Fattah Amin menang Aktor Terbaik WFC Singapore 2021


KUALA LUMPUR: Fattah Amin melakar sejarah dalam kerjaya seni apabila lakonan dalam filem seram, Mimaland membawanya memenangi trofi Aktor Terbaik di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Kemenangan Fattah itu diumumkan di laman sesawang WFC Singapore 2021, malam tadi.

Mengulas kemenangannya itu, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin mengaku terkejut dengan kejayaan yang tidak pernah disangka.

“Saya dimaklumkan mengenai kemenangan itu oleh pihak pengurusan.

“Sebaik sahaja melihat nama tertera sebagai pemenang kategori Aktor Terbaik, saya jadi terkejut… Memang saya tidak sangka.

“Secara jujur, masih banyak lagi yang perlu saya belajar daripada bidang lakonan. Ini bukanlah yang terbaik.

“Bagaimanapun, saya anggap kemenangan ini rezeki kerana ini adalah julung kali lakonan saya mendapat pengiktirafan peringkat di antarabangsa,” katanya kepada BH Online.

Pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 menambah, anugerah itu menjadi pembakar semangat dalam menghasilkan karya terbaik.

“Seperkara yang menarik mengenai anugerah ini adalah ia dibuat berdasarkan penilaian juri profesional, bukannya atas undian,” kata aktor berusia 30 tahun ini.

Awal bulan ini, Mimaland diangkat Filem Seram Terbaik pada AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada.

Selain itu, filem arahan Nevin Hiong yang menampilkan Fattah dan Sophia Albarakbah sebagai teraju utama, menggondol trofi Pengarah Terbaik selain menjadi finalis bagi kategori Sinematografi Terbaik.

Berkongsi mengenai watak dibawa dalam Mimaland, Fattah mengaku karakter Ariel sangat berbeza dan memerlukannya bermain emosi.

“Ini adalah filem seram pertama lakonan saya. Cabarannya adalah bagaimana mahu bermain dengan emosi dan pemahaman terhadap sesuatu karakter itu.

“Selain itu, berikutan genre filem ini seram, kebanyakan penggambarannya dibuat pada waktu malam dan lokasinya dalam hutan.

“Gangguan mistik ketika penggambaran juga menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi ketika membintangi filem ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, suami kepada aktres Nur Fazura ini sedang melebarkan sayap karier seni apabila berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

Fattah akan mengendalikan program realiti berkonsepkan keusahawanan berjudul Sukses 4.0 untuk siaran Astro Awani.

Bagi memastikan tugasnya lancar, sempat juga aktor kacak ini menimba ilmu daripada pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

“Ini adalah tugas pengacaraan yang pertama selepas sedekad dalam bidang seni.

“Disebabkan saya tiada pengalaman menjadi hos, sebelum masuk set rakaman, saya jumpa Aznil untuk berguru dengannya.

“Walaupun sekejap, banyak ilmu dan tip diberi. Semua itu saya gunakan untuk melancarkan tugasan ini.

“Selain itu, saya juga mendapat bimbingan daripada pengarah dan penulis skrip,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.

Fattah menambah, tugasnya itu juga dijadikan serampang dua mata buatnya yang mengusahakan perniagaan sendiri.

“Saya ambil peluang juga untuk mempelajari ilmu bisnes yang diturunkan mentor setiap peserta program realiti itu,” katanya. BH

Fattah Amin tampil dengan lagu baru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker