Romantika Risteena, Isa Khan — MYKMU.NET

Romantika Risteena, Isa Khan



Sebaran :


BERTAHUN menyulam cinta, akhirnya hubungan pasangan selebriti Risteena Munim dan Isa Khan terpatri menerusi ikatan pernikahan.

Lembaran baharu yang dibina atas jambatan kasih sayang tersebut sekali gus menghalalkan cinta pasangan sejoli itu.

Melangsungkan pernikahan pada Jumaat yang merupakan penghulu segala hari secara sederhana, dua jiwa pasangan pelakon itu selamat disatukan tepat pukul 10.40 pagi.



Memilih Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi di Putrajaya sebagai lokasi pernikahan, majlis turut dihadiri keluarga terdekat kedua-dua mempelai.

Segak dan anggun menggayakan pakaian nikah berona putih krim rekaan Ezuwan Ismail, jelas terukir senyuman tanda bahagia pada kedua-dua wajah pasangan saat sah diijabkabulkan.

Risteena dinikahkan bapanya sendiri, Zainul Ilyas Zainul Abidin dengan hanya sekali lafaz.



Pada majlis yang mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu, keluarga Isa menyerahkan tujuh dulang hantaran bersama mas kahwin berjumlah RM1,000.

“Alhamdulillah majlis pernikahan berjalan lancar dan semuanya dipermudahkan Allah. Terima kasih atas doa dan ucapan yang dititipkan.

“Setelah beberapa kali terpaksa menangguhkan perkahwinan disebabkan pandemik Covid-19, akhirnya kami disatukan secara sah menerusi perkahwinan,” kata Risteena kepada HibGlam.



Tambah Risteena, cinta lokasi yang terjalin sejak sama-sama bergandingan menerusi drama Bulan Di Kota Langit akhirnya membawa kepada perkenalan selama dua tahun.

Melalui fasa baharu sebagai suami isteri, Risteena akui perlu mempelajari selok-belok bergelar isteri.

Jelasnya, jika dahulu dia hidup solo bersama keluarga, namun kini status tersebut telah berubah dan dia perlu sentiasa belajar perkara baharu selepas bernikah.



“Kalau dahulu semuanya kita buat sendiri. Kita tinggal bersama keluarga dan adik beradik. Namun kini berubah 360 darjah.

“Sekarang hidup bersama suami, banyak perkara dan hal berkaitan rumah tangga perlu dipelajari.

“Perlahan demi perlahan dan lama-lama nanti pasti okey,” katanya seraya tertawa kecil.



Ditebak mengenai sebarang syarat yang mungkin diletakkan kepada isteri, Isa memberitahu dia tidak meletakkan sebarang peraturan dan faham tugas dan peranan isterinya sebagai pelakon.

Kata Isa, dia bukan jenis seorang suami yang suka menghalang atau membunuh bakat lakonan isterinya yang menjadi sumber utama pendapatan.

“Saya faham tugas dan kerjaya sebagai pelakon kerana saya juga dalam bidang yang sama. Jadi pada saya, tiada isu tentang perkara itu.

“Biarlah Risteena nak berlakon sekalipun. Tiada halangan dan syarat daripada saya.

“Asalkan tahu batas sebagai seorang isteri dan Muslim sudah cukup memadai,” ujar Isa atau nama lengkapnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 28.

ISA tidak mahu meletakkan sebarang syarat untuk isterinya jika ingin berlakon asalkan pandai menjaga batas sebagai seorang isteri.
Kembar

Menyentuh mengenai perancangan memiliki cahaya mata, Isa dan Risteena tidak menolak seandainya dikurniakan anak lebih awal.

Kata Risteena, dia serahkan semuanya kepada suaminya dan izin rezeki dari Allah SWT.

“Kalau ikut kami, memang kami nak ada anak awal. Kalau ada rezeki,insya-Allah nak dua atau tiga orang anak. Dapat kembar pun lagi bagus.

“Apa-apa pun kena tanya Risteena juga. Doakanlah yang baik-baik untuk kami.

“Sekarang berdua, mana tahu selepas ini bertiga,” seloroh Isa sambil memberitahu terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbulan madu di Switzerland ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan. K Online

Risteena sah milik Isa Khan


Sebaran :


Leave a Reply