Rita bersuara bukan sebab dengki



Sebaran :


KUALA LUMPUR: Sikap pelakon baharu yang tidak tahu bertegur, selain gemar buat hal sendiri dengan menghadap telefon bimbit menyebabkan pelakon senior, Rita Rudaini tampil menegur sikap dalam laman Instagram (IG) Story, baru-baru ini.

Rita membuat teguran selepas ciapan dilakukan pelakon Izara Aishah mempersoalkan tindakan sesetengah penerbit yang lebih gemar mengambil selebriti media sosial sebagai pelakon walaupun tiada bakat.

Berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri seni, Rita berkata, luahan dibuat bukan disebabkan cemburu dengan rezeki pelakon baharu atau mahu menjatuhkan mereka. Sebaliknya, ia hanya teguran seorang pelakon senior kepada pendatang baharu untuk memperbaiki mutu lakonan.



“Orang luar tidak nampak apa yang dilalui di lokasi penggambaran. Tanyalah mana-mana pelakon, bukan saya seorang sahaja menghadapi perkara ini. Apa yang saya luahkan bukan sebab dengki.

“Kami dahulu serius belajar dan mahu menjadi pelakon yang bagus. Namun, berbeza dengan bakat baharu hari ini. Mereka rasa apabila boleh melontarkan skrip bermakna sudah cukup bagus dan berbakat. Sedangkan, ada yang tidak tahu menjaga konti hingga pelakon lain pula terpaksa menegur kesilapan.

“Apabila babak dibawakan lari konti dengan babak sebelum ini, ia bukan sahaja menyusahkan pelakon lain dan kru teknikal. Tetapi, apabila bersuara, kita pula dituduh dengki, sedangkan apa yang penonton lihat di kaca televisyen (TV) sudah diperbaiki,” kata Rita.



Rita berkata, dia tidak tamak menerima tawaran yang tidak mampu dilakukan sejak awal bergelar pelakon. Malah, dia akan mengambil kesempatan bertanyakan tips dan tunjuk ajar pelakon berpengalaman di lokasi penggambaran.

Katanya, dia malu sekiranya lakonan tidak sampai dan akan menyalahkan diri sendiri kerana menyusahkan semua pihak.

“Saya dahulu pun berlakon macam kayu juga. Bezanya, saya sangat menghormati pelakon lama. Apabila berada di lokasi penggambaran, saya akan menggunakan kesempatan bertanya dan belajar.



“Namun, pelakon baharu sekarang pula lebih gemar memegang telefon dan mengasingkan diri dengan duduk dalam kereta. Saya tidak pernah bersikap diva hanya sebab lebih berpengalaman. Jika menegur secara baik, saya tiada masalah untuk melayan mereka.

“Saya tidak pernah bergandingan dengan Datin Seri Umie Aida, tetapi kami serasi berlakon bersama drama Shah Alam 40000. Saya tiada masalah bertegur dengan Umie. Berbeza pelakon sekarang yang langsung tidak tahu menegur. Apabila kita tegur, dikatakan pula dengki, sedangkan saya tiada sekelumit rasa iri hati.

“Kami sudah melalui pelbagai onak duri dalam dunia seni. Saya berada dalam industri untuk mencari rezeki, bukan mengejar populariti,” katanya.



Gara-gara pelakon baharu yang tidak memberi ketika berlakon, Rita berkata, mereka membuang masa orang lain. Sepatutnya, penggambaran habis lebih awal tetapi berlarutan hingga tengah malam disebabkan masalah pelakon baharu.

“Kami bukan masuk lokasi penggambaran terus pandai, kami pun bodoh juga. Tetapi, tidaklah lakonan masih di takuk yang sama selama lima bulan, siapa boleh tahan sabar? Sepatutnya, tempoh ini digunakan untuk belajar menjiwai watak.

“Namun, apabila tidak boleh pergi, saya dan pelakon lain terpaksa menjadi ‘bola tanggung’ kerana tidak mahu membuang masa,” jelas Rita lagi.



Rita berkata, tindakan penerbit mengambil selebriti media sosial sebagai pelakon disebabkan bayaran lebih murah menyebabkannya pernah terdetik ingin berhenti berlakon.

“Bukan saya tidak boleh terima. Sekiranya pendatang baharu mahu belajar, saya tiada masalah untuk menerimanya. Ini tidak, apabila pengarah menegur, mereka tunjuk muka tak puas hati. Ingatlah, bukan mudah dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Umie, jadi janganlah dipersia-siakan peluang ini.

“Pengarah marah atau tegur bukan sebab tidak suka, sebaliknya ingin memperbaiki lakonan seseorang pelakon. Saya sendiri masih ditegur, tetapi tidak pernah ambil hati kerana sedar saya bukan sempurna,” katanya. BH

RITA RUDAINI: “SAYA TAK TERHEGEH-HEGEH MAHUKAN KEMBALI AIDIL”


Sebaran :


Leave a Reply