Pemecatan Lampard ‘kekejaman bola sepak moden’ – Mourinho

LONDON: Jose Mourinho berkata pemecatan Frank Lampard adalah sebahagian daripada ‘kekejaman bola sepak moden’.

Chelsea memecat Lampard, semalam selepas 18 bulan mengendalikan The Blues dan bekas pengurusnya itu melahirkan simpati sambil menyifatkannya ‘sebagai orang penting dalam kariernya’.

Bercakap selepas kemenangan di Wycombe pada aksi Piala FA, Mourinho berkata: “Saya selalu sedih apabila rakan kehilangan kerja.

“Frank bukan sahaja rakan sekerja, tetapi adalah orang penting dalam karier saya, jadi saya simpati dengan nasibnya.

“Tetapi ini adalah kekejaman dalam bola sepak, terutamanya bola sepak moden.

“Jadi, apabila anda menjadi pengurus, anda akan tahu bahawa cepat atau lambat, perkara itu akan berlaku ke atas anda,” tambahnya.

Lampard akan digantikan dengan bekas pengurus Paris Saint Germain, Thomas Tuchel yang sudah berlepas dari Paris ke London untuk mengendalikan pasukan itu.

Lampard mengetuai Chelsea ke kedudukan keempat Liga Perdana dan mara ke final Piala FA pada musim pertamanya.

Bagaimanapun dia gagal mencipta jangkaan lebih tinggi musim ini selepas kelab berkenaan membelanjakan £220 juta (RM1.217 bilion) membeli pemain baharu pada pasaran perpindahan pemain musim panas lalu.

Rentetan lima kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan Chelsea terjatuh ke tangga kesembilan, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Kemenangan pada Piala FA, 3-1 mengatasi pasukan Liga Kejuaraan, Luton tidak cukup untuk menyelamatkan bekas pemain tengah England itu. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker