Nostalgia ‘lady biker’ Erra, gemuruh Khai


Namun, Erra Fazira dan Khai Bahar memiliki aura tersendiri yang mengiringi bakat seni mereka sekali gus berjaya menempatkan nama mereka dalam industri hiburan tanah air hingga hari ini.

Harian Metro menjadi antara langkah awal kedua-dua bintang ini ketika mula melangkah ke dalam industri hiburan dan perjalanan itu sekali gus menjadi kenangan manis buat Erra dan Khai.

Bersempena ulang tahun ke-30 Harian Metro hari ini, RAP menggandingkan dua bintang dari dua era berbeza ini yang berkongsi kenangan mereka mendaki puncak kegemilangan bersama akhbar ini.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berkata, mungkin ramai beranggapan dia memulakan kerjaya seni selepas berjaya memegang mahkota Miss Malaysia World 1992.



Namun, Erra sebenarnya bermula lebih awal dengan Harian Metro.

Erra berkata, sebelum menyertai Miss Malaysia World, wajahnya sudah terpampang di akhbar ini pada 1991 menerusi ruangan Gadis Metro.

Katanya, dia ditemu bual bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil yang ketika itu wartawan hiburan Harian Metro.

“Saya masih ingat lagi apabila diminta membawa watak sebagai gadis lincah dengan motosikal atau digelar sebagai ‘Lady Biker’. Dari situlah saya mula mengenali Harian Metro sehingga hari ini,” katanya.



Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya bersama Harian Metro, Erra mengakui akhbar ini begitu dekat dengan hati pembaca.

“Sepanjang kerjaya saya dalam industri hiburan, Harian Metro banyak membantu menaikkan nama saya dan menyajikan cerita-cerita mengenai perkembangan terkini saya.

“Selain kisah hiburan dan selebriti, akhbar ini juga adalah wadah untuk mendekatkan masyarakat dengan maklumat terbaharu. Terus kekalkan apa yang terbaik,” katanya.

Erra turut mengagumi kemampuan akhbar ini yang terus kekal relevan walaupun dalam era digital.



“Walaupun kita dikelilingi pelbagai material dan platform digital, Harian Metro masih lagi mampu mengekalkan namanya dan menjadi pilihan pembaca. Saya harap Harian Metro akan terus bertahan dan terus menyajikan kandungan menarik buat pembaca,” katanya.

Sementara itu, Erra ketika ditemui di majlis pelancaran pelitup muka Himaya berkata, dia bakal hadir dengan album istimewa bagi mengubat kerinduan peminat-peminatnya.

“Sekarang, saya menjadi duta untuk pelitup muka ini dan pada masa sama, saya ada merancang untuk menghasilkan album memandangkan sudah lebih 10 tahun saya tak keluar dengan album baharu.

“Secara tak langsung, saya ingin album ini menjadi hadiah buat peminat yang rindukan nyanyian saya. Jadi, mungkin saya akan gabungkan lagu-lagu popular saya dan muatkan dalam album itu,” katanya.



Khai gemuruh di konsert bersama Harian Metro

Khai yang boleh dikatakan masih hijau dalam industri hiburan tidak pernah melupakan jasa Harian Metro yang menaikkan namanya sebagai penyanyi sehinggalah kini sudah bergelar pelakon pula.

“Harian Metro adalah salah satu medium terbaik dan sentiasa menyokong perjalanan karier seni saya. Daripada saya bukan sesiapa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Saya takkan lupakannya.

“Sepanjang beberapa tahun saya bekerja sebagai anak seni, ada naik dan ada ketikanya saya berada di bawah. Namun, Harian Metro tidak pernah jemu membuat liputan mengenai saya,” katanya.



Berkongsi kenangan bersama Harian Metro, Khai pasti tidak dapat melupakan pembabitannya dalam Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Kuching, Sarawak pada Mei 2016.

Khai yang ketika itu popular sebagai penyanyi di aplikasi Smule dan saluran YouTube pertama kali beraksi di konsert besar yang dihadiri lebih 3,000 penonton.

Khai mengakui, ketika itu dia cukup gementar dan bagi menghilangkan perasaan gemuruh, dia bermain teka-teki dengan kakitangan Harian Metro.

“Walaupun pernah menyanyi depan khalayak ramai, ini pengalaman pertama terbabit dalam persembahan berskala besar,” katanya.



Selain itu, Harian Metro juga membawa Khai mengimbau kenangannya ketika kanak-kanak.

“Waktu itu, ayah selalu membaca Harian Metro. Jadi, saya yang masih kanak-kanak banyak melihat gambar-gambar yang ada dalam akhbar.

“Siapa sangka, apabila sudah dewasa dan bekerja, gambar saya pula terpampang dalam Harian Metro. Ia memang mencuit hati dan menggembirakan saya,” katanya.

Walaupun muncul sebagai artis generasi baharu, Khai tidak pernah memandang akhbar sebagai sesuatu yang semakin dilupakan.

“Datanglah apa juga platform digital, saya yakin akhbar akan terus menjadi medium yang malar hijau dan disukai ramai,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjayanya, Khai berkata, dia kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kisah Cinta Rumi yang menggandingkannya dengan Riena Diana.

“Sekarang saya masih menjalani penggambaran drama ini. Insya-Allah, ia akan ditayangkan menjelang Ramadan ini.

“Ini adalah drama kedua lakonan saya dan kali pertama saya berganding dengan Riena. Banyak juga pengalaman yang dikongsikan Riena dan saya gunakan dalam lakonan saya,” katanya. HM

Bukan saya yang kahwin, kata Erra Fazira

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker