Atlet Paralimpik Perlis Berdikari Cari Rezeki..DiMana Ada Kemahuan Disitu Ada Jalan

Status sebagai orang kurang upaya (OKU) bukan alasan untuk atlet paralimpik negara, Mira Nirwani Mohamad, 28, mengharapkan ihsan keluarga atau individu sekeliling.

Sebaliknya, Mira yang mengalami kecacatan bahagian pinggang ke bawah (spinal) sejak lahir lebih selesa berdikari dan mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan nasi kandar yang diwarisi daripada arwah ibunya, Fadzillah Ibramsa.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi cabaran buatnya dan demi kelangsungan hidup Mira yang menetap di Pangsapuri Seri Sena, Kampung Bakau di Perlis menawarkan khidmat penghantaran menggunakan motosikal ke rumah pelanggan.

Mira tidak berseorangan sebaliknya dibantu suaminya, Muhammad Alif Malek, 27, dan seorang pekerja, Mahfuz Mahzan, 22, yang kedua-duanya adalah OKU kategori Cerebral Palsy (CP) untuk menyediakan pesanan pelanggan.

“Saya dan suami adalah atlet paralimpik negara namun berehat daripada latihan serta kejohanan sejak tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

“Jadi, masa yang ada saya manfaatkan dengan menguruskan perniagaan dan sebelum ini, saya bersama-sama keluarga tetapi bergerak sendiri dengan membuka cawangan sendiri sejak dua bulan lalu.

“Memandangkan pelanggan tidak dapat menjamu selera di kedai buat masa ini, saya tawarkan khidmat penghantaran dengan caj RM3 bagi memudahkan mereka.

“Saya gunakan Facebook (FB) untuk mempromosikan perniagaan dan ada masanya buat siaran langsung (live) di situ kerana jika malu, saya juga yang rugi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mira, khidmat penghantaran itu kali pertama dilakukan kerana ketika PKP mula dilaksanakan tahun lalu, dia dan suami sibuk menyiapkan pek makanan untuk dihantar kepada petugas barisan hadapan seluruh negeri.

“Tahun lalu, kami ditawarkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau) untuk menyediakan pek makanan bagi petugas barisan hadapan sepanjang tempoh PKP.

“PKP kali ini, saya tawarkan pula khidmat penghantaran kepada pelanggan dan Alhamdulillah…pesanan diterima semakin bertambah dalam lingkungan 20 hingga 40 bungkus sehari.

“Pelanggan juga tidak berkira atau mempertikaikan caj penghantaran dikenakan sebaliknya ramai di antara mereka memberi wang tambahan sebagai sedekah buat saya,” katanya yang pernah mewakili negara dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing pada Kejohanann Grand Prix di Beijing, China pada 2019.

Mira berkata, lazimnya dia dan suami akan memasak bersama di rumah namun penghantaran dibuat secara bergilir-gilir.

“Suami baru memulakan tugas pembantu awam di Kem Rejimen 504, Bukit Keteri, Perlis dan dia bekerja tiga hari seminggu dalam tempoh PKP, jadi dia akan membantu saya pada hari cuti.

“Jarak paling jauh boleh dihantar adalah 20 Kilometer (KM) dan pernah juga kotak di belakang motosikal hampir terjatuh ketika di lampu isyarat tetapi ada yang membantu,” katanya.

Menurut Mira, dia akan meneruskan perniagaannya selagi mendapat sambutan daripada pelanggan kerana enggan bergantung dengan elaun bulanan diterimanya semata-mata.

“Alhamdulillah, saya dan suami masih menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 setiap bulan serta berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kerana banyak membantu.

“Cuma kami enggan bergantung kepada elaun itu semata-mata kerana saya kini masih memakai lampin pakai buang jadi perlukan wang untuk membeli bekalan itu selain menyara seorang anak berusia empat tahun serta membayar sewa bulanan rumah.

“Bukan mudah untuk orang seperti saya diterima bekerja kerana segelintir majikan melihat faktor kemampuan jadi lebih baik saya menyewa premis dan berniaga.

“Syukur kerana perniagaan ini juga membolehkan saya membantu rakan OKU dengan mengambilnya sebagai pekerja.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan suami termasuk keluarga. Teruskan sokongan kepada semua komuniti OKU di luar sana,” katanya.-HM

Polis kenal pasti lelaki pukul penghantar makanan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker