25 MP desak kerajaan beri moratorium pinjaman menyeluruh

Lebih 20 ahli parlimen pembangkang berpendapat kerajaan wajar melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik seperti yang berlaku semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama dulu.

Kata mereka langkah itu akan membantu menghilangkan keresahan orang ramai yang berdepan dengan kesan pelaksanaan PKP 2.0 sekarang.

Sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS) serta pihak lain yang tidak terjejas pula, kata mereka, bolehlah meneruskan pembayaran pinjaman masing-masing seperti biasa.



“Pemberian moratorium secara automatik selama enam bulan ini akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah juga boleh merancakkan aktivitinya.

“Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya menggalakkan mereka mengekalkan – atau mungkin menambah lebih ramai – pekerja dan bukannya membuang mereka sepanjang menghadapi pandemik ini,” kata kenyataan bersama tersebut.

Isu moratorium menyeluruh dan automatik banyak diperkatakan pelbagai pihak sebelum ini, termasuk menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu.

Selain pembangkang ia turut menjadi desakan Umno – parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).



Bagaimanapun permintaan itu tidak dilaksanakan termasuk apabila Putrajaya mengisytiharkan darurat pada 12 Jan lalu, serta pelaksanaan PKP 2.0.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyddin Yassin pada 18 Jan lalu juga mendapat kritikan pelbagai pihak kerana ia dianggap sekadar mengulang atau menambah baik apa yang disebut dalam belanjawan sebelum ini.

 

Moratorium : Kalau peminjam muflis bagaimana?



Dorong ambil pekerja semula

Menurut kumpulan pembangkang terbabit kerajaan juga perlu meningkatkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi lebih tinggi daripada RM600 untuk individu yang mempunyai pendapatan kurang RM4,000.

Ia juga, kata mereka, perlu dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.



“Jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat yang menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor.

“Subsidi upah selama tempoh enam bulan akan menggalakkan majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan – sehingga separuh tahun – akibat penyusutan jualan dan aliran tunai.

“Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula,” kata mereka.

Kenyataan itu juga menyebut, bagi menghadapi masa yang luar biasa sekarang, kerajaan perlu mengambil langkah yang luar biasa juga bagi menyelamatkan sektor pekerjaan.



“Kerajaan PN sebenarnya sudah pun tewas kepada negara Asean dari aspek daya saing untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Rozman Isli (Labuan), Salahuddin Ayub (Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Raub), Maria Chin (Petaling Jaya), Wong Shu Qi (Kluang), . Teresa Kok (Seputeh), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan), P Prabakaran (Batu), M Kulasegaran (Ipoh Barat), Chong Chieng Jen (Stampin), Nor Azrina Surip (Merbok) , dan R Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh).

 

Najib gesa bank lanjut moratorium pinjaman secara automatik



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker