Zul Ariffin bukan penunggang cinta


BERKELANA sebagai anak seni lebih 10 dekad, pelbagai sepak terajang industri hiburan telah dilalui pelakon berbadan kekar, Zul Ariffin.

Malah, sepak terajang itulah antara asbab dirinya semakin dikenali hingga ada yang menggelarnya sebagai hero kegilaan ‘wanita Malaya’.

Berikan apa sahaja karakter kepadanya, lelaki berbakat besar itu cemerlang menyampaikan setiap tugasan yang digalas.

Namun, ketika khalayak melabelkan dirinya sebagai aktor hebat, jauh di sudut hati pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin mengakui gundah untuk menerajui naskah berunsur Islamik.

Tegas dengan prinsipnya, Zul mengakui pernah menolak beberapa tawaran berlakon dalam naskhah bergenre serupa.

Bagaimanapun, entah mengapa, pendirian yang dipegangnya sejak dulu itu lebur apabila terbuka hati untuk berlakon dalam telefilem berkonsepkan Islamik terbaharu, Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof.


TERPALIT gosip kononnya menjadi antara punca terlerainya ikatan pertunangan Intan Najuwa dan Razrul, Zul Ariffin anggap kisah sebegitu hanyalah mengarut.

Risau

Meski sudah memegang variasi watak dalam pelbagai karya tempatan dan antarabangsa, pelakon berusia 34 tahun itu mendedahkan hatinya berat untuk menerima tawaran bergenre Islamik.

“Sejujurnya saya takut untuk pegang watak sehegitu kerana isunya sangat sensitif. Jika salah percaturan, habis dihentam masyarakat.

“Tetapi ketika Syafiq hubungi saya untuk watak Amir, tanpa berfikir panjang saya jawab ‘ya’.

“Saya buat ini kerana Syafiq tahu kelemahan dan kerisauan saya,” katanya usai tayangan perdana Penunggang Agama baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Misteri Dilaila itu, dia juga kerap menerima tawaran untuk memegang watak seperti telefilem tersebut.

Namun, semua pelawaan tersebut terpaksa ditolak olehnya.


WATAK lelaki bernama Amir dalam naskhah Penunggang Agama memberi dimensi baharu dalama karier lakonan Zul.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ada kaitan dengan naskhah keagamaan, lebih-lebih ada bacaan ayat al-Quran dalam lakonan.

“Nanti kalau ada salah, bahaya, saya juga yang kena bertalu-talu,” jelasnya panjang lebar.

Mengulas realiti tentang individu yang digelar penunggang agama seperti beberapa watak dalam telefilem tersebut, Zul tidak menolak kewujudan golongan sedemikian dalam sistem masyarakat masa kini.

Tuturnya, terdapat segelintir golongan agamawan yang menggunakan kelebihan diri untuk kepentingan peribadi.

“Mereka (penunggang agama) memang wujud dalam masyarakat kita. Ada yang diuji dengan wang ringgit dan agama.

“Realitinya hari ini ada sesetengah daripada mereka menjadi penunggang agama untuk keuntungan sendiri, bukannya untuk agama.

“Sepatutnya lebih tinggi ilmu agama, mereka lebih merendah diri dan takut pada Allah SWT, namun sekarang sebaliknya yang berlaku,” komennya.


AKUI Zul, selama ini dia kerap ditawarkan watak bersifat islamik namun semua ditolak kerana tidak sesuai dengan pegangan seninya.

Individu pemusnah

Rancak berbual tentang karier, Zul agak terperanjat apabila disuakan dengan pertanyaan tentang desas-desas mendakwa dirinya sebagai punca kemusnahan impian perkahwinan Intan Najuwa dan bekas tunang, Razrul Anwar Rusli.

“Saya tak tahu apa-apa pun tentang Intan Najuwa putus tunang. Kenapa nama saya yang kena,” jawab aktor yang pernah menjalin hubungan dengan penerbit Gayatri Su-lin Pillai itu seraya mengerutkan dahi.

Kekal rileks, namun pada masa sama Zul tetap menafikan wujudnya istilah cinta lokasi terhadap Intan sewaktu sama-sama menjalani penggambaran naskhah Setelahku Dimiliki sekitar dua tahun lalu.

“Saya tak pernah pula dengar cerita-cerita begitu dalam media sosial dan tidak tahu pula dia sudah putus tunang.

“Selalu sangat nama saya dikaitkan dengan macam-macam gosip sebegini tetapi untuk kali ini saya memang tak tahu dan tiada kena-mengena,” katanya.

Katanya, dia juga tiada masa untuk menambah beban dalam kepala dengan isu-isu sebegitu.

“Saya ada banyak benda lain nak buat dan macam tak ada kerja pula hendak jadi punca.

“Ini bukan kali pertama orang bercakap tentang saya berkaitan isu sebegini. Sebelum ini, spekulasi tersebut muncul mungkin disebabkan kami pernah bergandingan dalam drama,” katanya menutup perbualan. K Online

Zul Ariffin dan Ruhainies terlebih mesra

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker