Album Belagu bagai goreng pisang panas


Dua jam dilancarkan di pelantar digital, album terbaru Dayang Nurfaizah berjudul Belagu berjaya menduduki carta nombor satu di iTunes, sekali gus menjadikannya album penyanyi tempatan paling laris dijual.

Terharu dengan sokongan diberikan ke atas buah tangan terbarunya itu, Dayang berkata, kejayaan album berkonsepkan kontemporari klasik itu membuktikan hasratnya untuk menghargai khazanah lagu Melayu lama diterima ramai.

“Saya diberitahu pengurus, Sharina Ahmad, album Belagu diedarkan di seluruh pelantar digital tepat jam 12 malam tadi. Dua jam kemudian ia terus berada pada tangga nombor satu carta album paling laris jualan di itunes Apple Store.

“Saya terharu dan bersyukur dengan sambutan diberikan terhadap album Belagu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong album ini.

“Saya sudah lama berhasrat menghasilkan album yang mengetengahkan lagu klasik yang percaya khazanah paling berharga. Segala perancangan selama bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini sangat berbaloi. Ternyata, apa yang saya mahu kongsi dengan peminat muzik diterima baik,” katanya kepada BH Online.

Jelas penyanyi bervokal mantap ini, sambutan hangat yang ditunjukkan itu menjadi petanda positif industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Penyanyi Separuh Matiku Bercinta itu merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan beberapa pihak lain yang disifatkan banyak membantu dalam menunaikan impiannya itu.

Album Belagu mendapat sentuhan komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito dengan menghimpunkan lagu malar segar. Antaranya, Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tak Seindah Wajah, Tari Tualang Tiga, Jikalau Abang Merindu, dan Dikirim Jangan Dipesan Jangan.

Penyanyi dan komposer muda, Hael Hussaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.

Apa yang menarik, kerja rakaman album berkenaan dilakukan secara langsung dalam studio khas yang dibina dalam sebuah gudang bagi membolehkan logistik dan rakaman dapat dilakukan dengan sempurna dalam tempoh dua hari. BH

Keluar album bantu cari dana pusat tahfiz

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker