Haqiem Rusli dah nak kahwin


Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi popular, Haqiem Rusli, 23, mendedahkan dia sudah mempunyai ‘calon isteri’ dan sedia berkahwin tidak lama lagi.

Menurut Haqiem, dia seperti tidak percaya bahawa akhirnya mendapat kekuatan untuk berkongsi hasrat ingin mendirikan rumah tangga kepada peminatnya di media sosial.

Pada siaran langsung dibuatnya di Instagram sekitar jam 2 pagi ini, penyanyi lagu Tergantung Sepi itu mengakui dia akan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, tidak lama lagi.

“Tak ada apa yang saya nak rahsiakan. Perkahwinan adalah perkara yang baik dan saya mengaku sudah sedia untuk ‘mendirikan masjid’ seperti lelaki lain.

“Cuma setakat ini, saya masih belum ada tarikh yang tepat untuk melangsungkan majlis itu. Dan siapakah identiti wanita berkenaan, saya akan umum pada majlis nikah nanti,” katanya lagi.

Difahamkan, Haqiem dan ‘calon isteri’ sudah saling berkenalan dan menjalin hubungan rapat sejak dua tahun lalu. Ujar Haqiem, dia juga sudah mengikuti kursus kahwin pada tahun lalu.

Pengakuan mengejut Haqiem bagaimanapun mendapat penerimaan baik daripada peminatnya. Rata-rata bersetuju dengan keputusan dibuat Bintang Paling Popular Berita di Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu.

Mengulas juga populariti dirinya, Haqiem berkata dia percaya dan yakin keputusan nak berkahwin yang dibuat adalah tepat. Katanya, tiada apa yang akan berubah dalam kerjaya seninya termasuk populariti.

“Saya dah berfikir sebaik-baiknya dan segala rezeki datangnya daripada Allah. Saya reda dengan apa saja kemungkinan yang akan dilalui selepas berkahwin nanti.

“Apapun, alhamdulillah saya gembira peminat sudah tahu yang saya nak kahwin tidak lama lagi. Mereka (peminat) pun bersikap terbuka dan merestui keputusan besar saya ini,” katanya.

Setakat ini, Haqiem sangat berhati-hati berbicara soal peribadinya. Malah, dia lebih selesa berkongsi mengenai perkembangan karier berbanding percintaan.

Bagaimanapun, dengan pengakuan berani dan ikhlas dibuat, ternyata Haqiem cukup serius dengan keputusan diambil. Apapun, kebanyakan peminat mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga segala urusan perkahwinan dirancang itu berjalan lancar. HM

Video muzik Haqiem Rusli, Mimpi catat tontonan lapan juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker