Saiful Apek Ikon Komedi 2021


Lebih dua dekad bertapak dalam belantara seni, selain mencari rezeki, niat bintang ini hanyalah mahu menghiburkan masyarakat dengan bakat yang dikurniakan Ilahi.

Ternyata usaha gigih serta penat lelah pelakon dan pelawak, Saiful Apek terbayar apabila dijulang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2003.

Sangka Saiful Apek atau lebih akrab disapa Apek, trofi itulah satu-satunya anugerah terbesar yang mampu diraih sepanjang 27 tahun menghambakan diri dalam dunia hiburan.

Namun, baru-baru ini, tuah dan rezeki melimpahi hidup Apek apabila diangkat sebagai pemenang Anugerah Ikon Komedi Malaysia 2021 pada malam kemuncak, Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2021 di ibu negara, awal bulan ini.

Berkongsi momen manis itu, Apek atau nama sebenar, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff mengaku pada awalnya agak skeptikal apabila dimaklumkan pemenang kategori itu.

“Apabila dimaklumkan saya bakal menerima anugerah itu, beberapa bulan lalu, saya tertanya-tanya apa kaitan kerjaya saya ini dengan industri keusahawanan.

“Selepas membuat sedikit penyelidikan dan yakin dengan kredibiliti penganjur acara, saya datang ke majlis itu dan menerima penghargaan.

“Tidak dinafikan, saya terkejut kerana istilah ‘ikon’ yang diberi cukup besar.

“Saya melihat pengiktirafan ini suatu metafora iaitu sebagai pelakon, saya juga adalah produk yang membantu meningkatkan ekonomi industri hiburan khususnya,” katanya kepada BH Online.

Melihat pengiktirafan diberi dari sudut lebih positif, pelakon filem Cicak-Man dan Duyung ini berkata, hatinya tersentuh kerana masih ada pihak yang nampak sumbangannya, biarpun ramai pelapis yang tidak kurang hebatnya.

“Saya terima anugerah ini dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya, masih ada pihak yang sudi menilai bakat dan sumbangan ketika saya masih hidup dan aktif.

“Selalunya, anugerah hanya diberi ketika seniman sudah tiada,” katanya.

Jika dahulu wajahnya sering menjadi pilihan utama penerbit untuk menarik penonton ke pawagam dan televisyen (TV), kelibat penyanyi Aspalela ini seakan-akan hilang dari radar seni.

Disebabkan itu, ramai juga menyangka pelakon berusia 51 tahun ini tenggelam dengan kemunculan ramai pelapis yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Menafikan dakwaan itu, Apek ada alasan tersendiri mengapa dilihat kurang aktif.

“Saya faham ramai peminat mahukan saya seperti zaman kegemilangan. Secara jujur, pada saat ini, saya sudah tidak perlu hendak mengejar apa-apa lagi.

“Saya masih aktif tetapi memilih memperlahankan pecutan kerjaya seni.

“Dulu mungkin saya perlu kerja keras kerana saya hendak mencapai apa yang saya mahukan.

“Inilah yang meletakkan saya pada kedudukan sekarang. Saya jadikan Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai contoh.

“Pada kedudukan sekarang, mereka tidak perlu membuktikan apa-apa kerana sudah berada dalam liga sendiri.

“Tidak nampak wajah mereka kerap di kaca TV pun tidak mengapa. Mereka sudah melalui zaman itu,” katanya.

Apek berkata, dia bukan lagi mahu mengejar kemewahan.

“Definisi kemewahan saya hari ini adalah doa yang tidak putus-putus daripada peminat dan pengikut media sosial.

“Setiap kali membaca doa yang dititip, saya tahu mereka sangat ikhlas apabila meniti setiap ayat ditulis.

“Saya lebih selesa menjadi wira yang tidak didendang menerusi kerja-kerja yang saya buat secara rahsia.

“Biarlah hasil kerja saya yang bersuara,” katanya. BH

ISU – SAIFUL APEK ‘PEGANG TANGAN’ FIZA HALIM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker