Resort jadi markas operasi syabu ditumpaskan PDRM, nilai rampasan 1 juta ringgit

 

SEREMBAN: Polis menumpaskan sindiket dadah dengan penahanan enam individu bersama dadah bernilai RM932,288 dalam tangkapan berasingan di Port Dickson dan Melaka pada 28 Feb dan 1 Mac lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata, suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Vietnam berusia lingkungan 35 hingga 54 tahun, ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.



“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak dua dan tiga bulan lepas dengan menjadikan bilik di sebuah resort di Port Dickson sebagai tempat operasi kegiatan mereka.

“Sindiket dadah ini dipercayai untuk pasaran ke bahagian selatan, pihak polis juga dalam usaha mengesan saki-baki mereka yang terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan.

Memperincikan kes itu, beliau berkata pasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Volkswagen di Jalan Sua Betong Air Kuning Linggi, pada 28 Feb lepas.

Mohamad berkata, semasa pemeriksaan itu polis merampas dadah jenis syabu anggaran 801g dan menahan seorang lelaki tempatan.



Susulan itu, pihak IPK Negeri Sembilan mengambil tindakan dengan membuat serbuan ke sebuah resort di Port Dickson dengan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Vietnam.

“Pada serbuan itu polis merampas dadah syabu dengan anggaran 23.2kg, ketamin (20g), eramin 5 (1g) dan pil estacy (1g), sepucuk pistol angin tiruan dan sebutir peluru,” katanya.

Beliau berkata, jumlah sitaan bagi rampasan seperti kenderaan, wang tunai dan barang kemas dan jam tangan di lokasi tersebut bernilai RM83,835.

Menurutnya, lanjutan daripada kejadian itu, pada hari sama, polis melakukan serbuan di Alor Gajah dan Tanjung Minyak di Melaka dengan menahan tiga lelaki tempatan dan menyita sebuah kereta jenis Proton Wira.



“Polis menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di kawasan Taman Mengkuang, Masjid Tanah dan merampas dadah jenis syabu (1.59kg) dan menyita sebuah kereta.

“Kemudian dua lelaki tempatan ditangkap di sebuah rumah di Taman Bertam Perdana dengan merampas dadah jenis syabu (226.4g) dan ketamin (4.9g),” katanya.

Katanya, ujian saringan mendapati semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selain lima lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun suspek wanita itu tiada rekod kesalahan jenayah.

Semua direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



Op Benteng: 10 guni syabu bernilai RM16.08 juta dijumpai di Rantau Panjang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker