Hafreez Adam diraba kru wanita, ini penjelasannya


Berdepan dengan gangguan seksual di lokasi penggambaran menjadikan nama Hafreez Adam, 31, kembali panas.

Menerusi entri Instagram (IG) yang dimuat naik, Hafreez mendakwa, dia melalui pengalaman diraba seorang kru wanita berperwatakan ‘pengkid’ ketika menjalani penggambaran sebuah drama, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, perkongsian Hafreez menjadi kecaman ramai apabila ada yang mempertikaikan kenapa baru sekarang mendedahkannya. Tidakkah perkongsiannya itu umpama meludah ke langit, jatuh ke atas muka sendiri.

Ada yang mendakwa, perkongsiannya itu bagaikan mendedahkan kelemahannya sebagai lelaki apabila boleh diraba sesuka hati tanpa tindakan keras diambil.

Bagaimanapun, pelakon yang melonjak nama menerusi drama Bila Hati Berbicara itu punya alasan tidak bertindak keras terhadap kru wanita berkenaan. Nyata, gangguan seksual boleh terjadi tanpa mengira jantina.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 itu berkata, ramai salah anggap dengan perkongsian dalam IG, baru-baru ini.

“Apa yang ingin saya jelaskan, jika perbuatan ini dilakukan oleh golongan lelaki, ia pantas dicop sebagai gangguan seksual. Namun, golongan wanita yang melakukannya, ia sekadar dianggap gurauan keterlaluan atau tidak senonoh.

“Sedangkan, isunya sama, tetap gangguan seksual. Perkara ini dibangkitkan ketika saya melakukan sesi ‘live’ di laman IG. Masa lintas langsung itupun, ada peminat bergurau, ‘badan sado sedap dapat pegang’.

“Bagi saya, perkara seumpama ini tidak manis dan bersesuaian, apatah lagi, bercakap atau bertindak di hadapan khalayak. Masa menjawab pertanyaan peminat mengenai isu ini, ada segelintir masih memandang sebagai perkara yang remeh,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia membuka soalan dalam IG Story, sambil memberi pandangan mengenai isu berkenaan, keesokannya.

“Seperti dijangka, ada sesetengah menganggap gangguan seksual hanya gurauan jika membabitkan golongan wanita. Disebabkan itulah, saya terus berkongsi pengalaman dua tahun lalu untuk memberi kesedaran.

“Kena ingat apa yang berlaku kepada saya adalah gangguan seksual, bukannya serangan seksual. Ia dua maksud dan perbuatan yang berbeza,” katanya.

Hafreez berkata, dia bukannya mahu meraih publisiti murahan dengan membangkitkan isu gangguan seksual hingga dikecam.

“Saya tak kena kecam pun. Hanya seorang dua sahaja yang bercakap. Setakat ini, ramai menghantar mesej berkongsi pengalaman mereka. Jika dapat, saya mahu berkongsi semua mesej dan pengalaman ini, pasti ramai akan mula sedar ia bukan isu kecil yang boleh dipandang remeh.

“Ada yang berkongsi dipulau di pejabat hanya kerana menyuarakan isu ini. Saya tahu niat dan sebab berkongsi mengenai isu ini, tetapi ada sesetengahnya berfikir perkara negatif, tetapi biasalah. Saya tak layan pun. Mereka berhak menyatakan pendapat masing-masing,” katanya.

Akuinya, dia tidak memperlihatkan kelemahan sebagai lelaki apabila membuat pendedahan.

“Sejujurnya, mereka yang berfikiran ‘hilang kejantanan’ apabila menyuarakan isu gangguan seksual menjadikan perkara ini lebih dipandang remeh. Realitinya, orang sekarang boleh bergurau hingga bahagian yang tidak sepatutnya disentuh. Dan, mangsanya pula malu.

“Saya tidak terbuka nak cerita mengenai isu gangguan seksual kerana risau pandangan masyarakat, terutama apabila berada dalam kelompok industri seni. Sedangkan, perkara ini berlaku di lokasi penggambaran.

“Ramai kru lain menjadi saksi. Tetapi, apabila berdiam diri saya seolah-olah membiarkan perkara ini boleh berterusan. Tidak mustahil, kru wanita sama boleh melakukannya pada orang lain dan ia akan menjadi tabiat. Saya bercakap bukan atas kapasiti diri sendiri. Bayangkan, jika ia berlaku pada lelaki atau wanita di luar industri tanpa kerelaan? Apakah mangsa patut rasa malu?

“Atau, mereka yang melakukannya patut rasa malu? Mentaliti ini kena tukar. Bukan saya seorang sahaja menjadi mangsa, mungkin pelakon lain pun kena. Mungkin ada yang tidak kisah atau takut nak bersuara. Nasihat saya, teman artis yang pernah melalui situasi sama kena berani bersuara supaya dapat mengubah kebiasaan ini,” katanya.

Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata, ia juga isyarat dan amaran kepada kru produksi lain yang bakal bekerjasama dengannya pada masa akan mendatang supaya tidak mengambil mudah mengenai isu gangguan seksual itu.

“Saya masih berkawan dengan kru wanita berkenaan. Dia tetap kawan saya. Cuma, ‘gurauan’ yang dilakukannya membuatkan saya tak suka dan selesa. Tetapi, kami boleh bekerjasama dengan baik,” katanya yang kini sedang berehat daripada sebarang aktiviti penggambaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. BH

Terima khabar isteri maut kemalangan menerusi IG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker