Soal jodoh, Isyariana tolak lelaki ‘poyo’


IRONI, sudah lebih enam tahun si cantik manis Isyariana ini bergelar anak seni sejak mula melakar profil kariernya sekitar 2014.

Senggang masa berlalu, pelakon itu membuktikan kehadirannya perlahan-lahan disedari meskipun namanya tidaklah sehangat artis lain yang mampu memacu populariti dalam masa singkat.

Ujar pelakon yang pertama kali muncul dalam televisyen menerusi drama Married Tapi Benci itu, dia selesa bertapa dalam zon yang tidak memerlukan dirinya menjadi fokus perhatian, lebih-lebih terjebak onar seperti kontroversi dan publisiti murahan.

Prinsip tersebut dipegang kemas pemilik nama Isyariana Che Azmi itu termasuklah ketika menjalani penggambaran drama bersama pasangan pelakon, terutamanya lelaki berstatus suami orang.

Dia sentiasa berjaga-jaga dan tahu meletakkan batas, terutama saat melakonkan babak bersentuhan. Dalam fikirannya, dia enggan menimbulkan salah faham pada kemudian hari.

“Sejujurnya saya memang takut sikit apabila berlakon dengan pasangan pelakon berstatus suami orang, sebab ada sesetengah daripada mereka juga begitu menjaga batas.

“Tetapi dengan semua pelakon pun sama, saya memang berhati-hati. Tidak kira di hadapan ataupun belakang kamera, saya perlu jaga sebab faham perasaan orang lain, terutama isteri mereka.

“Jadi, demi mengelakkan adanya salah faham, lebih baik saya mainkan peranan untuk jaga nama baik dengan mengelak daripada sengaja mencetuskan kontroversi,” jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama HibGlam baru-baru ini.


DISEBABkan statusnya masih solo, ramai peminat lelaki cuba mengusik Isyariana menerusi hantaran mesej peribadi dalam Instagram.

Jaga nama

Setakat ini, pelakon kelahiran Temerloh, Pahang itu mampu menarik nafas lega kerana masih bersih daripada dihurung kontroversi yang membusukkan namanya.

Diusik tentang keselesaannya berada dalam zon selamat yang adakalanya dilihat kurang membantu menaikkan populariti, Isyariana ada jawapan dan pegangan yang disemat kemas dalam dada.

“Sebenarnya, memang ramai yang tanya saya, tak nak buat kontroversi ke untuk naikkan nama?

“Jawapan saya mungkin klise tetapi mudah. Sejak menyertai industri seni, nama dan populariti sudah jatuh ke nombor dua. Keutamaan saya sekarang adalah menjana pendapatan dan untuk kekal dalam industri.

“Saya sangat suka berlakon, jadi sangat penting untuk saya jaga nama dan periuk nasi daripada dicemari perkara tidak elok,” katanya lagi.


BERCAKAP tentang gandingannya dengan Amar Baharin dalam drama Hati Yang Dikhianati, Isyariana cukup selesa dengan sikap Amar banyak berbincang sebelum menjayakan sesebuah babak.

Batu loncatan

Berbanding terlalu mengejar dan memikirkan hal populariti yang dianggapnyan sebagai tuah dan akan datang pada waktu tepat, Isyariana memilih untuk memikirkan pendekatan terbaik memperbaiki kelemahan diri.

Dia senang menilai diri terutamanya melibatkan kerjaya lakonannya. Seperti contoh, mencari perbezaan dirinya dengan pelakon wanita lain.

“Saya yakin, nama akan naik dengan sendirinya. Orang mungkin nampak nama saya suam-suam kuku, lambat naik macam kura-kura mendaki bukit. Tetapi perkara yang kepala saya fikirkan ialah kerja.

“Kalau dapat tawaran jadi watak utama, saya akan fikirkan untuk cari kelainan dan bagaimana untuk bawa karakter yang diberi,” katanya yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Siapa sangka, ketika masih merangkak mencari ruang menempatkan diri di celah rimbunan bakat popular lain, Isyariana pernah mengejutkan ramai apabila dinobatkan selaku pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 () tahun lalu.

Menyifatkan trofi berkenaan sebagai rezeki penghargaan untuk dirinya, Isyariana percaya, seseorang artis itu mampu diiktiraf tanpa perlu diapung kontroversi.

“Saya menganggap anugerah itu sebagai batu loncatan untuk dikenali dalam industri. Saya akui, tidak semua orang kenal saya. Apa yang penting bagi saya ialah orang dalam industri.

“Tetapi itu bukan bermakna, penonton dan peminat tidak penting, cuma saya lebih memberi keutamaan nak menjaga hubungan dengan orang dalam industri. Merekalah yang banyak membantu kelangsungan karier saya.

“Sebenarnya, ramai yang mencadangkan nama saya kepada penerbit termasuklah jurusolek dan kru produksi untuk membintangi naskhah,” ceritanya yang datang bertamu bagi mempromosi drama lakonannya berjudul Hati Yang Dikhianati yang diadaptasi daripada telenovela Mis Tres Hermanas.

Dalam drama siaran Astro Prima tersebut, dia memegang watak sebagai Lisa, anak ketiga daripada empat beradik.

Perwatakannya ketika bersama keluarga cukup lemah lembut, namun bersikap agak tegas jika bertemu dengan orang luar.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam drama episod panjang. Pada awalnya, watak Lisa tidak terlalu berat tetapi sampai ke penghujungnya nanti, plot berubah dengan banyak babak berat.

“Jika dibandingkan dengan drama asalnya, Lisa memang seorang yang lemah lembut terhadap semua orang. Tetapi demi mencipta kelainan, saya suntik nafas baharu dengan ubah sedikit karakternya,” katanya yang bergandingan dengan pelakon Amar Baharin sebagai watak utama.


DUA tahun tidak dapat meneruskan tradisi menyambut kedatangan Syawal di kampung halamannya di Pahang, Isyariana terpaksa akur demi keharmonian bersama.

Jodoh, tak pilih rupa

Menyentuh sedikit tentang hal peribadinya, pelakon berkulit putih mulus itu terbuka menjawab pertanyaan dan mengakui pernah bercinta sebelum ini.

Hubungan yang dibina selama lapan tahun sejak di bangku sekolah lagi bagaimanapun berakhir di tengah jalan, enam tahun lalu.

“Pernah juga dahulu saya sasarkan umur 25 tahun sudah kahwin, tapi tak ada jodoh. Kemudian ulang lagi untuk umur 30, pun sama juga. Sudahnya, sekarang saya dah tak kisah bab jodoh.

“Apabila sudah lama solo, saya jadi berjaga-jaga mahu menerima kehadiran orang baharu. Apa-apa pun, saya biarkan jodoh datang sendiri.

“Kalau ada yang nak datang meminang, biar terus kepada mama saya sahajalah. Rupa bukan nombor satu, apa yang saya tengok ialah perangai. Kalau ‘poyo’, saya tolak terus,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Seperti semua orang, Isyariana juga turut bersedih kerana tidak dapat pulang beraya di kampung halaman di Pahang.

“Kampung saya di Temerloh tetapi selalunya kami sekeluarga akan beraya di rumah ibu saudara di Keratong, Rompin. Acap kali menjelang Syawal, macam-macam aktiviti kami lakukan seperti bakar lemang, rebus ketupat.

“Tetapi sudah dua tahun tidak dapat meneruskan tradisi, agak murung juga dibuatnya sebab dari kecil saya pulang beraya ke sana.

“Tahun ini macam ‘mood’ beraya tiada tetapi tetap meraikannya dengan mama, adik tiri dan ayah tiri di sini,” tutupnya. K Online

Zul Ariffin belum temui jodoh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker