Justin Bieber ‘mencari’ Tuhan

Sebaran :


TERDAPAT bait-bait lirik menyentuh kalbu dalam lagu dendangan Justin Bieber berjudul Lonely.

Lirik tersebut berbunyi, ‘every­body knows my past now, like my house was always made of glass, and maybe that’s the price you pay for the money and fame at an early age’.

Menerusi lagu tersebut, dia ingin memberitahu dunia bahawa semua orang tahu kisahnya. Dia ada segala-galanya, namun tidak dapat lari daripada kesunyian. Itulah harga yang perlu dibayar seorang yang dikenali seawal usia remaja.

Perkara tersebut menjadi inti pendedahan Bieber atau nama lengkapnya, Justin Drew Bieber, 27, menerusi program Zack Shang Show. Dia bercakap tentang liku-liku perjalanan sejak kecil, perkahwinan dengan model dan sosialit, Hailey Bieber serta tidak terkecuali diskografi terbaharunya, Justice.



Menerusi Justice, Bieber menjadi artis solo lelaki pertama yang berjaya ke tangga pertama carta album dan lagu Amerika Syarikat, iaitu Billboard 200 dan Billboard Hot 100 tersebut secara serentak pada minggu yang sama.

Itu satu pencapaian luar biasa saat dirinya memasuki usia hampir 15 tahun sebagai pemuzik.

Bieber meraih kemasyhuran pada usia yang muda, namun pernah suatu ketika dia diherdik teruk menerusi single debutnya berjudul Baby.

Pada waktu tersebut, vokalnya belum ‘pecah’ dan kedengaran seakan-akan vokal wanita. Pengkritik menyangka Bieber tidak akan bertahan lama dalam industri dan sekadar akan terpahat dengan frasa ‘one hit wonder’.



“Tuhan yang menciptakan banyak perkara dalam dunia seperti lautan, pokok, syurga, burung dan bermacam perkara lagi. Barangkali percaya dengan nilai saya sebagai manusia. Jadi mengapa perlu dengar cakap orang yang tidak percaya dengan kebolehan saya?

“Saya percaya Tuhan suntik sedikit bakat dalam diri saya kerana Dia percayakan saya dan ada sebab mengapa saya dijadikan sedemikian rupa.

“Saya mahu gunakan segala kemampuan yang diberikan dan tidak mahu mudah terpengaruh dengan kata-kata negatif orang yang tidak kenal.

“Saya mahu terus jatuh cinta dengan Pencipta saya,” kata Bieber yang mengambil pendekatan kerohanian berhubung pertikaian orang tentang bakatnya.



Apa lagi perkara yang ingin dikejarnya sebagai seorang anak seni demi respons baik daripada peminat?

Jawab Bieber, dia cuma mahu terus berhubung dengan khalayak melalui muzik.

“Saya percaya setiap artis mempunyai matlamat dalam setiap perkara yang dikerjakan. Saya ingin terus berhubung dengan peminat buat perkara yang saya suka dan pada masa sama, perkara yang buat suka.

“Saya tidak belajar tinggi, hanya ada muzik dan bakat yang boleh dikongsikan kepada dunia.

“Itu juga bermaksud saya mahu terus berada dalam bidang ini selama yang mampu, berhubung dengan orang ramai melalui budaya. Selama mana orang mahu dengar suara saya, saya akan terus berikan sepenuh kudrat,” tutur Bieber.

Dalam penulisan album kali ini, Bieber mendedikasikan luahan buat permaisurinya iaitu Hailey. Menerusi trek berjudul Deserve You, Bieber mengakui perkara tersebut.

“Betul, untuk Hailey, namun pada masa sama, apa yang saya nyanyikan juga boleh ditujukan kepada Tuhan.

“Pemberian Tuhan melayakkan saya menjalani kehidupan sekarang.

“Tentang isteri, saya juga fikirkan apa yang melayakkan saya untuk bangun setiap hari dan berada di sisinya. Dia sentiasa mengutamakan saya dalam setiap perkara. Semua yang dijalani ini luar biasa,” luahnya.

Secara peribadi, kerjaya seni Bieber menjadi antara topik menarik untuk disorot panjang lebar.

Dia kekal relevan kendatipun dengan pelbagai tohmahan, sepak terajang dan kata nista yang sememangnya tidak asing dalam dunia seni.

Apa yang diluahkan menerusi lagu Lonely merupakan satu perkongsian paling ikhlas sepanjang bergelar pemuzik mahupun peBenar, menjadi orang popular, kebanyakan masa mereka perlu membelakangkan emosi sendiri sebenarnya harga yang perlu dibayar sebagai Justin Bieber, antara manusia paling terkenal di dunia. K Online


Sebaran :

Leave a Reply