kesihatan sehingga mencetuskan rasa trauma, bahkan paranoid untuk keluar rumah.

“Sewaktu dapat tahu diri positif, saya jadi sangat paranoid. Deria bau masih ada masalah setakat ini sebab semasa tempoh kuarantin, saya alami simptom selesema dan bersin, selain tekak berasa sakit seperti dikikis pisau. Perit bila telan air liur.

“Disebabkan virus ini masih ada dalam badan walaupun sudah habis kuarantin dan negatif, sekarang saya amalkan jaga pemakanan dengan ambil ubat-ubatan seperti vitamin serta minum air lemon,” katanya yang tidak keluar rumah melainkan ke pasar bagi membeli barangan dapur.

Nabila sempat meluahkan kekesalan dan kekecewaan terhadap sesetengah individu yang disifatkan mementingkan diri. Tegasnya, dia dijangkiti akibat kelalaian orang lain.

Atas sebab itu, dia menyarankan agar semua pihak yang bekerja dalam industri perlu disahkan negatif terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.

Bagaimanapun, ibu beranak satu itu mempunyai pendapat tersendiri memandangkan negara masih berdepan kes harian yang membimbangkan.

“Sebenarnya buat masa sekarang, agak susah untuk industri buat kerja. Banyak faktor jadi penyebab, contohnya pindah randah dari satu set ke set yang lain.

“Kita berjumpa ramai orang. Mereka pula kita tidak tahu datang dari mana dan berjumpa siapa. Jadi agak susah untuk hentikan kemungkinan dijangkiti,” tuturnya meluahkan butir pandangan.

Dahulu saya memang nakal – Nabila Huda


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


[VIDEO] Issey Naik Angin : Videonya Dicuri Tokeh Judi


Sebaran :

Leave a Reply