Mimifly lamar anak Bob Lokman, Han Kabir

Sebaran :


Nama penyanyi rap, Han Kabir atau nama sebenar Ahmad Sufian Mohd Hakim mungkin masih asing buat peminat muzik arus perdana.

Bakat yang ada pada penyanyi berusia 26 tahun ini telah menarik perhatian penyanyi Mimifly dan bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu telah ‘melamar’ Han untuk berganding bersama di dalam lagu terbaru Mimi yang berjudul Diam.

“Semasa dalam proses Mimi menulis lagu Diam ini, Mimi amat tertarik untuk memasukan bahagian rap di dalam lagu dan Han merupakan salah seorang rapper yang Mimi rasa sangat sesuai untuk lagu ini kerana Mimi suka cara penulisan dan penyampaian rap Han.

“Masa tu tak kenal pun dia siapa. Kami di pertemukan oleh komposer Khairafik Khairudin. Bila dengar Han punya rap dan lirik terus Mimi tertarik. Mimi rasa dia sangat berbakat dan berpotensi tinggi untuk pergi lebih jauh dalam industri muzik kita” ujar Mimifly.



Han merupakan anak kepada pelawak dan penulis lirik tersohor tanahair, Bob Lokman, yang telah menulis untuk ramai bintang-bintang lagenda tanah air seperti Kumpulan Search, Wings, Lefthanded, Ekamatra dan ramai lagi.

Bercerita lanjut tentang lagu Diam, Mimi memberitahu lagu tersebut adalah hasil nukilannya bersama Han Kabir dan Khairafik Khairudin.

Kata Mimi, idea lagu ini tercetus dari pengalamannya sendiri yang sentiasa menjadi bualan negatif pihak-pihak yang suka bercerita tentang perihal kehidupan orang lain.

“Ramai orang yang macam ni dalam dunia ni tapi tak semestinya kita perlu jadi seperti mereka. Ada banyak lagi benda yang kita perlu fikir dari bercakap tentang perkara negatif terutama sekali tentang kehidupan orang lain dan sentiasa membuat tuduhan melulu tentang mereka.



“Dan jika kita sentiasa menjadi bahan bualan orang-orang yang bersifat negatif dan yang hanya ingin menjatuhkan orang, jangan risau, kita tak perlu buat apa-apa. Diam je, diam itu lebih berbisa dan Tuhan akan membalas segalannya,” cerita Mimi. Dengarkan lagu Diam di semua platform digital bermula 2 April 2021. Muzik video Diam juga boleh ditontoni di Youtube Channel Mimifly pada hari yang sama. Utv


Sebaran :

Leave a Reply