‘Faizal, Jangan Jual Proton Persona itu’ – Dr Zulkifli

“Kereta ini sudah pasti banyak kegunaan dan terus digunakan, tidak perlu dijual,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Melalui ciapan di Instagram hari ini, Zulkifli berkata, beliau berkesempatan bertemu dengan Mohd Faizal Wahid, 40, di kediamannya di Klang bagi menyampaikan bantuan.

Katanya, beliau mengetahui mengenai hasrat Mohd Faizal untuk menjual Proton Personanya bagi menampung perbelanjaan rawatan isterinya di hospital.

“Saya sudah arahkan Skuad Jejak Asnaf Baitul Mal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuat tinjauan bagi mengesan keluarga ini semalam,” katanya.

Turut hadir pada penyampaian sumbangan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP Ahmad Shukri Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP Zabidi Nasan.

Harian Metro semalam melaporkan, Mohd Faizal memuat naik hantaran melalui Facebooknya mahu menjual Proton Persona miliknya bagi menampung kos pembedahan isteri, Siti Hawa Alias, 39, yang menghidap barah di Hospital KPJ Selangor Specialist Medical Centre, Shah Alam, Selangor.

Siti Hawa dijangka menjalani pembedahan pada Isnin ini dengan kos kira-kira RM22,000.

Setakat ini, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyumbang RM10,000.

Zulkifli berkata, memandangkan Mohd Faizal tinggal di Klang, laporan itu sudah dipanjangkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tindakan susulan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu pejabat MAIWP dan LZS atas tindakan pantas membantu keluarga berkenaan.-HM

“Niat Wakaf Nak Cari Pahala Akhirat”, Perginya Pewakaf Hartanah Kedua Terbesar MAIWP-Al-Fatihah [ VIDEO ]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker