Tak hina pun, sebab ‘acik bawang’ terbaik



Sebaran :


Penerbit dan pengarah drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin menyifatkan penonton yang digelarnya sebagai ‘acik bawang’ adalah terbaik kerana menjadi penyumbang utama pada rating setiap drama Melayu yang disiarkan stesen TV.

Katanya dalam perkongsian hantaran di Instagram, tak salah jika peminat serta penonton drama Melayu digelar sebagai ‘acik bawang’. Malah, ujarnya tak jatuh hina pun dengan gelaran berkenaan.

“Saya sendiri pun dah berpuluh drama buat memang sasaran penonton ialah ‘acik bawang’. Sebab, ‘acik bawang’ lah penyumbang utama pada rating drama-drama Melayu.



“Mak saya sendiri adalah kategori penonton ‘acik bawang’. Dia bukan peminat drama-drama pelik yang ‘feeling’ macam drama Scammer saya buat tu. Kata mak, dia serabut dan pening kepala tengok,” ujarnya lagi.

Jelas Shahrulezad, dia dengan ikhlas hati dan jujur tidak pernah memandang rendah pun pada selera kebanyakan penonton yang digelarnya sebagai ‘acik bawang’.

“Kepada semua penonton yang saya gelar ‘acik bawang’, secara jujur saya tidak pernah pandang rendah pada selera kalian. Saya sangat menghargainya.



“Banyak cerita drama saya antaranya Takdir Yang Tertulis (TYT), Adellea Sofea, Cari Aku Di Syurga, Nur, Seputeh Qasih Ramadan dan macam-macam lagi memang saya tujukan pada penonton-penonton ‘acik bawang’ seperti mak saya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semoga semua penonton ‘acik bawang’ ini tidak terasa hati kerana baginya mereka terbaik dan memang penyumbang utama pada rating drama Melayu.

“Selera penonton adalah berbeza-beza. Sebagai penerbit drama dan pengarah, saya buat produk dalam pelbagai genre cerita. Ada drama kanak-kanak, kisah cinta, jenayah, romantik dan segalanya termasuk cerita untuk tontonan ‘acik bawang’.



“Takkan saya nak tukar panggil ‘acik asparagus’ pula. Jadi, saya harap janganlah ada mereka yang sentap sangat dengan gelaran ‘acik bawang’ ini,” katanya.

Apapun, Shahrulezad berkata selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti, dia akan terbabit dengan dua projek drama untuk TV3 dan Astro yang diakuinya sasaran utama penonton ialah golongan ‘acik bawang’. HM

#BoycottDior – “Tentera Bawang” Pula Serang FB Dior


Sebaran :


Leave a Reply