Wanita ditemui mati dengan kesan jerut, lelaki tergantung di ruang tamu

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan jerutan di leher, manakala mayat seorang lelaki Pakistan ditemui tergantung di sebuah flat di Jalan Seri Sentosa semalam.

Mayat lelaki berusia 41 tahun itu ditemui tergantung di ruang tamu, manakala mayat wanita tempatan yang berusia 53 tahun itu ditemui terbaring di dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pemilik rumah selepas dimaklumkan seorang wanita yang turut menyewa di rumah sama pada 6.08 petang.

Beliau berkata, siasatan awal pasukan forensik menemui kesan lebam sepanjang 15cm di leher wanita itu yang disyaki dijerut.

“Kali terakhir kedua-dua mangsa dilihat saksi kejadian yang juga teman serumah mereka kira-kira 7.30 pagi semalam, sebelum keluar bekerja dan mereka berada dalam keadaan baik.

“Keterangan daripada jiran juga menyatakan tidak mendengar sebarang kekecohan atau bunyi bising dari rumah itu,” katanya dalam kenyataan.

Identiti lelaki serta wanita terbabit tidak didedahkan, dan polis masih menjalankan siasatan mengenai hubungan kedua-duanya serta punca kejadian.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker