Gara-gara ‘syaitan’, Jaafar Onn popular



Sebaran :


Pelakon Jaafar Onn, 70, mendapat pujian daripada seorang ustaz di Mersing, Johor berhubung lakonannya sebagai Tyson 2 yang juga syaitan dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid.

Jaafar berkata, walaupun ada segelintir golongan agamawan mengkritik filem ini kerana menampilkan gambaran di neraka dan watak syaitan, namun dia menganggap filem ini bagus kerana boleh memberi kesedaran kepada umat Islam supaya berpuasa dan jangan melakukan perkara tidak elok.

“Apabila penonton menyaksikannya, ia boleh menimbulkan kesedaran kepada mereka. Jadi, kita fikirkan neraka itu tempat untuk orang jahat dan banyak dosa. Pengajarannya, kita kenalah berbuat baik supaya tidak masuk neraka,” katanya.



Jaafar yang juga dipanggil Papa JO berkata, watak Tyson 2 atau syaitan dibawanya itu sekadar hiburan saja.

“Saya tidak kecil hati diberikan watak ini. Lagipun ia watak ini memang saya boleh buat. Ia juga adalah atas idea saya sendiri dan bukan disuruh oleh Mamat Khalid, ” katanya.

Menurutnya, babak dia keluarkan lidah atau apa saja, semuanya daripada ideanya sendiri.



“Mamat pula suka dan sebaik habis babak dia ketawa. Hubungan saya dengan Mamat bukanlah rapat tapi dia hubungi saya dan panggil idolaku.

“Saya pula nak ucap terima kasih kepada dia kerana bagi ruang untuk saya berlakon. Memang saya dah lama tak berlakon sama ada filem atau drama.

“Saya cuma dapat undangan dari Astro untuk buat Maharaja Lawak dan Sepahtu Junior. Apa-apa sahaja saya terima. Tak kiralah berapa minit atau setengah jam pun saya terima. Saya tak pernah kata tidak,” katanya.



Jaafar yang sebelum ini dikenali menerusi drama bersiri kanak-kanak Cili Padi mengakui teruja apabila melihat sambutan terhadap filem ini yang mendapat kutipan RM3 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.

“Semua orang kata saya ‘trending’. Saya terfikir apa yang ‘trending’. Rupanya sekarang ramai kanak-kanak sudah kenal saya semula dan nak bergambar.

“Mereka pun turut panggil saya dengan nama Abang J. Apa yang mudanya. Saya sudah 70 tahun dipanggil dengan nama ini lagi,” katanya.



Jaafar yang pernah terbabit dengan filem Rock arahan Mamat berkata, apabila ditawarkan berlakon cerita ini, dia membawa satu beg pakaian sebagai persediaan.

“Saya tak tahu watak saya macam mana, tapi saya fikir mesti ada tukar-tukar pakaian.

“Sampai di lokasi di Kuala Kangsar baju sudah disiapkan. Mekap juga disediakan dan saya cuma pasang badan saja. Di situ barulah Mamat beritahu apa wataknya. Saya kata oklah tak kisah apa-apa watak. Saya tak rasa kecil hati pun. Semua okay,” katanya.



Selain Jaafar, turut berlakon dalam filem berkenaan ialah Bell Ngasri, Aziz M Osman, Nam Ron, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud, Man Raja Lawak dan ramai lagi. HM

Menakjubkan..RM3 juta kutipan, ’18 Puasa di Kampong Pisang’ filem paling laris tahun ini di Astro First


Sebaran :


Leave a Reply