AJL35 kekal tiada penonton


Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) tetap berlangsung tanpa penonton, biarpun acara hiburan sudah boleh dihadiri khalayak.

Perkara itu disahkan Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.

Ini bererti malam kemuncak AJL35 anjuran TV3 dan Media Prima Berhad itu bakal disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam esok, kekal tanpa penonton.

“Kami tidak bersedia mengajak penonton datang menonton AJL35 secara langsung berikutan perancangan sudah dibuat sebelum ini.

“Diakui, AJL selama ini meriah dengan kehadiran penonton, namun TV3 akur situasi pandemik COVID-19 membataskan segala-galanya.

“Biarpun diberi kelonggaran dan kebenaran kerajaan membolehkan penonton datang menonton secara langsung, kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya kepada BH Online.

Nurhul Huda berkata, ruang persembahan akan dipenuhi pentas, orkestra dan kru yang bertugas.

“Bagaimanapun, kami menyediakan tempat duduk di aras tingkat empat untuk barisan penaja dan orang kenamaan,” katanya.

Tambah Nurhul Huda lagi, persiapan juga hampir sempurna.

“Kami hanya memberi sentuhan akhir pada masa ini. Harap semuanya akan berjalan lancar, malam esok. Syukur juga keputusan ujian calitan membabitkan finalis, artis jemputan dan kru semuanya negatif.

“Finalis dan artis jemputan mendapat tajaan ujian calitan daripada Pusat Perubatan Management And Science University (MSUMC), Shah Alam,” katanya.

Selepas sekian lama tertunda, Nurhul Huda berkata, dia percaya peminat AJL yang mengangkat kredibiliti pencipta lagu sudah lama menunggu detik malam kemuncak.

“Selain persaingan 12 finalis, persembahan artis undangan dilihat antara kejutan untuk peminat AJL35,” katanya.

Tirai persembahan AJL35 dibuka dengan persembahan Ratu Rock, Ella bersama Naim Daniel dan Yonnyboii.

Selain itu, buat kali pertama, lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju yang berjudul Baik Semula akan dipersembahkan.

Lagu berkenaan berkisar situasi yang berlaku di Malaysia sekarang.

Selain itu, persembahan interlude AJL35 bertemakan Projek Band akan menampilkan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret.

Semua kumpulan akan mempersembahkan aksi medley dan ‘mash up’ lagu terbaik, sambil bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.

Manakala, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni selaku hos akan mengendalikan acara berprestij dalam situasi norma baharu. BH

Anugerah Bintang Popular BH: Trofi Pemenang? Ambil sendiri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker